fbpx

15 Resepi Pucuk Ubi Sedap (Masakan Kampung Penambat Selera)

0

Hari ini saya nak kongsikan resepi pucuk ubi. Pucuk ubi sedap dan sesuai dimasak dengan pelbagai jenis masakan. Contohnya, resepi pucuk ubi goreng ala Dato Rizalman ranggup dan sedap dimakan dengan nasi panas-panas. Pucuk ubi senang diperolehi, ianya sejenis sayur kampung yang segar dan boleh ditanam merata-rata tempat tanpa penjagaan yang khusus.

Resepi Pucuk Ubi Goreng Ala Dato Rizalman

pucuk ubi goreng ala dato rizalman

Pucuk Ubi Goreng: Sumber Majalah PaMa

Bahan-bahan Pucuk Ubi Goreng:

  • 1 besen besar pucuk ubi – basuh bersih, keringkan
  • 1 mangkuk kecik ikan bilis – basuh bersih, keringkan dan gaul tepung beras
  • 2 biji bawang besar – hiris
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 inci belacan
  • 1 ketul ikan masin kurau – sebesar tapak tangan ikan masin kurau (goreng, kiraikan isinya blender kering)
  • Segenggam cili kering – rebus, basuh, toskan dan blender kering

Cara-cara:

  1. Panaskan kuali, panaskan minyak masak yang banyak dan goreng pucuk ubi sehingga rangup. Toskan.
  2. Goreng ikan bilis hingga rangup dan toskan.
  3. Tumis bawang hingga garing.
  4. Tumis smpai cili tu masak dan kering sedikit, masak lama sikit lepas tu baru masukkan isi ikan kurau. Kacau sebati.
  5. Masukkan cili kering kacau-kacau dan masukkan garam serta gula. Gula kena letak lebih sikit dan kacau. Masukkan belacan dan asam gelugur. Kacau lagi.
  6. Masukkan ikan bilis dan tutup api.
  7. Akhir sekali masukkan pucuk ubi dan gaul perlahan sampai rata. Jangan kasar sangat sebab tak nak bagi pucuk ubi hancur.
  8. Bila dah rata elok, angkat letak dalam bekas dan biar dia sejuk sendiri.

Resepi Pucuk Ubi Ikan Bilis

pucuk ubi ikan bilis

Pucuk Ubi Ikan Bilis: Sumber Rasa.my

Bahan-bahan Ubi Ikan Bilis:

  • 500 gm pucuk ubi kayu rebus
  • 150 gm ikan bilis – kisar kasa
  • 7 ulas bawang merah – kisar kasar
  • 4 ulas bawang putih – kisar kasar
  • 10-15 tangkai cili padi – kisar kasar
  • Garam dan gula secukupnya
  • 150 ml minyak masak

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar hingga naik bau.
  2. Masukkan pucuk ubi, gaul rata di atas api sederhana.
  3. Kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa.
  4. Kecilkan api dan terus kacau sehingga pucuk ubi agak kering.
  5. Setelah cukup rasa angkat dan hidangkan.

Resepi Rendang Pucuk Ubi Azie Kitchen

rendang pucuk ubi azie kitchen

Rendang Pucuk Ubi: Sumber Azie Kitchen

Bahan-bahan Rendang Pucuk Ubi:

  • 250 gram pucuk ubi 
  • 1/2 kg santan segar
  • 4 ulas bawang merah – dihiris
  • 1-2 batang serai – ketuk
  • 1/2 mangkuk ikan bilis 
  • Garam
  • Sedikit gula 

Bahan kisar:

  • 15 tangkai cili api
  • 1 inci kunyit hidup

Cara-cara:

  1. Asingkan daun pucuk ubi yang lembut dari tangkainya. Basuh, rendam dengan sedikit garam dan toskan. 
  2. Masukkan santan, serai, garam, ikan bilis, bawang hiris dan bahan kisar ke dalam kuali. Masak dengan api sederhana dan sentiasa  dikacau. 
  3. Setelah kuah agak kering dan pecah minyak, baru masukkan pucuk ubi. 
  4. Perlahankan api dan sentiasa dikacau sehingga pucuk ubi kering dan garing. 
  5. Masukkan sedikit gula, sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api dan sedia untuk dinikmati. 

Nota:

  • Rendang ini boleh tahan selama 3 hari tanpa dipanaskan.

Resepi Rendang Pucuk Ubi Mat Gebu

rendang pucuk ubi mat gebu

Rendang Pucuk Ubi: Sumber Mat Gebu

Bahan-bahan Rendang Pucuk Ubi:

  • 2 cekak pucuk ubi, pilih yang muda
  • 3 helai daun kunyit
  • 3 batang serai, diketuk
  • 5 biji bawang merah kecil, dihiris halus
  • 1 genggam ikan bilis yang telah dibersihkan, cuci dan toskan
  • 1 kg santan pekat (guna santan segar)
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam secukup rasa
  • 1/2 camca teh gula, jika suka

Bahan-bahan tumbuk halus:

  • 1/3 cawan cili padi kampung (campur yang hijau dan merah), boleh kurang atau lebihkan
  • 2 inci kunyit hidup

Cara-cara:

  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya. Cuci bersih dan toskan. Daun kunyit, dibuang bahagian tengahnya, kemudian hiris halus. Ketepikan. Dalam kuali, masukkan santan, bahan-bahan tumbuk halus, ikan bilis, serai, hirisan bawang merah dan sedikit garam, anggaran 1 camca teh. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Sederhanakan api, terus memasak sambil dikacau hingga santan terbit minyak. Masukkan asam gelugor, sedikit gula (jika guna), hirisan daun kunyit dan pucuk ubi tadi. Gaul rata dan masak hingga pucuk ubi kecut. Kecilkan api, dan biarkan hingga kering dan bertukar warna gelap, jangan lupa dikacau sekali sekala.
  3. Rasa dan jika perlu baru ditambah sedikit lagi garam. Terus mengacau hingga rendang pucuk ubi betul-betul kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan atau bila rendang pucuk ubi sejuk, taruk dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk untuk tahan  lebih lama. Selamat mencuba.

Resepi Masak Lemak Pucuk Ubi

masak lemak pucuk ubi

Masak Lemak Pucuk Ubi: Sumber batupahatlife

Bahan-bahan Masak Lemak Pucuk Ubi:

  • Pucuk ubi – 5 cekak
  • Santan kelapa – 1 biji
  • Bawang merah – 5 biji
  • Bawang putih – 3 biji
  • Ikan bilis – 1/2 cawan
  • Cili padi – 10 biji
  • Garam
  • Serbuk perasa (Ajinomoto)

Cara-cara:

  1. Pucuk ubi direbus sehingga lembut (1/2 jam).
  2. Toskan pucuk ubi. Perah air yang berlebihan.
  3. Tumbuk separa lumat bawang merah, bawang putih, ikan bilis, cili padi.
  4. Rebus bahan tumbuk dengan sedikit air sehingga masak (5 minit).
  5. Masukkan santan. Masukkan garam dan serbuk perasa. Kacau selalu untuk mengelakkan santan pecah. Masak sehingga mendidih.
  6. Masukkan pucuk ubi. Kacau lagi sehingga mendidih. Tutup api.

Resepi Masak Lemak Putih Pucuk Ubi

masak lemak putih pucuk ubi

Masak Lemak Putih Pucuk Ubi: Sumber Nennie

Bahan-bahan Masak Lemak Putih Pucuk Ubi:

  • 1 ikat pucuk ubi
  • 3 cawan santan – boleh tambah
  • 2 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • segenggam ikan bilis
  • 1 batang serai – di titik

Cara-cara:

  1. Ambil semua pucuk ubi dan di rebus sampai empuk/layu kemudian ditos dan ketepikan dulu , buang semua air rebusan tadi .
  2. Bawang merah dan putih ditumbuk lumat .
  3. Masukkan santan, semua bawang, serai dan ikan bilis ke dalam periuk .
  4. Biarkan sampai kuah mendidih dan boleh la di masukkan semua pucuk ubi  dan garam secukup rasa , sekali sekala kacau sampai semua sayur sebati dengan kuah dan masak .

Resepi Masak Lemak Pucuk Ubi Kayu

masak lemak pucuk ubi kayu

Masak Lemak Pucuk Ubi Kayu: Sumber Aneka Resipi

Bahan-bahan Masak Lemak Pucuk Ubi Kayu:

  • 1 cekak pucuk ubi kayu
  • 1 kotak kecil santan Kara
  • 1 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah kecil
  • 1 genggam ikan bilis atau udang kering – direndam 10 minit
  • 1 batang serai
  • 1 inci kunyit hidup
  • 4 biji cili padi
  • 1 biji cili hijau
  • 2 cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

  1. Tumbuk ikan bilis, bawang putih, bawang merah, kunyit dan cili api. Potong serong cili hijau. Ketuk serai.
  2. Pucuk ubi ambil bahagian lembut dan daun sahaja, buang tangkai, kemudian potong kecil-kecil. Rebus hingga lembut, kemudian bilas dan toskan.
  3. Masukkan bahan tumbuk, serai dan air. Masak sambil mengacau sampai menggelegak.
  4. Masukkan pucuk ubi dan santan. Masak sambil mengacau.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Bila mendidih, kecilkan api dan masukkan cili hijau. Renehkan seketika supaya pucuk ubi mesra dengan kuah. Sentiasa kacau supaya santan tidak pecah minyak.
  7. Tutup api, angkat dan hidangkan.

Resepi Masak Lemak Pucuk Ubi Ikan Masin

masak lemak pucuk ubi ikan masin

Masak Lemak Pucuk Ubi Ikan Masin: Anie Mohamed

Bahan-bahan Masak Lemak Pucuk Ubi Ikan Masin:

  • Satu kepala atau tulang ikan masin (tapi nak sedap letak jugaklah isinya) – ikan talang, sebab favourite sis. (rendam seketika dan basuh)
  • Semangkuk pucuk ubi yang telah disimpul (basuh bersih)
  • 1 ulas bawang merah (kecil) – dihiris
  • 1 ulas bawang putih – dihiris
  • Sedikit serbuk kunyit (kalau malas tumbuk kunyit hidup)
  • 5 biji cili padi (ikut suka hati korang nak pedas ke tak)
  • Sekotak santan santan (saiz kecil)
  • 1 batang serai (dititik)
  • Maggi cukup rasa
  • 1 asam keping

Cara-cara:

  1. Tumbuk kunyit hidup dan cili padi sampai lumat. Kemudian tumbuk-tumbuk seketika bawang dan bawang putih yang telah dihiris tadi.
  2. Masukkan kepala ikan/tulang/isi ikan masin ke dalam periuk.
  3. Kemudian masukkan daun pucuk ubi.
  4. Lepas tu masukkan pula bahan-bahan yang ditumbuk tadi (kunyit hidup, cili padi, bawang putih, bawang merah dan juga serai yang telah dititik).
  5. Kemudian masukkan santan dan sedikit air (Kena pandai agak-agak sendiri kuahnya ya.)
  6. Lepas tu nyalakan api sederhana, kacau perlahan-lahan biar kesemua bahan tadi sebati.
  7. Perasakan dengan serbuk perasa, biar sehingga mendidih dan kacau.
  8. Apabila daun pucuk ubi sudah lembut dan ikan masin dah masak, kuah pun dah surut, dan cukup rasanya, masin pun dah ok. Bolehlah tutup api.
  9. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas. Perghh! Sedap.

Resepi Pucuk Ubi Tempoyak Petai

pucuk ubi tempoyak petai

Pucuk Ubi Tempoyak Petai: Sumber Zuriani Zuhri

Bahan-bahan Pucuk Ubi Tempoyak Petai:

  • Pucuk Ubi
  • Petai
  • Tempoyak
  • 3 batang serai
  • Cili padi
  • Santan
  • Serbuk kunyit/Kunyit Hidup
  • Sedikit Kerisik
  • Garam dan serbuk perasa
  • Sedikit Ikan bilis

Cara-cara:

  1. Pucuk Ubi dicelur terlebih dahulu untuk hilangkan rasa pahit.
  2. Blend cili padi, serbuk kunyit dengan ikan bilis dan sedikit air.
  3. Masukkan tempoyak dalam blender, blend sehingga halus.
  4. Kemudian, masukkan tempoyak dalam kuali. Masukkan juga petai, serai, kerisik dan santan. Kacau sebati.
  5. Perasakan dengan garam dan bahan perasa secukupnya.
  6. Masak sehingga pucuk ubi lembut.

Resepi Pucuk Ubi Masak Lemak Tempoyak Petai

Pucuk Ubi Masak Lemak Tempoyak Petai

Pucuk Ubi Masak Lemak Tempoyak Petai: Sumber Yus Nila

Bahan-bahan Pucuk Ubi Masak Lemak Tempoyak Petai:

Bahan-bahan di Hiris Kasar

  • 1 ikat pucuk ubi – hiris kasar
  • 10 helai daun pucuk kaduk – hiris kasar
  • 10 helai pucuk labu – hiris kasar

Bahan-bahan di Hiris Halus

  • 3 helai daun kunyit 
  • 4 batang serai 

Bahan-bahan di Tumbuk

  • 20 biji cili api 
  • 1 1/2 inci kunyit hidup
  • 1 genggam ikan bilis

Bahan-bahan lain

  • 6 sudu besar tempoyak
  • 1 1/2 cawan santan pekat
  • 1 cawan air
  • 3 papan petai
  • 1 keping asam keping
  • garam bukit secukupnya.

Cara-cara:

  1. Rebus sekejap pucuk ubi yang dah di hiris kasar tadi. Toskan.
  2. Di dalam lesung batu, tumbuk cili api dan kunyit hidup hingga hancur. Kemudian masukkan ikan bilis dan tumbuk kasar. Masukkan ke dalam periuk.
  3. Tumbuk kasar serai yang di hiris halus tadi juga dan masukkan ke dalam periuk.
  4. Masukkan santan, tempoyak, asam keping, petai, pucuk ubi, pucuk kaduk, pucuk labu dan gaul atas api sederhana.
  5. Masak hingga mendidih dan masukkan garam.
  6. Masak ikut kepekatan yang dikehendaki. 

Nota:

  • Kalau pucuk kaduk dengan pucuk labu tak ada, boleh masak pucuk ubi tu sahaja. Sukatan bahan lain tetap sama.
  • Resepi ni memang tak guna bawang.

Resepi Tumis Pucuk Ubi

tumis oucuk ubi

Tumis Pucuk Ubi: Sumber HaSue

Bahan-bahan Tumis Pucuk Ubi:

  • Pucuk ubi – secekak/seikat
  • 1 cili merah – boleh tambah beberapa cili padi ikut selera*
  • 2 Ulas bawang merah*
  • 1 Ulas bawang putih*
  • segenggam udang kering* – boleh gantikan dengan ikan bilis
  • 1/2-1 sudu belacan*
  • 1cm halia – dihiris halus
  • Susu sejat – lebih kurang 1/4 cawan

Cara-cara:

  1. Pucuk ubi dileraikan dari tangkainya. Potong menggunakan tangan dengan ‘memulas’ sedikit demi sedikit. Maknanya sekali lerai tadi, dalam 2, 3 pucuk ubi boleh dipulas sekaligus. (harap faham lah ya). Cuci dan toskan
  2. Tumbuk/kisar bersama bahan bertanda *
  3. Panaskan dalam 1/3 minyak masak dalam kuali, tumis bahan yg dikisar tadi, jika suka masukkan juga halia.
  4. Setelah kekuningan, masukkan pula pucuk ubi dan kacau goreng seketika.
  5. Masukkan susu sejat dalam 1/4 cawan atau ikut selera. Perasakan dengan garam dan perasa.
  6. Sebatikan rasa dan padamkan api. Dah siap!

Resepi Kerabu Pucuk Ubi Johor

kerabu pucuk ubi johor

Kerabu Pucuk Ubi Johor: Sumber Tumis.my

Bahan-bahan Kerabu Pucuk Ubi Johor:

  • 2 ikat pucuk ubi
  • 1 biji kelapa muda (parut)
  • 4 helai daun cekur (hiris nipis)
  • Biji cekur sebesar ibu jari
  • 6 biji cili padi
  • Garam secukup rasa
  • Air bercampur 2 sudu besar minyak masak untuk merebus
  • 8 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Segenggam ikan bilis

Cara-cara:

  1. Rebus pucuk ubi dengan air yang bercampur minyak masak. Apabila lembut, toskan.
  2. Goreng kelapa parut tanpa minyak hingga agak kering (jangan sampai jadi kerisik).
  3. Goreng bawang merah, bawang putih dan ikan bilis.
  4. Kisar bahan ini dengan biji cekur, cili padi dan gaul dengan garam dan kelapa parut goreng.
  5. Gaulkan pucuk ubi dan daun cekur hiris. Masak selama 2 minit dengan api sederhana.

Resepi Pucuk Ubi Sambal Minang

pucuk ubi sambal minang

Pucuk Ubi Sambal Minang: Sumber Juliet

Bahan-bahan Pucuk Ubi Sambal Minang:

  • Daun pucuk ubi secekak
  • Cili merah 2 biji
  • Bawang merah 3-4 biji
  • Bawang putih 2 biji
  • Cili padi 7-8 biji
  • Tomato 1 biji
  • Ikan bilis sedikit
  • Belacan 2 cm
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Pucuk ubi dibersihkan dan direbus lebih kurang 15 minit.
  2. Bila dah masak, toskan air, kepal pucuk ubi tersebut dan potong lebih kurang 1cm lebar.
  3. Kemudian cerai-ceraikan.
  4. Bahan-bahan lain iaitu belacan, cili merah, cili padi, bawang merah, bawang putih dan tomato dipotong kasar dan digoreng dengan minyak di dalam kuali.
  5. Setelah semua bahan dah layu dan sedikit garing, kisarkan semuanya kecuali ikan bilis.
  6. Di dalam kuali, panaskan sedikit minyak untuk menumis. Kemudian masukkan ikan bilis yang telah ditumbuk kasar.
  7. Kemudian masukkan bahan-bahan yang telah dikisar.
  8. Goreng sehingga bahan tumisan garing. Masukkan garam secukup rasa.
  9. Kemudian masukkan sayur pucuk ubi yang telah dipotong tadi.
  10. Gaul sehingga sebati dan goreng sehingga agak kering.
  11. Sedia untuk dihidangkan.

Resepi Pucuk Ubi Goreng Belacan

pucuk ubi goreng belacan

Pucuk Ubi Goreng Belacan: Sumber Salina Jalaludin

Bahan-bahan Pucuk Ubi Goreng Belacan:

  • 1 genggam pucuk ubi.
  • 2 biji bawang merah.
  • 1 ulas – bawang putih.
  • 1 – biji cili merah.
  • Sedikit – belacan (ikut citarasa).
  • Sedikit – garam.
  • Sedikit – air.

Cara-cara:

  1. Pucuk ubi direbus sehingga empuk.
  2. Bawang merah, bawang putih, cili besar dan belacan ditumbuk lumat.
  3. Tumis sehingga naik bau.
  4. Masukkan pucuk ubi dan sedikit air (untuk elakkan hangit). Kacau sebati.
  5. Masak sehingga mendidih dan sebati. Tutup api, angkat dan sedia untuk dihidangkan.

Resepi Daun Pucuk Ubi Goreng Belacan

Daun Pucuk Ubi goreng belacan

Daun Pucuk Ubi Goreng Belacan: Sumber Daus Redscarz

Bahan-bahan Daun Pucuk Ubi Goreng Belacan:

  • Pucuk Ubi
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Serai
  • Belacan
  • Ikan bilis @ udang kering
  • Cili

Cara-cara:

  1. Tumbuk lumat pucuk ubi tapi jangan sampai hancur. 
  2. Bawang putih, bawang merah, belacan, ikan bilis, cili tumbuk lebih baik dari blend. Kalau tak ada ikan bilis, udang kering pun boleh. Belacan tu tak perlu letak banyak sangat. Cili ikut citarasa. Serai tumbuk bagi pecah sahaja. Jangan hancur. Sebatang dah cukup.
  3. Panaskan api. Tumis dulu bahan campuran bawang semua tu masuk sekali serai. Tumis sampai naik bau. Dah naik bau baru masukkan daun pucuk ubi yang telah ditumbuk. Masukkan garam secukup rasa. Gaul-gaul sampai sampai sebati. Kalau kering sangat masukkan air sesudu dua. Tak lama pun nak goreng, kejap sahaja. 

Penutup

Resepi pucuk ubi ini sedap digandingkan dengan Resepi Sambal Belacan. Jika inginkan masakan yang simple sebagai pelengkap, Resepi Telur Dadar pun sedap! Apatah lagi Resepi Bayam Brazil , cukup semua rasa! 

Pucuk ubi mengandungi khasiat yang bagus untuk badan kerana mempunyai pelbagai mineral, vitamin, asid amino dan protein. Sesuai untuk orang yang ingin menurunkan berat badan, kerana kandungan asid amino dalam dedaun hijau berfungsi sebagai pemecah karbohidrat kepada tenaga. Selain itu, dapat mengatasi masalah sembelit dan sistem penghadaman. Jom cuba Tip Diet ini.

5/5 - (1 vote)
Leave A Reply

Your email address will not be published.