fbpx

5 Resepi Kuih Lapis Lembut (Rasa Lemak Manis)

0

Hari ini saya nak kongsi resepi kuih lapis yang lembut dan sedap. Rasanya lemak manis, sangat lembut dan kebanyakkan orang suka memakannya selapis demi selapis. Warna asal kuih ni cuma putih dan merah. Kali ini resepi kuih lapis yang dikongsikan ada pelbagai warna kuih lapis. Kanak-kanak pasti suka kuih lapis thai yang berwarna-warni seperti pelangi. Selain warnanya yang ceria, rasanya yang manis menjadikan kuih lapis digemari ramai. Seperti namanya, pencuci mulut ini dibuat secara berlapis-lapis, dan setiap lapisan akan dikukus sehingga sempurna, dengan warna berlainan yang diselang-selikan. 

Resepi Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Azie Kitchen

Resepi Kuih Lapis Lembut Dan Sedap Azie Kitchen

Kuih Lapis Lembut Dan Sedap: Sumber Azie Kitchen

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung gandum
  • ½ cawan tepung jagung
  • 1 cawan gula pasir
  • 4 cawan santan (1 cawan santan kotak & 3 cawan air)
  • ¼ sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara cara:

  1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 x 7 inci.
  2. Masukkan santan ke dalam periuk.
  3. Nyalakan api dan masak sebentar sehingga ia menjadi suam-suam kuku. Tutup api.
  4. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Tuangkan santan sambil digaul rata hingga tidak berbintil. 
  5. Tapis dan bahagikan kepada 2 bahagian. Adunan ini menghasilkan lebih kurang 1400 ml) bahagi kepada 700 ml setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.
  6. Masukkan loyang yang telah di sapu sedikit minyak ke dalam kukusan. Tuang ¾ cawan adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. 
  7. Setelah lapisan pertama masak, tuang ¾ cawan adunan merah. Kukus lagi. Nota: lap tudung periuk pengukus supaya air tidak banyak menitis.
  8. Ulang proses hingga habis 8 lapisan diakhiri dengan lapisan merah.  
  9. Untuk lapisan atas sekali, boleh tambah sedikit lagi pewarna merah untuk wana lapisan akhir lebih menyerlah. Sebaiknya ditutup dengan aluminium foil supaya permukaan lebih cantik. 
  10. Selepas dimasukkan lapisan atas sekali, kukus selama 20 minit. Kemudian biarkan lapisan atas dikukus selama 5 minit tanpa penutup pengukus bertujuan untuk mengeringkan air di permukaan kuih. 
  11. Sejukkan kuih lapis sebelum dipotong menggunakan pisau plastik atau pisau yang telah disapu dengan minyak. Kuih lapis yang elok, boleh dimakan selapis demi selapis.

Nota:

  • Lebih elok dibuat sebelah malam untuk dipotong sebelah pagi. 
  • Bagi mengelakkan wap pengukus menitis, boleh dilap tudung pengukus setiap beberapa minit atau lapis loyang dengan aluminium foil. 

Resepi Kuih Lapis Thailand Yang Comel Dan Sedap

Resepi Kuih Lapis Thailand Yang Comel Dan Sedap

Resepi Kuih Lapis Thailand: Zaimah Zakaria

Bahan-bahan:

  • 150 gm tepung ubi
  • 40 gm tepung beras
  • 400 gm santan pekat
  • 200 gm air
  • 180 gm gula
  • Secubit garam
  • 2@3 helai daun pandan
  • pewarna makanan

Cara-cara:

  1. Panaskan santan pekat, air, gula dan daun pandan.
  2. Jangan sampai mendidih cukup sekadar hancurkan gula.
  3. Sejukkan.
  4. Apabila dah suam-suam kuku sikit, masukkan tepung ubi, tepung beras dan garam. Kacau sebati.
  5. Kalau masih berketul anda perlu tapis.
  6. Bahagikan kepada beberapa bekas untuk letak pewarna.
  7. Kalau guna loyang lapik loyang dengan plastik. Kalau guna Pyrex hanya sapu minyak
  8. Kukus selapis-selapis untuk setiap warna menggunakan api sederhana.
  9. Lapisan terakhir kukus selama 15 minit.
  10. Tunggu sejuk baru potong. Untuk dapatkan potongan yang licin letak plastik kat pisau.
  11. Siap untuk dihidangkan.

Resepi Kuih Lapis Sedap Lemak Dan Lembut Sukatan Cawan

Resepi Kuih Lapis Sedap Lemak Dan Lembut Sukatan Cawan

Resepi Kuih Lapis: Sumber Yatie Memories

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan tepung jagung
  • 1 cawan gula pasir
  • 4 cawan santan (1 cawan santan pekat campurkan bersama 3 cawan air)
  • 1/4 sudu teh garam
  • sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara-cara:

  1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.
  2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.
  3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. (adunan ini menghasilkan lebih kurang 1200ml bater) bahagi kepada 600 ml +/- setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.
  4. Masukkan loyang yang telah di sapu sedikit minyak ke dalam kukusan. Tuang 200 ml adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. setelah lapisan pertama masak, tuang 200ml adunan merah. Kukus lagi. 
  5. Ulang proses hingga habis 6 lapisan dengan diakhiri dengan lapisan merah. Boleh tambah sedikit lagi pewarna merah untuk lapisan akhir agar warnanya lebih menyerlah.
  6. Setelah siap, sejukkan kuih lapis sebelum dipotong. Kuih lapis yang elok, boleh dimakan selapis demi selapis.

Tips:

  • Untuk setiap resepi boleh gunakan cawan dan sudu sukatan metrik.
  • Untuk memastikan permukaan kuih lapis cantik dan licin buka penutup pengukus setiap 5 atau 10 minit dan sentiasa di lap penutupnya dan sambung lagi mengukus.
  • Apabila kuih lapis sudah masak buka tutup pengukus dan biarkan atas api selama 10-15 minit agar wap di atas kuih kering dan petua untuk mengelakkan kuih lapis cepat basi.

Resepi Kuih Lapis Sukatan Cawan Yang Sedap

Kuih Lapis Sukatan Cawan Yang Sedap, Cantik Menawan

Kuih Lapis Sukatan Cawan: Sumber Buat Orang Lapo

Bahan-bahan:

  • 4 Cawan Santan
  • 2 Cawan Tepung Beras
  • 1/2 Cawan Tepung Gandum
  • 1/2 Cawan Tepung Jagung
  • 1/4 Sudu Kecil Garam
  • 1 Cawan Gula
  • Pewarna Makanan

Cara-cara:

  1. Masak santan sebentar sehingga menjadi suam sahaja. Kemudian tutup api dan angkat santan.
  2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, garam dan juga gula ke dalam santan tadi dan kacau hingga sebati.
  3. Kemudian, tapis adunan tepung supaya tidak berketul-ketul.
  4. Bahagikan adunan tepung kepada beberapa bahagian dan asingkan juga bahagian yang putih.
  5. Letakkan beberapa pewarna makanan yang disukai dan kacau rata.
  6. Sediakan loyang, sapukan minyak masak didasar loyang atau boleh juga lapiskan loyang dengan plastik tahan panas.
  7. Tuang adunan putih sehingga menutupi keseluruhan permukaan loyang.
  8. Kukus selama 5 minit. Pastikan kukusan telah dipanaskan terlebih dahulu sebelum masukkan kuih.
  9. Selepas 5 minit, masukkan lapisan kedua iaitu adunan yang bewarna ke dalam loyang sehingga menutupi bahagian putih tadi dan kukus lagi selama 5 minit.
  10. Pastikan setiap bahagian adunan putih dan bewarna disukat sama banyak untuk setiap lapisan yang hendak dikukus supaya lapisan kuih akan jadi sama rata.
  11. Ulangi melapis dan mengukus selama 5 minit setiap lapisan adunan tepung sehingga habis.
  12. Lapisan yang terakhir perlu dikukus selama 20 minit. Sejukkan kuih terlebih dahulu sebelum dipotong untuk mendapatkan potongan yang cantik. Siap! Sedia untuk dihidang.

Kuih Lapis Nyonya Mat Gebu

Kuih Lapis Nyonya: Sumber Mat Gebu

Bahan-bahan:

  • 300 gram tepung ubi
  • 100 gram tepung beras
  • 750 ml santan
  • 250 ml air
  • 230 gram gula pasir
  • 1 helai daun pandan, potong kecil
  • Secubit garam
  • Pewarna makanan hijau, merah jambu dan merah

Cara-cara:

  1. Masak gula pasir dengan air dan daun pandan, biar hingga gula larut, sejukkan kemudian tapis. Campurkan dengan santan dan garam, kacau rata dan ketepikan. Sementara itu dalam mangkuk, satukan tepung ubi dan tepung beras. Kacau rata, tuang bancuhan santan dan kacau hingga rata. Tapis adunan tadi. Ketepikan sekejap.
  2. Panaskan kukus, balut tutup kukus dengan kitchen towel bersih. Alas loyang empat segi berukuran ( 7 x 7 x 3 ) inci dengan plastik, dan lanser plastik tadi dengan sedikit minyak makan. Masukkan ke dalam kukus. Api sederhana kuat.
  3. Kacau bancuhan kuih lapis dan bahagi bancuhan kepada 3 bahagian sama banyak. Satu diberi warna hijau. satu warna merah jambu dan satu dibiarkan putih (warna asal). Setiap bahagian tadi dibahagi lagi kepada 3 (maksudnya 3 hijau, 3 merah jambu dan 3 putih) , pastikan sukatan sama banyak (kalau anda timbang, setiap lapisan, bancuhannya lebih kuran 170 gram). Ketepikan.
  4. Untuk lapisan pertama, che mat guna warna putih. Tuang 1 bahagian warna putih dan kukus 5 minit, kemudian tuang pulak warna hijau dan sambung kukus 5 minit lagi, diikuti warna merah jambu. Pastikan lapisan kuih lapis cukup masak sebelum anda menuang adunan baru dan kacau setiap adunan sebelum dituang.
  5. Lakukan berselang- seli, putih, hijau dan merah jambu. Untuk lapisan ke 5 dan seterusnya, kukus selama 7 minit atau hingga masak. Untuk lapisan terakhir iaitu lapisan ke sembilan ialah warna merah. Anda titikkan sedikit warna merah dalam adunan merah jambu (terakhir), kacau rata dan tuang. Kukus 15 minit atau hingga kuih masak. Kemudian buka tudung kukus, dan biarkan 15 minit lagi dengan api yang masih hidup. Matikan api dan biar kuih sejuk sebelum dikeluarkan dari acuan. Boleh potong dan hidangkan.

Penutup

Rasa manisnya tidak keterlaluan, jadi sememangnya tidak akan cukup jika cuma memakan sepotong sahaja. Lidah kita akan disaluti dengan rasa lemak santan, dan dalam setiap gigitan, pencuci mulut ini akan mencair di dalam mulut. Sebenarnya, kuih lapis ini senang dibuat. Setiap lapisan perlu dikukus dengan sempurna terlebih dahulu sebelum adunan yang seterusnya dituang supaya warna antara lapisan tidak bercampur dan akan nampak cantik apabila dipotong nanti. Oleh itu, setiap lapisan boleh ditanggalkan dengan mudah dan dinikmati satu per satu.

Jom cuba:

Leave A Reply

Your email address will not be published.