Hari ini saya nak kongsi resepi pais ikan. Rahsia pada resepi pais ikan yang sedap mestilah jenis ikan yang digunakan dan rasa pedas rempah pais itu. Pais ikan merupakan satu hidangan yang tidak menggunakan minyak, biasanya masakan ini dibakar/dipanggang. Lemak dan kemanisan rasa ikan memberikan rasa yang sedap pada masakan pais ikan. Resepi ini padu dengan rasa manis, pedas, masin dan lemak menjadikan masakan ini menyelerakan. Resepi pais ikan memang sedap di makan dengan nasi putih begitu sahaja. Apatah lagi ikannya diperap dan dibakar dalam balutan daun kunyit. Lebih menyelerakan, bau haruman daun kunyit. Bagi penggemar ikan, boleh cuba resepi pais ikan ini.
Resepi Pais Ikan Kembung Segar Eny Abdullah
Pais Ikan Kembung Segar: Sumber Eny Abdullah
Bahan-bahan:
- Ikan Kembung segar (boleh juga pakai ikan jenis lain)
- 2 cawan kelapa parut
Bahan Kisar (dikisar dengan sedikit air):
- 2 batang serai
- 4 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 6-7 biji cili padi / cili merah (nak campur keduanya sekali pun boleh)
- 1 sudu the serbuk kunyit
- Sedikit jintan manis
- Sedikit sahaja biji ketumbar (jika suka)
- Sedikit jintan putih
- 2 inci belacan
- Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
- Campur bahan kisar dengan kelapa parut dan gaul rata.
- Masak sebentar sambil dikacau sehingga kering sedikit airnya.
- Rasa garam dan gula secukup rasa.
- Susun ikan diatas daun pisang.
- Letak sambal kelapa diatasnya.
- Bungkus dengan rapat.
- Kukus sehingga masak.
Resepi Pais Tempoyak Ikan Patin Bakar Bella Jamal
Pais Tempoyak Ikan Patin Bakar: Sumber Bella Jamal
Bahan A:
- Seekor ikan patin
- 3-4 helai daun kunyit
- Sedikit daun kesom
- Sedikit minyak masak
- Garam dan gula jika perlu*
Bahan B (ditumbuk):
- 10 biji cili api mera
- 5 sudu besar tempoyak
- 1 inci kunyit hidup
Cara-cara:
- Basuh ikan dengan air asam jawa dan kelar rapat-rapat. Nanti ada pulak yang komen tak boleh makan sebab bau ikan.
- Kisar atau tumbuk cili padi dan kunyit sehingga hancur. Kak Bell lagi prefer tumbuk semua bahan. Baru sedap!
- Masukkan tempoyak, garam dan gula. Sebatikan dalam lesung.
- Hiris halus sehelai daun kunyit.
- Letak ikan atas daun kunyit. Lumurkan dengan tempoyak yang dah digaul tadi dan masukkan juga dalam bahagian badan ikan patin.
- Taburkan daun kunyit yang dihiris bersama daun kesom.
- Balut ikan dengan kemas.
- Panaskan kuali ajaib, sapukan sedikit minyak masak sebelum mula membakar.
Tips:
- Boleh gunakan daun kunyit dan juga daun pisang untuk balut ikan. Lepas letak daun kunyit, balutkan dengan daun pisang.
- Garam adalah optional bergantung kepada rasa tempoyak yang korang guna. Kalau tompayak dah masam dan masin, tak perlu tambah lagi garam.
- Cili padi boleh kurangkan untuk yang tak suka makan pedas.
- Boleh bakar guna arang, tudung periuk ikut suka korang. Kak Bell guna kuali ajaib senang!
Resepi Pais Ikan Pari Patys Kitchen
Pais Ikan Pari: Sumber Patys Kitchen
Bahan-bahan:
- 2 -3 kepingan ikan pari, cuci bersih dan ketepikan
- 2 helai daun kunyit
- Garam dan gula secukup rasa
- 2 biji limau kasturi, perah jusnya
- 2 camca besar santan pekat
- 2 camca besar penuh cili kisar
- Daun pisang secukupnya
Bahan Tumbuk Halus:
- 6 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci lengkuas
- 1 batang serai
- 1 inci kunyit hidup
- Secubit belacan
Cara-cara:
- Satukan bahan-bahan tumbuk halus dengan santan, cili kisar, jus limau kasturi dan perasankan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata. Masukkan ikan pari tadi dan gaul rata-rata. Perap sekejap dalam 15 minit.
- Sementara itu sediakan daun pisang, kalau susah lipat, salai sekejap atas api biar lembut. Guna 2 helai daun pisang untuk membungkus. Alas dengan sehelai daun kunyit. Kemudian letak kepingan ikan pari yang diperap tadi, letak juga rempah-rempahnya. Tabur sedikit hirisan daun kunyit, kemudian bungkus elok-elok dan semat dengan pencungkil gigi. Buat kaedah sama untuk baki bahan-bahan tadi.
- Kemudian panggang hingga masak, kurang lebih 25 minit.
Resepi Pais Bunga Air Faudziyah Haji Ariffin
Pais Bunga Air: Sumber Faudziyah Haji Ariffin
Bahan A:
- 300 gram ikan bunga air
- 1 helai daun kunyit (dimayang halus)
- 1 mangkuk penuh kelapa parut putih
- 1 sudu besar penuh gula putih
- Garam
- Daun pisang secukupnya (cuci, lap kering dan layur atas api hingga lembut)
Bahan B (ditumbuk halus):
- 5 biji bawang merah kecil
- 1 ulas bawang putih
- 1 batang serai (dihiris halus)
- 15 biji cili padi
- 1/2 inci belacan (dibakar)
- 1/2 inci kunyit hidup
- asam jawa tanpa biji sebesar jari kelingking
Cara-Cara:
- Ikan disiang, kemudian cuci bersih dan ditabur sedikit garam dan ketepikan.
- Tumbuk bahan B sehingga halus. Kemudian masukkan kelapa parut, daun kunyit yang dimayang, garam dan gula. Gaul hingga rata.
- Akhir sekali masukkan campuran rempah ini pada ikan, rata dan ketepikan.
- Ambil sehelai daun pisang (kurang lebih berukuran 12 inci X 20 inci) yang telah dilayur lembut. Letakkan atas kuali leper (atau loyang), dan masukkan separuh ikan yang telah bercampur bahan rempah diatas nya. Lipat daun tersebut dan semat kiri dan kanan bungkusan dengan lidi pencungkil gigi yang bersih.
- Buat kaedah sama untuk baki ikan tadi.
- Panaskan kuali(atau oven), dan bakar pais tadi lebih kurang 10 minit untuk setiap bahagian.
Resepi Pais Ikan Selayang Siti Delima
Pais Ikan Selayang: Sumber Siti Delima
Bahan-bahan:
- 6 ekor ikan selayang (sardine)
- 4 biji bawang merah #
- 3 ulas bawang putih #
- 2 batang serai #
- 1 sudu besar ketumbar biji #
- 3 cm kunyit hidup #
- 3 cm halia #
- 3 cm lengkuas #
- 1 susu besar pes asam jawa #
- 1/2 cawan lada kisar
- Sedikit garam, serbuk perasa dan gula jika suka.
- 1/2 cawan air
- Daun pisang secukupnya – dilayur
Cara-cara:
- Ikan dibersihkan dan dipotong dua.
- Kisar semua bahan-bahan yang bertanda (#) hingga halus. (Jangan banyak sangat letak air masa diblender sebab adunan ni elok pekat sedikit, supaya senang nak digaul bersama ikan semasa dibungkus nanti).
- Masukkan bahan-bahan kisar kedalam bekas dan campurkan bersama lada kisar, garam dan serbuk perasa dan sedikit gula. Gaul rata dan perasakan sedikit masam dan manisnya. Ikut selera masing-masing lah ya.
- Kemudian masukkan pula ikan dalam adunan tersebut dan gaul rata.
- Ambil daun pisang yang dipotong empat segi dan masukkan 3-4 potong ikan bersama dengan sedikit adunan tersebut. Bungkus dengan kemas seperti bungkusan nak buat lepat. Susun dalam pinggan dan buat sampai habis.
- Kukus dalam kuali yang bertutup dengan api yang kecil hingga air kering sedikit. Bila dah kering sedikit (maknanya ikan dah masaklah tu) tutup api dan angkat.
- Untuk menambahkan kelazatan hidangan ni, ikan yang siap dikukus tu boleh juga di bakar sedikit dalam oven sehingga agak kering sebelum dihidangkan. Hidangan ni sangat serasi jika digandingkan dengan lauk asam rebus bendi bersama nasi hangat. Selamat mencuba 🙂
Resepi Pais Ikan Dengan Belimbing Buluh
Pais Ikan Dengan Belimbing Buluh: Sumber Ezzan Haqis
Bahan-bahan:
- 4 ekor ikan kembung (saiz besar)
- 3 biji bawang merah ros (saiz besar)
- 5 ulas bawang putih
- 15 biji cili api
- 5 biji cili merah
- 3 batang serai
- 1 inci kunyit hidup (aku guna serbuk kunyit je)
- Kelapa parut putih (aku beli RM1)
- 3 helai daun limau purut (koyak dua jangan bagi putus)
- 1 helai daun kunyit (dimayang halus)
- 10 – 15 biji belimbing buluh (dibelah dua)1 keping asam keping – rendam bagi kembang (boleh ganti dengan air asam jawa atau limau kasturi)
- Garam secukup rasa
- Daun pisang secukupnya untuk bungkus pais
Nota:
- Asam keping just untuk hilangkan hanyir ikan. Kalau nak guna asam jawa atau limau kasturi, tak perlu letak banyak sebab dah ada belimbing buluh. Masam dari belimbung dah memadai. Jika nak guna udang, tak perlu asam keping/asam jawa/limau kasturi. Belimbing buluh tu pun dah cukup.
Cara-cara:
- Kisar bawang merah, bawang putih, cili api, cili merah, serai, dan kunyit hidup. Guna blander kering. (Aku malas, so aku guna blander basah kena pandai-pandai agak air kalau guna blander basah.)
- 2. Masukkan kelapa parut putih, kisar sikit. Kemudian ratakan. (Aku dah terkisar halus. Kalau boleh jangan halus. Nanti kurang cantik).
- Perasakan dengan garam (garam agak-agak sebab ikan dah lumur dengan garam) dan asam (asam keping tu dah agak-agak masam, buang. Lagi senang guna air asam jawa atau limau kasturi).
- Lumurkan ikan dengan sedikit garam & kunyit.
- Gaul bahan campuran kelapa dan bahan kisar tadi pada belimbing buluh, hirisan daun kunyit & daun limau purut.
- Sediakan daun pisang yang telah dibersihkan.
- Letak sebahagian bahan campur tadi (pais) atas daun pisang.
- Letak ikan di atasnya.
- Letak lagi sebahagian menutupi ikan. Sumbat juga bahan tadi dalam perut ikan. Jika kuali kecil, buat dua ekor ikan, kemudian dua ekor masak kemudian. Jadi kena bahagi dua bahan pais tadi. Jika boleh muat kuali, letak semua dalam satu bungkusan.
- Bungkus dan bakar dalam kuali. Bakar dengan api sederhana selama 20 minit dan kemudian balikkan. Bakar lagi 15 minit. Jika hendak garing dan tahan lama, terus bakar dengan api kecil selama 10 minit.
- Siap dihidang bersama nasi panas. Aku makan sekali dengan pucuk paku masak lemak bersama tempe. Memang terangkat. Boleh bertambah beb!
Resepi Pais Ikan (Botok)
Pais Ikan (Botok): Sumber Tumis.my
Bahan-bahan:
- ikan tenggiri/ikan langgai(ikan timah)
- ulam-ulam;pucuk ubi,pucuk betik,pucuk manis,daun selasih..etc
- serai
- bawang putih
- bawang merah
- daun pisang cili kering dikisar
- serbuk jintan manis
- serbuk jintan putih
- rempah kari ikan
- kerisek
- santan
- garam, gula
Cara-cara:
- Serai,bawang merah & bawang putih dikisar.
- Campurkan bahan kisar bersama rempah kari, jintan manis, jintan putih, kerisek dan sedikit santan.
- Tambahkan gula & garam secukup rasa.
- Masukkan ulam dan ikan,gaul rata.
- Bungkus dalam daun pisang.
- Kukus selama lebih kurang 20-30 minit.
Resepi Pais Ikan Warisan Nusantara Syiffa Rosman
Pais Ikan Warisan Nusantara: Sumber Syiffa Rosman
Bahan-bahan:
- Ikan Mackerel, dibelah tengah dan dicuci
- 5-6 helai daun limau, dimayang halus
- 2 cawan kelapa parut
- 2 biji bawang merah saiz sederhana
- 10 biji cili padi (ikut kepedasan sendiri)
- 4-5 tangkai cili kering, direbus
- 4 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit hidup, diracik halus
- 3 batang serai, diracik halus
- 1-2 biji telur
- 1 sudu teh air asam jawa
- Garam dan gula secukup rasa
- 3 sudu besar santan, opsyenal
- Beberapa helai daun pisang, layur sedikit supaya tidak koyak sewaktu balut
- Sedikit minyak
Cara-cara:
- Kisar kelapa parut, bawang merah, cili padi, cili kering, bawang putih, kunyit hidup, serai, telur, air asam jawa dan santan hingga halus.
- Masukkan bahan kisar di dalam mangkuk dan sumbat ke dalam ikan. Jika terdapat lebihan sapu di bahagian tepi dan atas ikan.
- Sapu sedikit minyak di atas daun pisang dan letakkan ikan di tengah-tengah. Tabur daun limau yang diracik. Kemudian, balut ikan dan panggang selama 10-15 minit atau hingga ikan masak. Gunakan api sederhana.
Tips:
- Untuk pais ikan yang lebih menyelerakan, panggang ikan hingga sedikit garing untuk menyerlahkan lagi rasa salai ikan.
Resepi Pais Ikan Selar Kuning Istimewa
Pais Ikan Selar Kuning Istimewa: Sumber Ibu Zarith
Bahan-bahan:
- Beberapa ekor ikan selar kuning
- Bawang merah
- Bawang putih
- Daun cekur beserta akarnya
- Cili besar
- Cili padi
- Belacan yang telah digoreng terlebih dahulu
- Kelapa parut
- Sedikit gula
- Sedikit garam
- Daun pisang kapok/ nipah (kalau daun pisang lain nanti akan ada rasa pahit, tak berapa sedap)
Cara-cara:
- Tumbuk belacan, cili padi, cili besar, bawang merah dan putih, akar daun cekur (bawang akhir sekali kerana ia akan berair).
- Masukkan kelapa ke dalam sebuah besen, masukkan rempah yang telah. ditumbuk tadi. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan garam dan gula sesedap rasa.
- Masukkan ikan dan gaul sebati.
- Letakkan beberapa ekor ikan di atas daun pisang. Paling ideal 5-6 ekor ikan. Gulung dan matikan dengan pencungkil gigi.
Resepi Pais Ikan Mengancam

Pais Ikan Mengancam: Sumber Papaglamz
Bahan-bahan:
- 4 ekor ikan selar besar
- daun pisang, disala
- toothpick
Bahan untuk dikisar:
- 8 batang lada merah
- 8 batang cili padi thailand
- 2 biji bawang besar
- 2 ulas bawang putih
- 2 batang serai
- 1 inci lengkuas
- 2 cm belacan
- 1 helai daun kunyit sederhana besarnya
- 6 biji limau kasturi, ambil jusnya
- 1 1/2 sudu makan gula
- garam secukup rasa
- serbuk perasa jika suka
Cara-cara:
- Bahan-bahan dikisar dengan sedikit air. Digaul dengan ikan dan diperap 1 jam.
- Letakkan ikan diatas daun pisang bersama rempahnya. Balut rapi dan disemat hujung daun pisang dengan lidi.
- Kemudian boleh dibakar atau dikukus pais ikan sehingga masak.
Resepi Ikan Patin Pais Tempoyak Bonda
Ikan Patin Pais Tempoyak: Sumber Bonda
Bahan-bahan:
- * 1 ekor ikan/ 500 gram – dipotong dua dan dikelar
- * 4-6 sudu makan tempoyak asli
- * 1 keping asam keping (tempoyak saya dari durian segar – manis. Kena letak asam)
- * 1/3 inci kunyit hidup
- * 10-15 cili Thai
- * 2 tangkai pucuk daun kesum
- * 1/3 helai daun pepijat (boleh ganti dengan daun kunyit)
- * 1/2 batang bunga kantan (pilihan)
- * 1 sudu teh garam
Cara-cara:
- Tumbuk asam keping hingga terurai, kemudian baru tambahkan cili dan tumbuk lagi. Masukkan tempoyak bersama garam dan alukan sebati.
- Hiris daun kesum. daun pepijat, bunga kantan dan campur masuk dalam adunan tempoyak. Letak ikan atas daun pisang yang dilapik aluminium foil. Sapu rata adunan tempoyak.
- Tutup dan kemaskan aluminium foul. Cucuk dengan garpu di bahagian atas dan perap sekitar 2 jam untuk tempoyak masuk ke bahagian isi ikan.
- Boleh bakar dengan sedikit minyak,atau masukkan dalam oven atau kukus ikut selera – Saya suka letak dalam kuali rata, letak sedikit minyak dan tutup. Balikkan setiap 5 minit dengan api sederhana hingga masak. Hasilnya anda akan dapat patin pais tempoyak pekat yang cukup semua rasa.
Tips:
- Tumbuk dengan lesung batu untuk dapatkan rasa yang asli serta pekat terasa penuh aroma. Dan jangan tambah sebarang air.
Resepi Pais Ikan Mak Dara
Pais Ikan Mak Dara: Sumber Mat Gebu
Bahan-bahan:
- 6 keping daging ikan tenggiri, digaul dengan sedikit serbuk kunyit
- 2 helai daun kunyit muda, hiris halus
- 1 – 2 camca besar jus asam jawa
- 1 cawan kelapa parut putih, pilih kelapa kulit basah
- Garam dan gula secukup rasa (nak guna serbuk perasa pun ok)
- 2 biji bawang besar saiz sederhana*
- 10 biji cili padi hijau*
- 1 biji cili merah (mat tambah sendiri)*
- 1 ulas bawang putih (sendiri letak)*
- 1/3 inci kunyit hidup*
- 2 batang serai, hiris halus*(*ditumbuk lumat)
- 4 helai daun kunyit, untuk membungkus
- Beberapa helai daun pisang, untuk membungkus
Cara-cara:
- Gaul kelapa parut bersama bahan tumbuk lumat, daun kunyit hiris dan perasakan dengan garam, gula dan juga jus asam jawa secukupnya, gaul rata.
- Bentangkan sehelai daun pisang, alas dengan 2 helai daun kunyit, kalau daun kunyit saiz besar, guna 1 helai saja. Letak 1/4 bahagian no. 1 tadi, ratakan dan susun 3 keping ikan tenggiri, letak 1/4 bahagian lagi atas ikan dan ratakan. Balut ikan tadi dengan daun kunyit, kemudian bungkus dengan daun pisang, biar tebal sikit. Buat kaedah yang sama untuk satu lagi.
- Bakar dalam oven pada suhu 200C selama 30 minit. Keluarkan dan hidang panas-panas bersama nasi dan lauk-lauk lain.
Resepi Pais Ikan Talapia Tempoyak Norhidana
Pais Ikan Talapia Tempoyak: Sumber Norhidana
Bahan-bahan:
6-7 sudu besar tempoyak
2 ekor ikan talapia, kelar-kelar
1 inci kunyit hidup, tumbuk
20 -30 biji cili api, tumbuk
Sedikit garam
6 helai daun kunyit
Aluminium foil
Cara-cara:
Campurkan bahan tumbuk dengan tempoyak, tambahkan garam gaul hingga sebati. 2 helai daun kunyit hiris kasar dan campurkan dalam tempoyak tadi.
Ambil aluminium foil 2 lapis, susunkan daun kunyit lepas tu lumur ikan dengan tempoyak tadi dengan rata, sebelum tutup dengan alumium foil letak 1 helai daun kunyit atas ikan dan bungkus.
Perapkan selama 30 ke 1 jam ikan nya, lepas tu bakar. Aku gunakan magic pan je, masak agak- agak dengan api kecil sedang setiap bahagian selama 10 ke 15 minit. Kalau ikan besar tambah masa lagi gunakan api kecil.
Resepi Pais Ikan Tenggiri
Pais Ikan Tenggiri: Sumber Aku Tetap Aku
Bahan-bahan:
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 batang serai
- Ikan tenggiri
- 2 helai daun kunyit
- Asam jawa
- Garam, gula
- 2 sudu rempah bunga ros
- Sedikit belacan
- 2 sudu cili boh
- 3 sudu kelapa parut
Cara-cara:
- Ikan dibersihkan.
- Blender bawang merah, bawang putih dan serai.
- Daun kunyit dihiris halus.
- Gaul semua bahan tadi dan letakkan ke dalam daun pisang yang telah dilayur.
- Kalau nak cepat kukus sebentar atau bakar terus di atas kuali tanpa minyak.
Resepi Pais Tempoyak Ikan Patin Bakar Ida Ramli
Pais Tempoyak Ikan Patin Bakar: Sumber Ida Ramli
Bahan-bahan:
- Seekor ikan patin fresh (patin sungai tau. Beli kat pasar tani, atau kat Temerloh atau memana lah. Kalau kat pasar, ke pasaraya ke itu patin besar peha tu, tak best. Mak kata patin laut.) Patin sungai ni saiz sedang-sedang je lah. Tidak besar, tidak kecik. Suruh orang kedai tu bersihkan sesiap. Takyah rajin nak siang sendiri. Hehe.
- Daun kunyit.
- Daun pisang.
- Kunyit hidup.
- Bawang merah / bawang besar
- Cili Padi.
- Serai.
- Daun kesom
- Dan bahan paling utama – tempoyak lah. Yang fresh lagi sedap. Sebab dia ada manis-manis durian tu lagi. Takde yang fresh pun takpe. Boleh ja. Asal nama tempoyak.
Cara-cara:
- Basuh bersih-bersih ikan patin. Kalau besar buleh potong dua.
- Tumbuk bawang + kunyit hidup + cili padi. Tumbuk hancur. Letak garam sket. Kalau tak suka pedas sangat, tambah cili merah (cili masak).
- Pastu dah lumat semua, gaul dengan tempoyak. Tempoyak ni agak-agak lah nak banyak mana.
- Serai di titik.
- Lepas tu salut lah badan ikan patin tu dengan tempoyak. Ratakan seluruh badan dia. Baru lah sedap dan sekata rasanya. Taruk serai yang dah dititik tu.
- Balut ngan daun kunyit, pastu dengan daun pisang. Ini sebab masa ai buat tu hari kat kampung which, semua ni amik kat keliling rumah. Kalau hidup di KL, dan duduk atas langit tu, takyah pun takpe daun kunyit tu. Balut ngan daun pisang cukup. Atau balut dgn daun kunyit ja. Either one la. Daun kunyit tu saja nak naikkan bau kata orang tu.
- Pastu perap lah dalam sejam. Biar je situ.
- Dah sejam, bakar.
Penutup
Cara masak pais ikan ini sangat mudah, simple dan sedap. Ada juga yang menamakan resepi pais ikan ini, botok. Pernah tak anda makan dan masak lauk seperti ini? Terpulang nak gunakan ikan apa, jom cuba.
Anda juga boleh cuba resepi berasaskan ikan: