Leceh betulkan bila batuk tiba-tiba mengganggu? Gatal-gatal pada bahagian tekak dan kahak sememangnya tidak selesa.
Batuk yang berpanjangan juga boleh memberi kesan yang membahayakan jika ianya berlarutan untuk jangka masa yang panjang.
Faktor- faktor seperti jangkitan virus serta jangkitan bakteria tentunya membimbangkan anda.
Selain itu, ianya juga turut mengganggu persekitaran orang sekeliling. Cuba anda bayangkan, ketika berada dalam masjid contohnya, saat semua orang sedang khusyuk beribadat, tiba-tiba mereka terganggu dengan bunyi bising batuk yang berlarutan.
Sungguh menggusarkan betul tak?
Untuk kelegaan segera yang mudah dan cepat, anda boleh mencuba petua tradisional yang disajikan ini.
Cukup dengan hanya menggunakan bahan asas yang ada di rumah, anda sebenarnya boleh mengubati batuk dengan segera!
Petua Hilang Batuk 1: BAWANG PUTIH
Bawang putih mempunyai kandungan zat anti mikroba, antibakteri, antibiotik dan antivirus yang terbukti berkesan untuk menghilangkan pelbagai jenis batuk.
Bawang putih juga membantu mengeluarkan bakteria yang berbahaya, melegakan saluran nafas dan mengeluarkan kahak yang terkumpul di saluran nafas dan paru-paru.
Terdapat beberapa petua menggunakan bawang putih yang berkesan untuk merawat batuk dengan segera.
Petua 1:
Kupas dan cincang halus 3 – 4 ulas bawang putih dan dicampur dengan secawan madu.
Selepas 3 jam, campuran tersebut sudah boleh mula diambil. Kuantiti yang disyorkan untuk kelegaan secepatnya adalah sebanyak 1 sudu teh setiap 1 jam.
Petua 2:
Salai atau panggang seulas bawang putih bersama kulitnya selama beberapa minit di atas pemanggang. Pastikan ianya tidak hangit.
Selepas buang kulitnya, anda bolehlah makan bawang salai tersebut begitu sahaja.
Jika bawang putih ini kurang kena dengan selera tekak anda, anda bolehlah tumbuk bawang yang sudah dibakar tersebut lalu campurkan dengan minyak zaitun.
Ramuan tersebut kemudiannya bolehlah disapu di bahagian leher anda sekerap mungkin sehingga batuk tersebut beransur hilang.
Petua Hilang Batuk 2: MADU
Manfaat madu dalam mengubat batuk sememangnya tidak menjadi rahsia lagi. Terdapat banyak ubat batuk dijual di farmasi dan klinik menggunakan madu sebagai ramuan asas dalam ubat batuk yang dihasilkan.
Namun, tentunya tiada yang dapat menandingi kualiti madu asli. Betul tak?
Untuk menggunakan madu dalam merawat masalah batuk, petuanya mudah sahaja. Anda hanya perlu mencampurkan madu dalam segelas air suam. Lalu diminum air tersebut.
Untuk hasil yang lebih baik, anda boleh mencampurkan beberapa titik perahan lemon atau limau nipis.
Ianya boleh membantu menghalang kesesakan pada bahagian rongga, seterusnya melancarkan pengaliran kahak.
Petua Hilang Batuk 3: LEMON
Buah lemon kaya dengan antioksidan.
Jusnya dapat meningkatkan pengeluaran antibodi di dalam tubuh. Kesannya, sistem pertahanan tubuh akan meningkat dan dapat mengelak penyakit.
Ia juga mempunyai khasiat antibakteria dan mampu membantu tubuh menentang jangkitan, terutama sekali jangkitan dada dan melawan semput.
Terdapat kajian yang dilakukan mendapati bahawa jus lemon mampu mengatasi masalah batuk berkahak. Di samping itu, ianya juga dapat menyembuhkan jangkitan pada saluran pernafasan.
Bagi mengubati batuk, anda bolehlah mengambil satu sudu teh jus lemon setiap tiga jam.
Selain itu, anda juga boleh cuba meletakkan hirisan lemon dalam air mandian di rumah anda.
Mandian lemon dapat membantu mengeringkan bendalir seperti hingus yang berkait dengan kahak di samping mempunyai aroma yang akan memberi ketenangan kepada anda ketika sedang mandi.
Petua Hilang Batuk 4: ASAM JAWA
Asam Jawa banyak digunakan dalam masakan lauk pauk Melayu. Bukan hanya itu, ianya juga mampu melegakan kegatalan pada tekak anda yang menyebabkan masalah batuk.
Anda cuma perlu campurkan dua sudu asam jawa ke dalam segelas air suam.
Air tersebut kemudiannya dikacau sehingga sebati lalu ditapis untuk mengasingkan air daripada biji dan serat asam jawa tersebut.
Ambillah air minuman ini sekerap mungkin sehingga batuk anda berangsur hilang.
Petua Hilang Batuk 5: HALIA
Halia mempunyai khasiat tertentu yang dipercayai dapat mengatasi kuman dan juga membuang angin dalam badan.
Selain itu, ianya juga dapat membuang kahak dan mengurangkan pedih pada tekak.
Campuran daun pudina segar bersama halia dapat menyamankan kerongkong yang gatal.
Anda bolehlah mencampurkan sedikit halia dengan beberapa helai daun pudina dan letakkan di dalam segelas air panas. Untuk mengurangkan rasa kurang enak, anda boleh juga mencampurkan sedikit madu ke dalam ramuan tersebut.
Air tersebut bolehlah diminum sebanyak dua kali sehari dan alamilah sendiri keberkesananya!
Petua Hilang Batuk 6: AIR GARAM
Garam mempunyai pelbagai fungsi, bukan hanya digunakan dalam masakan, tetapi juga mujarab untuk mengubati batuk.
Garam berkesan sebagai agen antibakteria yang boleh menghalang pembentukan kuman dan bakeria jahat.
Ianya juga mempu melegakan keradangan tekak yang menyebabkan masalah batuk berpanjangan seterusnya mengeluarkan kahak dalam tekak.
Jika di rumah anda hanya terdapat garam dan anda sudah tidak tahan dengan gangguan batuk yang berterusan, anda bolehlah mencuba petua ini.
Anda cuma perlu mengambil segelas air suam dan sesudu teh garam. Kemudian, kacau campuran tersebut sehingga sebati.
Air tersebut bolehlah digunakan untuk berkumur selama 15 saat sebanyak 3 kali sehari.
Ianya boleh dilakukan secara beransur-ansur sehingga batuk tersebut hilang.
Namun, petua ini hanya sesuai dilakukan oleh orang dewasa sahaja. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun tidak digalakkan kerana dikhuatiri mereka akan tertelan air garam tersebut dalam jumlah yang banyak.
Petua Hilang Batuk 7: AIR PUTIH
Antara faktor utama yang mendorong terjadinya batuk adalah disebabkan kurangnya air di dalam badan.
Aktiviti di luar dan cuaca yang panas menyebabkan badan anda terdehidrasi. Dalam bahasa mudah, anda mengalami kekuranagan air dalam badan.
Jadi, sangat penting untuk anda mengamalkan pengambilan air yang cukup setiap hari.
Air putih dapat membantu melancarkan peredaran darah dan membuang toksin-toksin yang terdapat dalam sistem tubuh anda.
Jadi apa pendapat anda tentang petua yang dikongsikan di atas? Sangat mudah bukan. Namun perlulah diingat sekiranya batuk anda yang anda alami berlarutan sehingga lebih dari 3 hari walaupun dah mencuba petua-petua di atas, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Petua yang dikongsi ini hanyalah untuk membantu menghilangkan batuk. Ianya tidak boleh digunakan sebagai gantian kepada nasihat doktor.
Selamat mencuba dan semoga cepat sembuh!