fbpx

5 Resepi Nasi Kerabu Sedap 2021: How To Make The Best Kelantan Signature Dish?

Hari ini saya nak kongsi 'signature dish' yang popular di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Nasi Kerabu yang berwarna biru dihasilkan daripada kelopak bunga telang yang biasa digunakan dalam masakan orang melayu. Nasi kerabu juga telah divariasi kan, ada nasi kerabu berwarna kuning, putih dan hitam. Tapi yang biasa nampak, warna biru lah. Itu signature nasi kerabu yang semua orang tahu. Nasi kerabu sedap dihidangkan bersama solok lada, bawang putih jeruk, ikan rebus goreng dan macam macam lagi. Jika Nasi Beringin popular di selatan tanah air, Nasi Daging pula popular di utara tanah air. Pastinya, Nasi Kerabu popular di pantai timur. 

Resepi Nasi Kerabu Mat Gebu

Nasi-Kerabu-Mat-Gebu

Nasi Kerabu: Sumber Mat Gebu

Bahan Untuk Nasi:

  • 3 cawan beras basmathi, cuci dan rendam 30 minit, toskan
  • 25 kuntum bunga telang, cuci, tosk dan tumbuk lumat*
  • 2 camca besar air suam*(*disatukan dan perah untuk jusnya, tapis)
  • 4 1/3 cawan air + jus bunga telang tadi
  • 1 helai daun pandan, disimpul

Bahan Untuk Sambal Sotong:

  • 500 gram sotong (mat guna sotong kembang) dipotong
  • 2 camca besar sos cili
  • 1 camca besar gula merah
  • 1 biji bawang besar*
  • 3 ulas bawang putih*
  • 3 biji cili merah (mat guna 4)*(*dikisar halus)
  • Garam secukup rasa

Bahan Untuk Sambal Budu:

  • 350 ml pati santan
  • 10 – 12 tangkai cili kering, hiris dan rendam hingga lembut*
  • 6 biji bawang merah*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 1 1/2 cm halia*(*dikisar halus)
  • 1 keping asam gelugor
  • 4 camca besar ‘budu’
  • 1 camca besar gula

Bahan Untuk Sambal Kelapa:

  • 1/2 biji kelapa, diparut putih (kurang lebih 1 1/4 cawan)
  • 1 ekor ikan kembong, dibakar, ambil isinya dan tumbuk
  • 5 biji bawang merah*
  • 2 batang serai, hiris*
  • 1/2 camca teh lada hitam biji*(*ditumbuk lumat)
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan Ulam:

  • Hirisan daun selom, secukupnya
  • Hirisan pucuk ulam raja, secukupnya
  • Hirisan kacang panjang, secukupnya
  • Hirisan kacang botor, secukupnya
  • Hirisan halus bunga kantan
  • Hirisan daun kesom, secukupnya
  • Hirisan kobis, secukupnya
  • Hirisan halus serai (bahagian putih sahaja) secukupnya
  • Hirisan halus timun, secukupnya
  • Hirisan halus daun kunyit, secukupnya
  • Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan

Bahan Sampingan:

  • Ikan kembong goreng celop tepung
  • Telur asin
  • Belahan limau nipis
  • Keropok (tak letak, sebab takde)

Cara-cara:

  1. UNTUK NASI :- Masukkan beras dalam periuk nasi elektrik, tuang air + jus bunga telang dan masukkan daun pandan. Kacau rata dan masak hingga nasi tanak, biar betul2 masak dan boleh gemburkan dengan chopstick (kalau anda nak guna beras siam, sukatan air 1 nisbah 1, atau 1 bahagian beras : 1 bahagian air).
  2. UNTUK SAMBAL SOTONG :- Celur sotong kembang sekejap dan toskan. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan sos cili dan gula merah. Masak hingga terbit minyak. Masukkan sotong, perasakan dengan garam secukupnya. Masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matika api.
  3. UNTUK SAMBAL ‘BUDU’ :- Masak santan kelapa dengan api sederhana hingga keluar minyak, kacau selalu. Masukkan bahan kisar halus, budu dan asam gelugor. Tambah gula dan masak hingga pekat. Matikan api.
  4. UNTUK SAMBAL KELAPA :- Goreng kelapa parut putih hingga wangi dan perang sedikit. Kemudian gaul dengan bahan2 tumbuk halus. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  5. UNTUK NASI KERABU :- Senduk nasi secukupnya ke dalam pinggan sesuai. Letakkan semua ulam2 tadi dalam kuantiti yang secukupnya (jangan banyak sangat). Letak bahan sampingan dan hidangkan bersama sambal kelapa, sambal budu dan sambal sotong. Sedap dimakan dengan sambal sotong sejurus anda gaulkan nasi tadi dengan ulam-ulaman, sambal kelapa dan sambal budu.

Nota:

  • Untuk sambal budu tu, mat guna 10 biji cili padi merah thai dan 2 camca besar cili kisar. Anda boleh guna apa-apa saja ulaman yang anda rasa nak letak, tapi pastikan ulam-ulaman tadi dicuci, kasi tos kering-kering, dan baru dihiris halus. Untuk ikan pula, guna ikan kembong saiz kecil atau ikan kembong batu. Selamat mencuba!

Resepi Nasi Kerabu Kelantan Azie Kitchen

Nasi-Kerabu-Kelantan-Azie-Kitchen

Nasi Kerabu Kelantan: Sumber Azie Kitchen

Bahan Nasi:

  • Masak beras seperti biasa. Masukkan bunga telang dan kacau kacau bagi rata warnanya, jika mahukan nasi kerabu berwarna biru. Saya hanya memasukkan pewarna biru dan daun limau purut. Jika suka boleh juga masukkan 1 batang serai ketuk.

Bahan Kuah Tumis:

  • ½ kg santan segar pekat
  • 7 biji bawang merah
  • ½ labu bawang putih
  • 3 biji bawang besar
  • 15 tangkai cili kering
  • 1 inci halia
  • 1 batang serai – ketuk
  • 1 keping asam keping
  • 2 sudu besar gula 
  • Sedikit gula melaka
  • 2 sudu besar budu
  • Garam (kena rasa masin dulu)

Cara-cara:

  1. Blend semua bahan di atas kecuali serai diketuk. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk dan serai sehingga wangi. Masukkan sedikit air dan masak sehingga mendidih.
  2. Masukkan santan dan sentiasa dikacau supaya santan tidak berketul. Masukkan asam keping, budu dan gula. Jika menggunakan budu, dirasakan dulu sebelum dimasukkan garam. Masak sehingga pecah minyak. 

Nota:

  • Kuah tumis biar ada rasa masin masin sikit. Kuah tumis sedap disediakan lebih awal dan mesti agak pekat. Kalau makan pagi, disediakan disebelah malamnya.

Bahan Sambal Kelapa:

  • 1 ekor ikan kembung – rebus & ambik isi½ biji kelapa parut – goreng
  • 4 biji bawang merah 
  • 2 batang serai 
  • Garam
  • Gula 

Cara-cara:

  1. Goreng kelapa tanpa minyak dan kacau sentiasa supaya tidak hangit. Kelapa goreng ditumbuk kasar ketika masih panas panas. Tumbuk semua bahan lain dan gaul dengan kelapa goreng.
  2. Tumbuk lagi sekali. Kali ini saya cuma menggaul rata, tak ditumbuk lagi selepas digaul. Masukkan garam dan gula secukupnya.

Ulam-ulaman:

  • Kacang panjang
  • Kubis
  • Timun
  • Daun kesum
  • Bunga kantan
  • Bawang besar
  • Kacang botol
  • Taugeh

Hiris halus kesemua ulam ulaman. 

Bahan Sambal Cili

  • Cili padi
  • Cuka
  • Garam
  • Gula 

Sambal cili adalah wajib jika tak dibuat kuah tumis.

Cara Menghidang:

  1. Letakkan nasi di dalam pinggan. Masukkan ulam ulaman diikuti dengan sambal kelapa.
  2. Kemudian sendukkan sedikit kuah tumis, budu dan sambal.
  3. Akhir sekali, letakkan keropok dan lauk pauk seperti telur masin, daging bakar, ikan celup tepung, daging goreng dll.
  4. Jika suka letakkan pulak sayuran seperti solok lada, bawang putih jeruk dll.
  5. Gaul rata dan sedia untuk dinikmati. Enjoy!

Resepi Nasi Kerabu BiruKu Shiela

Nasi Kerabu Biruku: Sumber Sheila

Bahan Nasi Kerabu:

  • 4 pot Beras Siam Serindit (Saya guna basmathi)
  • 5 pot Air – bergantung kepada beras masing-masing
  • 3 helai Daun Limau Purut – dikoyak-koyak
  • 3 helai Daun Pandan – disiat & disimpul
  • Segenggam Bunga Telang – direndam

Cara-cara:

  1. Beras dibersihkan dan rendam sebentar dengan air bunga telan untuk menyerapkan lagi warna biru pada beras. Kemudian ditanak seperti biasa bersama-sama daun limau purut, daun pandan dan air.

Bahan Sambal Kelapa Ikan:

  • 5 ekor Ikan Kembung @ Ikan Sardin
  • 5 biji Bawang Merah
  • Sehiris Halia
  • 1/2 biji Kelapa
  • 3 batang Serai
  • 10 biji lada hitam (boleh letak lebih sekiranya suka)
  • Sedikit Garam
  • Sedikit Gula (Saya tak bubuh)

Cara-cara:

  1. Goreng kelapa seperti buat kerisik tapi jangan terlalu garing. Kemudian tumbuk kelapa hingga halus (saya guna mesin kering) tetapi jangan sampai pecah minyak.
  2. Bakar ikan @ rebus ikan. Asingkan isi dan ketepikan. Saya suka sangai dulu isi ikan ini (setelah direbus) di dalam kuali hingga kelihatan isi ikan itu seperti kapas.
  3. Tumbuk bawang merah, halia, serai, garam dan sedkit gula hingga lumat dan sebati. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam kuali bersama-sama ikan yang telah disangai terlebih dahulu dan sangai lagi hingga kering. Rasakan garamnya. Ketepikan.

Nota:

  • Sambal Kelapa Ikan ni biasanya orang buat tak garing sangat tapi saya suka garing sikit sebab dah isi kelapa dan ikan yang lembab pada Solok Lada. Ini selera saya lah ya. Maaf bukan nak derhaka pada resepi asal.

Bahan Kuah Tumis:

  • Santan Pekat dari Sebiji Kelapa
  • 10 tangkai Cili Kering
  • 5-8 ulas Bawang Merah Kecil
  • 1 ulas Bawang Putih
  • 2 batang Serai – di ketuk
  • Sehiris Lengkuas
  • 2-3 keping Asam Keping/Gelugur
  • Sedikit Budu
  • Sedikit Minyak utk Menumis

Cara-cara:

  1. Semua bahan dikisar hingga lumat kecuali serai dan asam keping.
  2. Masukkan sedikit minyak ke dalam periuk dan tumis kesemua bahan kisar hingga naik bau dan masak cilinya.
  3. Kemudian masukkan serai yang diketuk tadi bersama santan.
  4. Masukkan asam keping, gula dan garam. Didihkan dengan api perlahan hingga naik minyak.

Bahan Solok Lada:

  • 10 biji Lada Hijau (dibelah jangan sampai putus dan buang biji)
  • ½ biji Kelapa Parut Putih
  • 5 biji Bawang Merah
  • Sehiris Halia
  • 1 ekor isi Ikan Tenggiri size kecil
  • Sedikit Garam
  • ¼ cawan Santan Pekat
  • Sedikit Lada Hitam(ditumbuk kasar) – Saya tambah
  • Sedikit Kerisek – Saya tambah
  • Sedikit hirisan Daun Kunyit – Saya tambah

Cara-cara:

  1. Tumbuk bawang dan halia hingga lumat.
  2. Campurkan semua bahan dan sebatikan.
  3. Sumbatkan ke dalam lada yang telah dibuang biji tadi.
  4. Susun dalam kukusan dan kukus sebentar hingga isi lada tu masak.
  5. Ni cara saya ya. Saya rasa lebih mudah. Kalau tak, susun dalam periuk dan masak dengan santan.

Bahan-bahan Ikan Goreng Celup Tepung:

  • 5 ekor Ikan – dibersihkan dan tos
  • ½ cawan Tepung Beras
  • Sedikit Air Kapur
  • Sedikit Serbuk Kunyit
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Saya perap sebentar ikan dengan sedikit garam dan serbuk lada sula.
  2. Kemudian bancuh tepung beras bersama air kapur, serbuk kunyit, garam dan air secukupnya.
  3. Pekat cairnya seperti menggoreng pisang.
  4. Panaskan minyak.
  5. Celupkan ikan ke dalam bancuhan tepun dan goreng hingga masak.

Ulam-ulaman:

  • 2 helai Daun Kunyit
  • 5 helai Daun Cekur
  • 1 batang Bungan Kantan
  • 10 tangkai Daun Kesum
  • 5 tangkai Daun Selasih
  • 5 batang Kacang Panjang
  • 5 batang Kacang Botol
  • Sedikit Daun Selom
  • 1 biji timun – Saya lupa beli
  • 5 biji bawang putih jeruk
  • 1 labu Bawang Besar – Saya tambah
  • 1 mangkuk kecil Taugeh, dibuang ekornya

Cara-cara:

  1. Hiris halus kesemua bahan ulam halus kecuali taugeh.

Bahan-bahan Daging Bakar:

  • 1 kg Daging Batang Pinang
  • 1 sudu besar Ketumbar *
  • 1 sudah besar Jintan Manis *
  • 1/2 sudu besar Jintan Puith *
  • 3 ulas Bawang Putih *
  • Sedikit Minyak Zaitun

Cara-cara:

  1. Basuh dan toskan betul betul daging. Blend semua bahan bertanda (*) dan kemudian lumurkan pada daging.
  2. Titiskan sedikit dengan minyak zaitun.
  3. Perap semalaman di dalam fridge dan bolehlah membakor.
  4. Bakar ikutlah nak masak tara mana. Kemudian angkat dan hiris nipis.

Cara Hidang:

Sendukkan nasi ke dalam pinggan. Letakkkan sedikit sambal kelapa ikan, cili padi jeruk (air lada), kuah tumis, budu diakhiri dengan ulam. Gaul rata-rata, bolehlah dihidangkan bersama lauk-lauk yang sesuai seperti solok lada, telur masin,keropok goreng, daging bakar, ayam bakar, ayam goreng berempah dan juga ikan goreng celup tepung. Terpulanglah pada selera memasing atau apa stock lauk yang kita ada. SELAMAT MENCUBA!

Resepi Nasi Kerabu Kelantan yang sangat sedap! Azlita Aziz

Resepi Nasi Kerabu Kelantan yang sangat sedap!

Nasi Kerabu Kelantan yang sangat sedap!: Sumber Azlita Aziz

Bahan Daging Bakar:

  • 500 gram daging batang pinang ~ cuci bersih

Bahan Sangai:

  • 1 sudu teh jintan manis
  • 2 sudu teh jintan putih

~ bahan ini di sangai atau goreng tanpa minyak

Bahan Kisar:

  • 3 tangkai cili kering ~ potong, rendam lembut dan cuci bersih
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 batang serai
  • Gula dan garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Daging cuci bersih dan toskan.
  2. Sangai atau goreng tanpa minyak jintan manis dan jintan putih.
  3. Satukan semua bahan dalam mesin pengisar, tambah sedikit air  dan kisar hingga luma, lumurkan pada daging.
  4. Tutup bekas dan simpan dalam peti ais semalaman. Esoknya, bolehlah bakar.
  5. Anda boleh bakar dengan oven atau menggunakan dapur arang. Kalau nak bakar dalam magik pan pun boleh.

Bahan Kuah Tumis:

  • 1 cawan santan pekat ~ ita guna KARA
  • 7 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 labu bawang besar
  • 15 tangkai cili kering
  • 1 cm halia
  • 1 batang serai ~ di titik
  • 1 keping asam keping
  • 3 sudu besar budu
  • sedikit gula Melaka
  • gula secukup rasa
  • garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Cili kering, potong kecil dan rendam hingga lembut.
  2. Satukan cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia.
  3. Kemudian kisar dengan sedikit air.
  4. Panaskan minyak dalam kuali.
  5. Tumiskan bahan kisar  dan serai yang di titik hingga garing.
  6. Tambahkan air jika kuah terlalu kering.
  7. Kemudian masukkan santan.
  8. Biarkan ia merenih sebentar sambil di kacau supaya santan tak pecah minyak.
  9. Kemudian masukkan asam keping, budu dan gula melaka.
  10. Akhir sekali perasakan gula dan garamnya secukup rasa.
  11. Biarkan kuah pekat.

Setelah kuah siap, bolehlah kita goreng kerupuk ikan dan rebuskan telur masin. Bahan ini kita sediakan 1 hari awal supaya persedian kita untuk memasak esok hari lebih mudah dan ringkas.

Bahan Sambal Kelapa:

  • 1 ekor ikan kembung
  • 1/2 biji kelapa parut ambil putih sahaja
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 batang sera
  • garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

  1. Ikan kembung, di siang, cuci bersih dan rebus Ita rebus 2 ekor terus sebab solok lada pun guna ikan kembung juga Ita letak asam keping dan garam sedikit ketika merebus ikan Bila ikan dah empuk, angkat dan asingkan isinya.
  2. Kelapa parut pula kita sangai dalam kuali tanpa minyak. Senantiasa kacau supaya kelapa tak hangus. Bila dah masak, angkat. Larikan 3 sudu besar kelapa untuk buat solok lada.
  3. Bawang merah dan serai di tumbuk lumat. Isi ikan kembung juga di tumbuk lumat. Masukkan kelapa sangai dalam lesung dan tumbuk lumat juga. Gaulkan semua bahan yang di tumbuk. Perasakan dengan garam dan gula.
  4. Ita pula, goreng semula kelapa ini dalam kuali sebab ita tak boleh makan bawang mentah yang tak masak. Dah siap sambal kelapa kita buat solok lada pula.

Bahan Solok Lada:

  • 7 tangkai cili hijau
  • 1 ekor ikan kembung
  • 3 sudu besar kelapa parut yang telah di sangai
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 1 cawan santan
  • garam dan gula secukup rasa
  • asam limau

Cara-cara:

  1. Cili hijau kita belah tengah dan buang bijinya. Ikan kembung rebus dan asingkan isinya. Kelapa parut di sangai ~ ambil dari sangai kelapa parut untuk sambal kelapa.
  2. Tumbuk lada hitam, bawang merah, bawang putih dan halia hingga lumat. Kemudian tumbukkan pula isi ikan kembung. Tumbukkan juga kelapa yang telah di sangai tadi. Satukan dalam mangkuk, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Jika terlalu kering, perahkan asam limau atau boleh juga letakkan air asam.
  3. Lada kita belah 2 dan buang biji tengahnya. Sumbatkan kelapa dan ikan tadi dalam lada hingga penuh. Susun dalam periuk. Tuangkan santan. Rebus hingga masak. Boleh juga di kukus.

Bahan Nasi Kerabu Bunga Telang:

  • 1 gengam bunga telang
  • 2 1/2 cawan beras
  • 3 cawan air rendaman bunga telang
  • 5 helai daun limau purut ~ di koyak-koyak
  • 1 batang serai ~ di titik
  • garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Bunga telang, cuci bersih.
  2. Masukkan dalam bekas berisi air dan ramas-ramas.
  3. Biar seketika. Kemudian tapis.
  4. Beras di cuci bersih. Toskan.
  5. Tuangkan air rendaman bunga telang.
  6. Biar sebentar hingga warna serap pada beras.
  7. Masukkan serai, daun limau purut dan garam secukup rasa.
  8. Tanak nasi seperti biasa.

Bahan Air Lada:

  • 10 tangkai cili padi
  • sedikit gula Melaka
  • Sedikit garam
  • sedikit gula
  • 2 biji limau kasturi

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan dan kisar. Atau jika suka kasar boleh tumbuk lumat.
  2. Perahkan asam limau.

Bahan Ikan Celup Tepung Rangup:

  • 2 ekor ikan kembung ~ di siang dan cuci bersih
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • secubit garam
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar air kapur makan
  • 1 sudu teh kunyit
  • air secukupnya

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan kecuali ikan kedalam mangkuk. Kacau adunan rata, adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair
  2. Bila kita celup sudu adunan melekat pada sudu. Masukkan ikan dalam adunan.
  3. Panaskan minyak dalam kuali. Minyak kena panas, kalau tidak ikan serap minyak. Ambil ikan yang telah di celup tepung dan goreng. Balik-balikkan. Angkat setelah masak.
  4. Celup semula ikan yang dah goreng dalam adunan tepung dan goreng semula. Bermakna kita goreng ikan 2 kali. Angkat setelah ikan garing.
  5. Baki adunan , kita renjis dalam kuali untuk jadikan kerupuk yang rangup.

Bahan Ulam-ulaman:

  • 1 batang timun ~ potong bulat kemudian hiris halus
  • 1 kuntum bunga kamtan ~ belah 4 dan hiris halus
  • 5 batang kacang panjang ~ hiris halus
  • 2 kelopak kubis ~ buang batang tengah dan hiris halus
  • Daun kesum ~ hiris rampai
  • 3 batang kacang botol ~ potong 2 hiris halus
  • 1 mangkuk taugeh

Cara-cara:

  1. Semua sayur-sayuran ni cuci besih dahulu, kemudian keringkan.
  2. Potong atau hiris halus sayur-sayuran dan ulam-ulaman kecuali taugeh.
  3. Satukan dan gaul rata.

Alhamdulillah siap dah set hidangan nasi kerabu kita. Jika nak enak lagi boleh lah tambahkan budu. Mudah sahaja buatnya, tuang budu dalam mangkuk, hiris bawang merah dan cili padi, perahkan asam limau dan boleh di nikmati.

Resepi Nasi Kerabu Resepi Bonda

Nasi Kerabu Resepi Bonda

Nasi Kerabu: Sumber Resepi Bonda

Bahan-bahan:

A. Nasi:

  • Beras
  • Air
  • 4 helai daun limau purut
  • 1/2 sudu kecil pewarna biru

B. Sambal Tumis:

  • 3 biji bawang besar * dikisa
  • 4 ulas bawang putih * dikisar
  • 1 inch halia * dikisar
  • 2 batang serai * dikisar
  • 2 senduk cili kisar
  • 1 batang serai
  • 1 tin santan
  • 2-3 asam keeping
  • garam
  • gula
  • gula merah/ gula Melaka

C. Sambal Kelapa:

  • Isi ikan direbus (1 ekor ikan kembung)
  • Kelapa parut goreng tanpa minyak sehingga garing
  • 1 biji bawang besar
  • 2 batang serai
  • garam
  • gula

D. Sambal Cili:

  • Cili padi
  • garam
  • gula
  • 1 biji air perahan limau nipis

E. Lauk Nasi Kerabu

  • Ayam atau Ikan goreng kunyit
  • Daging bakar dihiris nipis
  • Telur masin direbus
  • Sayuran kesukaan (kubis, carrot, taugeh, salad)
  • Solok Lada

Cara-cara:

A. Nasi

  1. Masak nasi ikut sukatan macam biasa terpulang kepada kuantiti berapa pot nak masak. Masukkan daun limau purut dan pewarna biru.

B. Sambal Tumis:

  1. Panaskan minyak masak, tumis bahan kisar bersama serai sehingga terbit minyak.
  2. Masukkan cili kisar dan masak sehingga cili garing. Masukkan asam keping dan biarkan sekejap.
  3. Masukkan garam, gula dan gula merah dan biarkan sebati.
  4. Masukkan santan dan kacau sehingga santan dan sambal mesra.

  5. Kacau sambal perlahan-lahan dan masak sehingga sedikit pekat.

C. Sambal Kelapa:

  1. Kisar isi ikan yang siap direbus bersama bawang dan serai.

  2. Bahan kisar tadi dicampurkan di atas kelapa goreng dan digaul rata.

  3. Masukkan garam dan gula dan digaul rata.

D. Sambal Cili:

  1.  Kisar/tumbuk cili padi.

  2. Campurkan gula, garam dan perahan limau dan dikacau sebati.

Cara Hidangan:

  1. Hidangkan nasi kerabu bersama sambal tumis, sambal kelapa, sambal cili dan lauk pauk seperti telur masin, solok lada, ayam goreng kunyit, daging bakar dan sayuran. Nasi Kerabu sedap dimakan dengan mengaulkan kesemua sambal dan lauk.

Penutup

Penggemar Nasi Kerabu pasti suka bila tahu cara nak sediakan Nasi Kerabu kan? Nasi Kerabu merupakan hidangan yang terkenal di seluruh Kelantan. Tak sah makan nasi kerabu tanpa budu. Apalagi diramas kepingan keropok dan dimakan bersama daging bakar/ayam, telur masin dan ulam-ulaman. Sedapnya!

Anda juga boleh cuba resepi ini:

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.