fbpx

7 Resepi Puteri Mandi Yang Sedap (Kuih Popular Sepanjang Ramadhan)

Hari ini saya nak kongsi resepi puteri mandi yang popular di Pantai Timur. Bahan utama untuk resepi puteri mandi sudah tentu tepung pulut, kelapa parut dan gula melaka. 3 bahan utama ini sudah pasti mudah untuk disediakan. Seperti namanya, kuih ini sangat cantik ya dengan warnanya yang begitu menarik. Ceria betul bila lihat hasilnya, kanak-kanak pasti suka dengan warnanya yang berwarna-warni yang pastinya menarik perhatian. Kuih puteri mandi ini cukup popular ketika bulan ramadhan. Sedapnya! Makan pun pasti berselera. 

Resepi Puteri Mandi Azie Kitchen

Resepi Puteri Mandi Azie Kitchen

Puteri Mandi: Sumber Azie Kitchen

Bahan Kuih:

  • 1 cawan tepung pulut
  • ½ sudu kecil air kapur
  • Pewarna
  • Sedikit air

Bahan Kuah:

  • ½ cawan gula
  • ½ cawan air
  • ½ biji kelapa parut
  • 2 helai daun pandan
  • Garam

Cara-cara:

  1. Tepung pulut dicampur dengan air kapur. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil digaul sehingga tepung tak melekat di tangan dan bekas.
  2. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan warnalah ikut yang disukai. Biasanya warna hijau dan putih.
  3. Sementara itu, didihkan setengah periuk air.
  4. Bila dah siap menjadi doh, ambil sedikit adunan tadi dan gentel bulat bulat sebesar ibu jari dan tekan sedikit di tengah tengahnya.
  5. Masukkan ke dalam air mendidih. Adunan akan timbul bila dah masak. Angkat guna penapis teh dan masukkan ke dalam semangkuk air sejuk untuk mengelakkan ianya melekat.
  6. Untuk kuah, masakkan air, gula, garam dan daun pandan sehingga gula larut. Masukkan kelapa parut dan kacau hingga pekat.
  7. Masukkan puteri ke dalam kuah dan kacau rata. Bolehlah dihidangkan ketika sejuk.

Resepi Puteri Mandi Qaseh Honey

Resepi Puteri Mandi Qaseh Honey

Puteri Mandi: Sumber Qaseh Honey

Bahan A:

  • 1 cawan tepung pulut (jika adunan lembik tambah tepung @ jika keras tambah air)
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu kecil pes pandan
  • 1/4 sudu kecil garam (rocksalt) atau secukup rasa
  • air secukupnya

Cara-cara:

  1. Didihkan air di dalam periuk untuk merebus nanti.
  2. Satukan tepung pulut, tepung gandum, pes pandan dan garam. 
  3. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga tidak melekat di tangan.
  4. Masukkan doh satu persatu ke dalam air yang telah direbus awal tadi
  5. Kacau perlahan supaya doh tak melekat di permukaan periuk.
  6. Biarkan sehingga doh timbul dipermukaan air.
  7. Angkat dan tapis airnya. Ketepikan sebentar.

Bahan B:

  • 1/2 cawan air
  • 1 cawan gula merah/gula melaka/gula perang
  • 2 sudu besar gula pasir
  • 2 helai daun pandan
  • 1/2 biji kelapa parut (isi putih)

Cara-cara:

  1. Satukan air, gula merah, gula pasir dan daun pandan.
  2. Kacau hingga gula larut.
  3. Masukkan kelapa parut dan kacau rata.
  4. Sambil kacau sekali sekala hingga sedikit kering (jangan terlalu kering, biar basah-basah sikit baru sedap).
  5. Jika doh melekat, lalukan di bawah air dan tapis.
  6. Masukkan doh tadi. Gaulkan sehingga rata dan semuanya bersalut dengan isi kelapa tadi. Siap dan terus boleh dihidangkan.

Resepi Puteri Mandi Mama Mia

Puteri Mandi: Sumber Mama Mia

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung pulut
  • 1/2 sudu kecil air kapur
  • Air daun pandan secukupnya (kisar 4 helai daun pandan bersama 1 cawan air, tapis dan ambil airnya) – saya tambah
  • Sedikit pewarna hijau epal

Cara-cara:

  1.  Kisar daun pandan bersama 1 cawan air,tapis dan ambil airnya.
  2.  Tepung pulut dicampur dengan air kapur. Tambahkan air pandan sedikit demi sedikit sambil digaul hingga tepung tidak melekat di tangan dan pada bekas adunan. Jangan masukkan air pandan sekaligus ye…jika tidak cukup boleh tambah air .
  3. Ambil sedikit doh dan gentel bulat sebesar ibu  jari dan tekan sedikit ditengah-tengahnya.
  4. Didihkan air dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan doh ke dalam air mendidih. Doh akan timbul bila sudah masak.
  5.  Angkat dan masukkan ke dalam air sejuk untuk mengelakkannya melekat.

Bahan Kuah:

  • 1/2 cawan gula pasir-boleh dikurang atau ditambah
  • 2 keping gula melaka
  • 1/2 cawan air
  • 2 helai daun pandan-saya letak 1 helai jer
  • 1/2 cawan kelapa parut-yang muda tau!
  • Garam

Cara-cara:

  1.  Toskan doh yang direndam dalam air sejuk tadi.
  2. Masakkan air, gula pasir,gula melaka, daun pandan dan garam hingga semuanya larut dan sebati. Masukkan kelapa parut dan kacau hingga pekat dan sesuaikan rasanya.
  3. Masukkan puteri ke dalam kuah dan kacau sebati. Biar agak pekat dan matikan api.

Resepi Kuih Puteri Mandi Atau Kepek Hidung Yang Mudah Nak Buat

Resepi Kuih Puteri Mandi Atau Kepek Hidung Yang Mudah Nak Buat

Kuih Puteri Mandi: Sumber Wani Sukarno

Bahan-bahan:

  • 1 1/2 cawan tepung pulut – bahagikan kepada 3 bahagian
  • 1/2 cawan air – untuk ketiga-tiga bahagian pulut
  • Pewarna hijau, merah dan kuning
  • Esen pandan

Bahan Kelapa Manis:

  • 1 cawan kelapa parut putih
  • 1 keping gula melaka – mieza guna keping diameter saiz 4 inc
  • 2-3 sudu besar gula pasir
  • 2 helai daun pandan
  • 1/2 cawan air
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Sediakan kelapa manis. Satukan gula melaka, gula pasir, daun pandan, air dan garam dalam kuali non-stick. Panaskan hingga gula melaka cair. Kemudian masukkan kelapa parut dan masak hingga sedikit kering. Jangan kering sangat tau. Rasakan manisnya. Kalau suka manis, boleh tambah gula lagi.
  2. Bahagikan tepung pulut kepada 3 bahagian dan masukkan ke dalam 3 mangkuk yang berlainan. Untuk setiap mangkuk masukkan warna berlainan setiap satu beserta esen pandan. Dengan menggunakan 1/2 cawan air sedikit demi sedikit, bancuh tepung hingga menjadi doh yang tidak melekat.
  3. Dalam periuk, masukkan air dan masak hingga air mendidih. Biarkan air terus mendidih.
  4. Ambil doh tepung pulut. Bulatkan sebesar ibu jari kemudian tekan sedikit tengahnya dengan menggunakan jari. Masukkan bebola yang telah dikemekkan tengah ke dalam air yang sedang mendidih. Renehkan hingga bebola kemek timbul dipermukaan air. Ambil penapis teh dan angkat bebola kemek keluar dan toskan airnya.Ulang hingga semua doh habis.
  5. Kemudian masukkan bebola pulut kemek yang telah ditos tadi ke dalam kuali yang mengandungi kelapa parut manis. Gaul rata.
  6. *** Jangan toskan kesemua bebola kemek serentak nanti ia akan melekat antara satu sama lain. Bila angkat je dari air mendidih, toskan dan terus masuk dalam kelapa parut manis dan gaul.
  7. Sesuai untuk majlis berbuka puasa.

Resepi Puteri Mandi Hanya Guna 3 Bahan

Puteri Mandi Hanya Guna 3 Bahan

Puteri Mandi Hanya Guna 3 Bahan: Sumber rasa.my

Bahan-bahan:

  • 3 cawan tepung pulut
  • Air secukupnya
  • Secubit garam
  • Sedikit pewarna merah, hijau dan kuning

Bahan Kelapa:

  • 1 mangkuk kelapa parut | putih sahaja
  • 1 keping gula Melaka
  • 1/2 cawan air
  • 1 helai daun pandan
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Campurkan tepung dengan sedikit garam halus gaul rataa.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil adaun hingga jadi doh.
  3. Bahagikan doh menjadi tiga bahagian, pewarnakan setiap doh dengan warna merah, hijau dan kuning. Adun lagi hingga pewarna sebati.
  4. Bentukkan doh menjadi bulat, kemudian leperkan sedidkit dan tekan ditengahnya.
  5. Sementara itu didihkan air, dan rebus doh hingga timbul.
  6. Angkat dan masukkan dalam bekas berisi air sejuk. Ketepikan.
  7. Untuk menyediakan bahan kelapa, didikan air dalam kuali bersama gula Melaka dan daun pandan.
  8. Setelah gula larut dan kuah pekat, masukkan kelapa dan sedikit garam halus, kecilkan api dan gaul rata lebih kurang 3-5 minit. Tutup api.
  9. Kemudian, masukkan doh yang telah direbus ke dalamnya dan gaul rata.
  10. Puteri Mandi sedia dihidangkan.

Resepi Puteri Mandi Naz’

Resepi Puteri Mandi Naz'

Resepi Puteri Mandi Naz’: Sumber Oven Kecil

Bahan A:

  • 1 cawan tepung pulut
    1 tsp air kapur
  • Air daun pandan (boleh juga guna esen pandan + pewarna hijau)
  • Pewarna merah dan kuning
  • Garam halus
  • Air secukupnya
  • 2 helai daun pandan (disimpul)

Cara-cara:

  1. Tepung pulut dibahagi kepada 3 bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan air daun pandan, sedikit garam dan sedikit air kapur. Uli hingga membentuk doh. Lagi dua bahagian masing-masing dicampur dengan air, secubit garam, sedikit air kapur dan pewarna merah untuk satu bahagian dan pewarna kuning untuk satu bahagian lagi. Uli hingga membentuk doh.
  2. Didihkan air di dalam periuk bersama simpulan daun pandan. Kemudian sediakan satu mangkuk berisi air biasa (untuk meletak doh yang telah dimasak agar tidak melekat antara satu sama lain).
  3. Gentel doh-doh yang bewarna tadi menjadi bebola-bebola kecil dan penyekkan sedikit di tengah-tengah bebola itu (menjadi spt bentuk sel darah merah). Masukkan ke dalam air mendidih di dalam periuk dan biarkan bebola-bebola ini timbul. Apabila timbul, angkat bebola-bebola ini dan masukkan ke dalam mangkuk berisi air biasa tadi. Buat sehingga habis semua doh dimasak.

Bahan B:

  • 1 cawan kelapa parut muda 
  • 1/2 cawan gula perang (brown sugar)
  • 2 sudu besar gula pasir (boleh tambah lagi jika suka lebih manis)
  • 1/2 cawan air
  • 1 helai daun pandan (disimpulkan)

Cara-cara:

  1. Masukkan air, gula perang dan gula pasir ke dalam periuk bersama simpulan daun pandan. Masak hingga gula larut.
  2. Masukkan kelapa parut dan masak hingga sedikit kering di atas api sederhana. 
  3. Toskan bebola-bebola yang telah dimasak tadi dan masukkan ke dalam adunan kelapa parut. Gaul rata hingga sebati. Tutup api. Tunggu sejuk baru dimakan.

Resepi Puteri Mandi Noraini

Puteri Mandi Noraini

Puteri Mandi: Sumber Noraini

Bahan-bahan Doh:

  • 500 gram tepung pulut
  • Air secukupnya
  • sedikit garam
  • sedikit pewarna merah
  • sedikit pewarna kuning
  • sedikit pewarna hijau
  • air daun pandan kisar

Bahan Sos:

  • 1/2 kg kelapa parut putih
  • 500 gram gula
  • sedikit garam
  • 250 ml air atau secukupnya
  • 1 helai daun pandan

Cara-cara:

  1. Bancuh bahan tepung pulut dengan sedikit garam dan masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh. Uli sehingga menjadi doh sebati.
  2. Bahagikan doh sama rata kepada empat bahagian. Titiskan sedikit tiap pewarna dan uli doh biar menjadi merah, sebahagian hijau, sebahagian kuning dan biarkan satu bahagian doh warna asal.
  3. Ambil satu sudu teh doh dan uli bulat kecil kemudian kemikkan sedikit di tengahnya. Ulang sampai semua doh habis dibentukkan.
  4. Didihkan air yang banyak dan masukkan doh tadi dan rebuskan sehinggalah doh tadi timbul di permukaan air.
  5. Setelah timbul, angkat dan masukkan dalam air sejuk dahulu.
  6. Untuk membuat kuahnya, masak air, daun pandan dan gula. Kacau hingga gula hancur.
  7. Kemudian masukkan kelapa paru. Gaul hingga kuah pekat.
  8. Tuangkan adunan doh tadi dan gaul sekejap hingga rata.

Penutup

Kuih ini dipercayai diberi panggilan ” puteri mandi ” kerana prosesnya yang persis seperti seorang puteri yang dimandikan dengan air panas , serta ditambah dengan curahan air gula melaka dan juga isi kelapa parut (Farisha Sofea, 2022).

Mudah je kan. Jom kita cuba kat rumah. Sangat sesuai untuk dijadikan hidangan pencuci mulut dan minum petang. Untuk bulan puasa ini, bolehla dihidangkan untuk berbuka ya. 

Antara resepi yang anda boleh cuba:

Leave A Reply

Your email address will not be published.