fbpx

9 Resepi Ikan Masam Manis Sedap (Mudahnya Nak Buat Ikan Sweet Sour)

Hari ini saya nak kongsi resepi ikan masam manis yang sedap! Rasanya rangup, cukup masam manis masin dan pedas. Bahan-bahan mudah nak sediakan, dan lebih jimat masak sendiri. Masak di rumah pastinya lebih mudah dengan resepi ikan masam manis ini. Kalau hari-hari masak, resepi ini pastinya berbaloi untuk dicuba. Selalunya ikan masak manis ini disediakan dengan ikan siakap mahupun talapia. Ikan jenis lain pun sedap jika dibuat masakan masak manis, ikan goreng pun sedap jika disiram sos masam manis, fillet ikan lagilah sedap!

Resepi Ikan Siakap Masam Manis

Resepi Ikan Siakap Masam Manis

Ikan Siakap Masam Manis: Sumber Buat Orang Lapo

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap
  • Tepung Jagung
  • Garam
  • 1 Biji Bawang Besar (tumbuk halus)
  • 1/2 inci Halia (tumbuk halus)
  • 3 Ulas Bawang Putih (tumbuk halus)
  • 3-4 Sudu besar Cili Kisar
  • Sedikit air
  • 3 Sudu besar Sos Tomato
  • 4 Sudu besar Sos Cili
  • Gula
  • 1/2 Bawang Holland (hiris bulat)
  • 1/4 Nenas
  • 1 Biji Tomato

Cara-cara:

  1. Lumurkan tepung jagung dan garam secukupnya pada ikan yang telah dibersihkan. Perap seketika.
  2. Goreng ikan sehingga garing. Ketepikan.
  3. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar, halia, bawang putih sehingga naik bau.
  4. Kemudian masukkan cili kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
  5. Letakkan sedikit air. Kemudian masukkan sos cili dan sos tomato. Kacau lagi sehingga garing dan bertukar warna sedikit gelap.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  7. Tambahkan bawang holland, nenas dan juga tomato. Gaul sebati.
  8. Tuangkan sos ke atas ikan yang telah digoreng tadi. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:

  • Boleh tukar ikan siakap dengan ikan lain atau pun ayam dan juga daging.

Resepi Ikan Siakap Sweet Sour Azie Kitchen

Ikan Siakap Sweet Sour azie kitchen

Ikan Siakap Sweet Sour: Sumber Azie Kitchen

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap – lumur garam kunyit 
  • 1/2 biji bawang besar – mayang 
  • 4 ulas bawang putih – ketuk
  • 1-2 inci halia – hiris halus panjang 
  • Sedikit cili kisar 
  • 1 biji tomato buah – hiris bulat
  • 1/2 cawan sos tomato
  • Sedikit sos ikan
  • Gula
  • Garam
  • Air tepung jagung

Hiasan:

  • 8 biji cili padi merah dan hijau
  • 1 biji bawang besar – hiris bulat
  • Daun bawang 
  • Daun saderi

Cara-cara:

  1. Ikan dilumur garam kunyit dan digoreng. Sebelum digoreng, lumurkan tepung jagung rata rata dan goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
  2. Tumis bawang putih, halia dan bawang besar sehingga kekuningan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak. 
  3. Selepas itu, masukkan pula sos tomato, sos ikan, garam, gula dan sedikit air. Masukkam air tepung jagung. Sesuaikan rasa dan kepekatan. Akhir sekali, masukkan bawang mayang, tomato buah dan cili padi. Biarkan sehingga bawang layu. 
  4. Tutup api dan tuang sos sweet sour ke atas ikan. Tabur daun bawang dan daun saderi. Sedia untuk dihidangkan.

Resepi Ikan Siakap Masam Manis Ala Thai

Ikan Siakap Masam Manis Ala Thai

Ikan Siakap Masam Manis Ala Thai: Sumber Aiman

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap cuci bersih.
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Sedikit garam
  • Sedikit tepung gandum

Cara-cara:

  1. Lumur ikan dengan garam dan kunyit kemudian bedakkan dengan tepung gandum.
  2. Panaskan kuali yang sesuai. 
  3. Goreng ikan sampai garing. Ikan tu nak potong dulu boleh, nak goreng seekor boleh.

Bahan Kuah Masam Manis:

  • 1 biji bawang holland
  • 1 biji bawang merah besar
  • 1 batang lobak merah
  • 1 biji buah tomato
  • 3 ulas bawang putih
  • Lada hitam (boleh ganti cili) 
  • Sedikit nenas (saya guna yang dalam tin)
  • Timun jepun

Cara-cara:

  1. Semua bahan di potong dadu. Timun & tomato di buang biji. 
  2. Panaskan kuali yang sesuai. Letak sedikit minyak masak. Saya letak dalam 1 sudu besar je.
  3. Tumis bawang & lobak merah sampai naik bau dan bawang sedikit garing
  4. Masukkan sos cili, sos tomato, sedikit sos tiram atau garam, sedikit gula, buah tomato & sedikit air. Kacau sebati. Sukatan air tu terpulang. Nak kuah lebih masukkan air lebih. Saya buat kering-kering sikit. 
  5. Dah mendidih, rasa terlebih dahulu. Tambah apa yang kurang sesuai selera. 
  6. Dah rasa, masukkan ikan. Didih kan lagi biar sebati dengan ikan.
  7. Bila hampir masak tabur timun & nenas. Kacau sedikit kemudian tutup api.
  8. Tabur daun bawang & daun sup. Siap!

Resepi Ikan Siakap Masam Manis Ala Thai Mat Gebu

Resepi Ikan Siakap Masam Manis Ala Thai mat gebu

Resepi Ikan Siakap Masam Manis Ala Thai: Sumber Mat Gebu

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap saiz sederhana
  • 1/2 camca teh serbuk lada sulah*
  • 2 camca besar tepung jagung*
  • Sedikit garam*
  • 1 batang serai, diketuk
  • 3 helai daun limau purut
  • 1 biji cili merah, buang biji dan didadu
  • 1 biji cili hijau, buang biji dan didadu
  • 1 biji bawang besar saiz sederhana, didadu
  • 2 ulas bawang putih, cincang halus
  • 1/2 inci halia, cincang halus
  • 3 camca besar sos cili Thai
  • 1 camca besar cili kisar
  • Sos ikan dan gula secukup rasa
  • 3 biji limau kasturi, perah jusnya
  • 1/2 cawan air
  • Hirisan daun bawang untuk hiasan

Cara-cara:

  1. Ikan siakap dibuang sisiknya, disiang dan cuci bersih. Perap dengan jus limau kasturi selama 15 minit. Cuci hingga bersih dan ketepikan. Lap ikan tadi dengan tissue dapur hingga kering, lumur dengan serbuk lada sulah, garam dan tepung jagung rata2. Kemudian goreng ikan tadi hingga masak dan garing kedua2 bahagian. Angkat, toskan dan letak dalam pinggan sesuai. Ketepikan.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang putih, halia dan bawang besar hingga harum, masukkan serai titik dan cili kisar, tumis hingga cili garing. Masukkan  sos cili Thai, kacau dan masak sekejap. Masukkan air dan biar mendidih.
  3. Tambah cili merah, cili hijau dan jus limau kasturi. Perasakan dengan sos ikan secukupnya, dan sedikit gula jika perlu. Masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Curah kuah masam manis atas ikan dan tabur hirisan daun bawang. Hidangkan segera.

Resepi Ikan Bawal Masam Manis Bonda

Resepi Ikan Bawal Masam Manis Bonda

Resepi Ikan Bawal Masam Manis: Sumber Resepi Bonda

Bahan A:

  • 2 ekor ikan bawal
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • Garam secukupnya rasa
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan Tumbuk/Kisar:

  • 6 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia

Bahan Sos:

  • 3 sudu besar sos cili
  • 5 sudu besar sis tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Air secukupnya
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 biji tomato (belah 4)
  • 1 chili merah/hijau (potong pendek)
  • 1/4 cawan sayur campur (mix vegetables)
  • 1 labu bawang holland/bawang besar (hiris bulat)
  • Daun sup (hiris kasar)

Cara-cara:

  1. Lumur ikan dengan garam dan kunyit. Panaskan minyak. Goreng ikan sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak bekas menggoreng ikan tadi. Tumis Bahan yang ditumbuk atau kisar tadi. Tumis hingga wangi.
  3. Masukkan sos cili, sis tomato, dan sis tiram. Gaul. Masukkan sedikit air, kacau lagi.
  4. Masukkan gula dan garam secukupnya rasa. Kacau. Rasa. Masukkan tomato dan cili. Masukkan mix vege. Kacau sebenar.
  5. Masukkan bawang. Kacau lagi. Apabila bawang layu, tutup api. Tuang bahan sos ke atas ikan. Tabur daun sup. Siap!

Resepi Ikan Bawal Masam Manis Mat Gebu

ikan bawal masam manis mat gebu

Ikan Bawal Masam Manis: Sumber Mat Gebu

Bahan-bahan:

  • 2 – 3 ekor ikan bawal hitam saiz sederhana (sebesar tapak tangan setiap seekor), disiang dan cuci bersih*
  • 1 camca teh serbuk kunyit*
  • 3/4 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap 10 minit)
  • 1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning), dipotong kiub
  • 1 biji bawang besar hiris kasar
  • 3 ulas bawang putih, cincang halus
  • 1 camca besar cili kisar
  • 1 batang leek, potong kecil dan rendam
  • 1 cawan isi nanas dalam tin dipotong kiub (boleh guna nanas segar, lagi sedap)
  • 1/4 cawan sos cili Thai (jenama LIFE)
  • 2 camca besar sos plum (jenama LIFE)
  • 1 camca besar sos tomato
  • 1 cawan air (che mat guna jus nanas dari nanas dalam tin)
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Hirisan daun bawang, untuk hiasan

Cara-cara:

  1. Ikan bawal digoreng hingga kuning keemasan, angkat, toskan dan susun dalam pinggan sesuai. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak dan tinggalkan dalam 4 camca besar. Tumis bawang putih dan cili kisar hingga harum dan cili garing. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan sos cili Thai, sos plum dan sos tomato. Kacau rata dan masak sekejap. Masukkan bawang besar, kacau dan tambah air, biarkan mendidih. Masukkan leek (toskan dulu airnya) dan nanas, gaul rata. 
  3. Masukkan traffic light capsium dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa (biasanya sweet sour agak manis sedikit, tapi che mat tak taruk gula sebab dah guna jus nanas dari nanas dalam tin yang memang dah manis). Masak dengan api kecil hingga pekat sedikit.
  4. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tuang atas ikan bawal  tadi dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi panas dan lauk-lauk lain. Che mat suka biarkan dalam 15 minit untuk ikan bawal tadi sebelum dimakan, agar sos masam manis tadi menyerap dalam ikan. Selamat mencuba!

Resepi Ikan Dory Masam Manis Bernanas Mat Gebu

Resepi Ikan Dory Masam Manis Bernanas: Sumber Mat Gebu

Bahan-bahan:

  • 2 keping fillet ikan dory (setiap satu selebar tapak tangan orang dewasa)
  • 1/2 camca teh garam
  • 1 camca teh serbuk lada sulah
  • 1 putih telur
  • 4 camca besar tepung jagung
  • 1/4 bahagian traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning),di potong berbaji
  • 1 1/2 cawan isi nanas yang dipotong kiub
  • 1 biji bawang besar dibelah 6
  • 3 ulas bawang putih, cincang halus (kalau saiz bawang putih besar, guna 2 ulas)
  • 3 camca besar cili kisar
  • 3 camca besar sos tomato*
  • 3 camca besar sos cili*
  • 2 camca besar sos plum*
  • 1 camca teh sos ikan*(*bahan2 sos, disatukan dan kacau rata)
  • 1 cawan air
  • 1 camca teh tepung jagung + 2 camca besar air = dikacau rata
  • 1 camca teh bijan, digoreng tanpa minyak hingga wangi
  • Sedikit hirisan daun bawang, untuk hiasan

Cara-cara:

  1. Fillet ikan dory dipotong kiub (sebesar saiz ibu jari orang dewasa), kemudian perap dengan jus limau nipis atau jus limau kasturi selama 15 minit. Cuci bersih dan toskan. Gaul isi ikan tadi dengan serbuk lada sulah dan 1/2 camca teh garam hingga rata, perap 20 minit. Kemudian gaul dengan putih telur dan tepug jagung hingga rata, Goreng terendam hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan. Ketepikan untuk kegunaan kemudian.
  2. Dalam kuali yang sama, keluarkan minyak dan tinggalkan kurang lebih 4 camca besar. Tumis bawang putih hingga wangi, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan bahan-bahan sos (*), kacau dan tuang air. Biarkan mendidih.
  3. Masuk nanas dan bawang besar, masak hingga lembut. Tambah traffic light capsicum dan isi ikan dory yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan tuang bancuhan tepung jagung. Masak hingga pekat. Rasa dan jika perlu masukkan sedikit garam atau anda boleh guna sos ikan. Masak sekejap lagi dan matikan api. Tabur dengan bijan dan hirisan daun bawang. Hidangkan segera bersama nasi. Sedap dimakan panas.

Resepi Bawal Sweet Sour Azlita Aziz

Bawal Sweet Sour Azlita Aziz

Bawal Sweet Sour: Sumber Azlita Aziz

Bahan:

  • 2 ekor ikan bawal sederhana besar.

Cara-cara:

  1. Siang ikan dan cuci bersih.
  2. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit dan goreng terendam dengan minyak yang banyak hingga garing dan kuning keemasan.
  3. Angkat ikan dan letakkan di dalam pinggan hidang.

Bahan Tumis:

  • Sedikit minyak untuk menumis
  • 4 ulas bawang merah ~ ditumbuk atau kisar
  • 3 ulas bawang putih ~ di tumbuk atau kisar
  • 1 inc halia ~ di hiris nipis atau hiris memanjang besar lidi mancis
  • 1 labu bawang besar ~ hiris nipis atau di dadu
  • 6 batang cili padi ~ di ketuk atau belah dua
  • 4 helai daun limau purut ~ buang batangnya dan siat-siat

Bahan Sos:

  • 2 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 1 sudu besar sos tiram
  • garam dan gula secukup rasa

Bahan Sayur:

  • 1 biji timun sederhana besar ~ di potong dadu
  • 1 biji tomato  ~ belah 6
  • 1 batang lobak merah sederhana besar ~ potong dadu
  • sedikit nenas ~ di potong dadu, boleh juga guna nenas di dalam tin
  • Sedikit capsicum merah atau hijau ~ di potong dadu ( jika suka)
  • Sedikit bunga kobis ~ hiris ( jika suka)
  • Sedikit putik jagung ~ hiris ( jika suka)
  • Daun bawang ~ ambil bahagian bawangnya dan potong 2 ( bahagian daun di hiris untuk tabur kemudian nanti)
  • cili merah dan hijau untuk hiasan

Cara-cara:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan cili padi hingga harum.
  2. Tambahkan bawang besar dan daun limau purut. Bila dah naik harum, masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.
  3. Jika kuahnya pekat, boleh tambahkan sedikit air. Masak hingga merenih. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  4. Masukkan sayur-sayuran yang telah di potong. Biarkan layur sebentar.
  5. Bila dah masak, bolehlah curahklan di atas ikan yang telah di letakkan atas pinggan hidang tadi.
  6. Hiaskan dengan cili merah dan hijau yang di hiris dan taburkan juga hirisan daun bawang.

Resepi Ikan Siakap Masam Manis Cuka

ikan-siakap-masam-manis-cuka

Ikan Siakap Masam Manis Cuka: Sumber Ain Mohd Kitchen

Bahan A: (Lumur ikan)

  • 1 ekor ikan sikap dibasuh bersih dan dibuang sisik
  • 1 sudu tepung jagung
  • 1 sudu serbuk kunyit
  • 1/2 sudu garam

Bahan B: (Bahan Kisar)

  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 biji tomato
  • 1 senduk cili yang sudah dikisar (blh guna cili kering yg belum dikisar)
  • 1 sudu sos tiram
  • 1 sudu sos cili
  • 1 sudu sos ikan
  • 1 sudu cuka masakan

Bahan C: (Sampingan)

  • 1 senduk minyak masak
  • 1 biji bawang besar dipotong dadu
  • 1/2 biji tomato dipotong dadu
  • 3 biji cili padi ketuk shj
  • 1 btg serai dihiris menyerong
  • 1 batang daun ketumbar
  • Sedikit air jika perlu
  • 1/2 sudu garam
  • 1/2 sudu perasa masakan hilal

Cara-cara:

  1. Mula-mula sekali, basuh ikan bersih-bersih. Sisiknya kita dah minta pakcik yang jual tu buangkan. Kemudian, lumur-lumur dgn bahan A dan goreng garing. Dah siap, ketepikan.
  2. Seterusnya, kisar hancur semua bahan B.
  3. Jangan lupa masukkan semua sos untuk dikisar sekali.
  4. Cuka ni bahan utama dalam resepi ni, jadi jangan lupa ya masukkan sekali ke dalam mesin kisar. Dah kisar hancur, ketepikan sekejap.
  5. Kemudian, sediakan bahan C. Dah siap, tumis semua bahan yang kita kisar td, biar masak naik bau sekejap baru masukkan semua bahan C tadi.
  6. Gaul sebati, dan boleh masukkan sedikit air jika kering. Masukkan garam dan perasa masakan. Boleh rasa masakan kita, mana yang kurang boleh ejas. Pastikan masakan kita mendidih elok supaya betul-betul masak. Dah siap, boleh la tuang ke atas ikan siakap yang sudah digoreng tadi.

Penutup

Resepi ini yang penting kena seimbangkan rasa masam, manis dan masin. Sesuaikan rasa dan kepekatan ikut citarasa anda. Selalunya masakan ini popular di restoren dan harganya agak mahal, jadi apakata kita masak di rumah ikut resepi di atas. Nak pikat suami dan anak-anak, pastilah ini resepi yang patut dicuba. 

Anda juga boleh cuba resepi ini:

Leave A Reply

Your email address will not be published.