fbpx

11 Resepi Ketupat Sotong Viral Dan Paling Sedap!

0

Hari ini saya nak kongsi resepi ketupat sotong. Ketupat sotong ialah masakan tradisi orang melayu sebelah pantai timur. Terutamanya di negeri Kelantan dan juga Terengganu. Ketupat sotong atau dalam dialek Kelantan, dipanggil "tupak sutong" adalah sotong yang disumbat dengan beras pulut dan dimasak dengan kuah santan. Ketupat sotong ada dua versi Ketupat Sotong Kelantan dan Ketupat Sotong Terengganu. Lihat dari  segi warnanya anda pasti boleh membezakan versinya, namun dari segi resepinya tidaklah ketara! Yang pasti kedua-duanya sedap dan mudah nak disediakan. Sesuai dibuat juadah atau hidangan berbuka puasa dan juga hidangan rumah terbuka hari raya. Hari biasa pun, kalau teringin dan mengidam, boleh je buat sendiri  di rumah. Kalau nak buat ketupat sotong baik cari sotong yang saiz agak besar sebabnya bila dah masak nanti sotong ni akan mengecut dari saiz asal.

Resepi Ketupat Sotong Kelantan Azie Kitchen

Ketupat Sotong Kelantan Azie Kitchen

Ketupat Sotong Kelantan: Sumber Azie Kitchen

Bahan-bahan:

  • Beras pulut secukupnya – basuh dan rendam sekejap
  • 8 ekor sotong – asingkan kepala dan badan
  • Santan
  • 1 ketul gula melaka – potong kecil
  • 1 sudu gula pasir
  • Secubit garam
  • Daun pandan

Cara-cara:

  1. Rendam beras pulut sekejap bersama santan dan sedikit garam. Tapi saya hanya rendam dengan air dan garam jer.
  2. Masukkan beras pulut ke dalam sotong yang telah dibuang kepala dan dicuci bersih.
  3. Masukkan kepala sotong ke dalam badannya dan tekankan sedikit. Kemudian dicucuk dengan lidi bagi mengemaskannya.
  4. Susun dalam periuk bersama daun pandan. Tuangkan santan dan sedikit garam. Masak sehingga pulut masak, baru dimasukkan gula melaka. Masak sehingga agak pecah minyak.
  5. Siap untuk dihidangkan. Sendukkan ketupat sotong bersama sedikit kuah di dalam pinggan. Selamat menjamu selera.

Resepi Ketupat Sotong Kelantan Kak Wan

Ketupat Sotong Kelantan Kak Wan

Ketupat Sotong Kelantan: Sumber Kak Wan

Bahan A:

  • 10 ekor sotong saiz sederhana – buang kulit hitam dan tulang, cuci bersih dan asingkan kepala
  • lidi untuk menyucuk

Bahan B:

  • 1/2 cawan pulut – cuci bersih dan toskan
  • 1/2 cawan santan pekat
  • 1/4 sudu teh garam

Rendam pulut selama 30 minit bersama santan dan garam.

Bahan C:

  • 100 gram gula Melaka diracik
  • 2 cawan santan – tidak terlalu pekat
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 hiris halia – dimayang halus
  • 1 helai daun pandan

Cara-cara:

  1. Bahan B : Masukkan 3/4 (2 sudu kecil) pulut ke dalam perut sotong.
  2. Masukkan kembali kepala sotong dan cucuk dengan lidi supaya pulut tidak keluar.
  3. Atur sotong di dalam periuk. Masukkan Bahan C dan renehkan dengan api sederhana hingga hampir kering.
  4. Siap dihidang.

Resepi Ketupat Sotong Mat Gebu

Resepi Ketupat Sotong Mat Gebu

Resepi Ketupat Sotong: Sumber Mat Gebu

Bahan-bahan:

  • 300 gram beras pulut, cuci dan rendam 45 minit
  • 250 ml santan cair + sedikit garam dan kacau rata
  • 9 – 10 ekor sotong bersaiz besar
  • 1 liter santan
  • 6 biji bawang merah, hiris halus
  • 1 camca teh halba
  • 2 batang serai
  • 1 inci halia, hiris halus
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

  1. Panaskan kukusan, satukan pulut dengan 250 santan tadi, kacau dan tuang dalam bekas, kukus 25 minit hingga pulut tanak, kareh pulut tadi dan sejukkan.
  2. Sotong dibersihkan buang kulit luarnya hingga tinggal bahagian putih, bersihkan juga kepala sotong. Lab dengan paper towel hingga kering. Ketepikan.
  3. Ambil satu sotong tadi dan isi dengan pulut 3/4 penuh, kemudian masukkan kepala sotong dan semat dengan lidi sate yang dikerat pendek atau gunakan toothpick, kemaskan dan buat hingga siap.
  4. Panaskan santan tadi, bila mendidih, masukkan serai, halba, bawang merah hiris, halia dan sotong, kecilkan api, tambah garam secukup rasa dan sedikit gula, kacau perlahan dan masak hingga kuah pekat.
  5. Keluarkan sotong, hiris dan tuang kuah atasnya sebelum dihidangkan…..Selamat mencuba!!

Resepi Ketupat Sotong Kelantan Mudah Dan Paling Sedap

Ketupat Sotong Kelantan Mudah Dan Paling Sedap

Ketupat Sotong Kelantan Mudah Dan Paling Sedap: Sumber Wani Sukarno

Bahan-bahan:

  • 8 ekor sotong saiz besar XL
  • Santan 1 biji kelapa sederhana dapatkan 3 cawan santan pekat
  • 2 1/2  gula melaka ( sis guna gula melaka yang tempatan tu tak guna gula melaka siam )
  • Garam secukup rasa
  • Daun pandan 3 helai
  • Beras pulut 1 cawan direndam 1/2 jam sampai kembang
  • Lidi sate ( potong serong-serong bagi hujungnya tajam ) atau boleh guna lidi buah

Nota:

  1.  Sotong dibersihkan dan ketepikan.
  2. Beras pulut yang telah direndam  tadi toskan dan masukkan beras pulut ke dalam sotong.
  3. Nak bagi senang masuk beras pulut tu, tolakkan dengan chopstick masuk ke dalam perut sotong sampai ke bawah. ( jangan penuh sangat beras pulut tu sebab kat atas nanti nak sumbatkan kepala sotong sampai separa kat mata sotong tu dah ok dah ).
  4. Tutup lubang dengan kepala sotong.
  5. Ambil lidi sate dan cucukkan dari hujung kiri ke hujung kanan. Tak kisahlah hujung mana pun tapi pastikan kemas supaya kepala sotong tu tak bergerak. Ok ketepikan.
  6. Sediakan periuk, masukkan santan, garam secukup rasa, gula melaka dan daun pandan dan masakkan sehingga hilang buih maknanya santan tu dah betul-betul masak.
  7. Kemudian, boleh masukkan sotong perlahan- lahan ke dalam periuk dan sambil kacau perlahan-lahan.
  8. Biarkan mendidih sehinggalah kuah tu agak pekat sikit ( tutup periuk masa sotong 1/2 masak sebab nak bagi pulut masak).
  9. Boleh tutup api jika kuah dah kelihatan agak pekat dan sotong hanya tenggelam sikit-sikit dengan kuah.

Nota:

  • Nak buat ketupat sotong ni kalau boleh guna sotong segar lepas beli terus buat untuk ketupat sotong. Jangan simpan dalam peti.
  • Simpan dalam peti ikut pengalaman, sotong jadi mudah pecah dan keluarkan isi pulut habis masuk dalam kuah.

Resepi Ttupak Sotong Azrene Jasmine

Resepi Ttupak Sotong

Ttupak Sotong: Sumber Azrene Jasmine

Bahan-bahan:

  • 1 kg sotong
  • 400 gram beras pulut [rendam dalam 1 -2 jam]
  • 5 cm halia (dimayang)
  • 3 biji bawang merah (dimayang)
  • 1 sudu besar halba
  • 4 cawan santan [dari 1 biji kelapa]
  • Lidi kelapa dipotong 2 inci
  • 1 sudu kecil gula
  • garam (secukup rasa)

Cara-cara:

  1. Sotong dibuangkan kulit nipisnya dan dibasuh sehingga bersih. Tos kering.
  2. Kukuskan pulut sehingga naik wap.
  3. Angkat pulut dan masukkan dalam mangkuk. Gaulkan dengan 1 cawan santan yg telah dicampurkan garam.
  4. Gaulkan pulut sehingga sebati dan berminyak.
  5. Masukkan pulut anggaran 3/4 badan sotong.
  6. Tutup badan sotong dengan lidi kelapa yang dipotong supaya beras pulut tidak terkeluar.
  7. Rebus sotong tersebut dengan 1 cawan santan sehingga masak dengan api sederhana.
  8. Masukkan lagi 2 cawan santan, halia, bawang, halba, gula & garam.
  9. Masakkan sehingga mendidih dan agak pekat.

Resepi Ketupat Sotong ZailanI Abd Rahman

Resipi Ketupat Sotong ZailanI Abd Rahman

Ketupat Sotong: Sumber Zailani Abd Rahman

Bahan-bahan:

  • ½ kg sotong
  • 2 cawan santan
  • ½ cawan pulut
  • 3 keping gula merah
  • 3 helai daun pandan
  • Sedikit garam
  • Sedikit lidi untuk menyemat

Cara-cara:

  1. Basuh beras pulut. Rendam dalam sedikit santan yang sudah dicampur garam.
  2. Sotong dibasuh bersih dan buang kulitnya.
  3. Sumbatkan pulut dalam sotong. Masukkan hanya 1/3 pulut memenuhi sotong. Jangan terlebih kerana bimbang sotong akan pecah bila dimasak.
  4. Masukkan kembali kepala sotong di tempatnya dan cucukkan lidi secara menyilang bagi memastikan pulut tidak keluar.
  5. Susun di dalam periuk dan masukkan santan yang direndam pulut tadi.
  6. Apabila sudah mendidih, masukkan santan yang selebihnya, gula merah dan daun pandan.
  7. Masaklah sehingga kuahnya pekat.

Resepi Ketupat Sotong Nieja Muhaimi

Ketupat Sotong Nieja Muhaimi

Ketupat Sotong: Sumber Nieja Muhaimi

Bahan-bahan:

  • sotong
  • beras pulut
  • santan
  • daun pandan
  • gula melaka
  • gula
  • garam

Cara-cara:

  1. Firstly, lepas dah cuci sotong (nak buang ke tak kulit dia tu tak kesah) masukkan beras pulut dalam badan sotong ni. Sumbat la 3/4 dari size sotong tu ke. Nak rendam dulu pon boleh beras pulut tu, tapi sebab tak sabar sangat nak makan saya rendam 10-15min je terus sumbat dalam sotong ni. Nak lagi berlemak, rendam beras pulut dalam sedikit santan.
  2. Lepas dah sumbat beras pulut tu, masukkan kepala dia and cucuk dengan toothpick, supaya nanti takde la beras pulut tu terkeluar.
  3. Masukkan santan + daun pandan and dah boleh on api.

  4. Masukkan sedikit gula melaka, saya letak tak banyak pon sebab tak suka manis sangat. Saya letak gula melaka sikit + gula biasa sikit and sedikit garam.

  5.  Biarkan sampai mendidih, make sure tutup periuk tu bagi cepat sikit pulut kat dalam tu masak.

Resepi Ketupat Sotong Kelate Anggerik Desa

Ketupat Sotong Kelate

Ketupat Sotong Kelate: Sumber Anggerik Desa

Bahan-bahan:

  • Sotong yang besar-besar 10 ekor
  • Pulut dalam anggaran setengah kilo. Basuh bersih dan rendam sekejap
  • Dua/tiga keping Gula Melaka (ore kelate ckp ‘Nise’..ini paling penting)
  • Gula dalam lima enam sudu besar…terpulang kepada tahap kemanisan yang diinginkan. Tapi ketupat sotong ni perlu manis, memang dia makanan perlu manis, kalau tidak tak sedap…
  • Santan dalam RM4. Biar pekat sikit kuahnya
  • Daun pandan sehelai disimpul comey
  • Lidi dipotong dalam seinci setengah; Saya guna lidi satay aje yang boleh dibeli di mana-mana pasaraya

Cara-cara:

  1. Cuci dan basuh bersih sotong. Ada setengah orang kulit luar sotong dikikis bersih sampai putih. tapi saya tidak. Terpulang kepada cara masing-masing ya dalam membersihkan sotong. Biar seekor-sekor macam gitu, jangan dipotong. Tapi kepalanya memang perlu dipisah dengan badan la semasa proses mencuci itu..Ringkas kata cuci macam biasa ya.
  2. Santan sudah siap diketepikan dan disingkan santan kepada dua bekas. Satu bekas dicairkan sedikit dengan mungkin ditambahkan dalam tiga perempat cawan air. Satu bekas lagi biar kekal dalam kepekatan asal.
  3. Beras puluh perlu direndamkan sekejap mungkin dalam 15 minit bagi tujuan melembutkan pulut berkenaan. Tetapi selalunya saya tak rendam pun…terus aje basuh dan masukkan dalam perut sotong tadi. Masukkan pulut jangan penuh satu badan sotong tu ya…sebab nanti bila pulut tu dah kembang nak masak, dia terkeluar daripada perut sotong tu. Jadi masukkan dalam tiga perempat badan sotong, longgar longgar aje pulut tu, jangan ketat dan penuh sangat, nanti dalam proses masak pecah pulak perut sotong.. kemudiannya tutup muncung sotong tu dengan kepalanya dan sematkan dengan dua lidi yang dipotong tadi secara bersilang. Tujuannya bagi mencantumkan kepala dengan badan sotong dan menghalang pulut daripada keluar semasa proses memasak nanti.
  4. Selepas dah siap proses pada nombor 3, semua sotong tadi dimasukkan dalam periuk mengikut saiz yang sesuai ya. kat periuk tu boleh alaskan dulu dengan daun pisang…tapi kalau tak ada tak mengapa la…lapik dua sudu di dasar periuk dan lepas tu barulah susun sotong tu molek-molek. Daun pisang tu sebenarnya nak bagi beri wangi daun pisang tu meresap dalam kuahnya…dan nak elakkan daripada cepat hangit juga….masukkan santan hingga tenggelam sotong tu, kemudiannya letak daun pandan yang disimpul comey tadi…hehehhe….lepas tu letak atas dapur dengan api yang sederhana…api tak besar sangat, tak kecik sangat…tujuannya nak bagi lembut sotong tu dan lembut pulut juga…jangan lupa tutup ya
  5. Agak-agak lah ya…kalau dah menggelegak dalam 20 minit…masukkan pula santan pekat tadi. diikuti dengan gula dan ‘nise’ atau gula Melaka. Agak-agak saya dalam 40 ke 50 minit dah masak dan boleh diangkat. Boleh ambik sikit pulut dalam sotong tu dan rasa kalau dah lembut maka masak la ia.

Resepi Ketupat Sotong Kelantan Dari Dapur Nasya

Ketupat Sotong Kelantan Dari Dapur Nasya

Ketupat Sotong Kelantan: Sumber Dari Dapur Nasya

Bahann-bahan:

  • 6 ekor sotong bersaiz sedang (tanpa telur)
  • 2 sudu b beras pulut (direndam bersama sedikit santan pekat selama 1 jam)
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 keping gula melaka (ikut citarasa)
  • 3 helai daun pandan (disimpul)
  • sedikit halba
  • secubit garam
  • toothpick secukupnya 

Cara-cara:

  1. Isikan beras pulut ke dalam perut sotong 1/3 penuh. Cucuk kepala dan badan sotong dengan toothpick agar pulut tidak terkeluar.
  2. Di dalam periuk  masukkan semua bahan dan masak di atas api yang sederhana sehingga kuah pekat dan sotong kelihatan bulat. (menandakan pulut sudah masak)
  3. Angkat dan hidangkan. Sebelum makan jangan lupa buang toothpick tu.

Resepi Ketupat Sotong (Versi Terengganu)

Ketupat Sotong (versi Terengganu)

Ketupat Sotong (Versi Terengganu): Sumber Madiha

Bahan-bahan:

  • 8 ekor sotong saiz sederhana (terpulang anda kuantitinya)
  • 1 pot beras pulut – cuci dan rendam 1 jam & tos (kes MaDiHa nak cepat rendam dalam air panas 5 minit)
  • 1 biji kelapa (ambil & asingkan santan pekat dan santan cair agak lebih)
  • 2 batang serai – ketuk
  • 3 ulas bawang merah – hiris
  • 1 sudu kecil halba
  • 1 inci halia – hiris
  • gula pasir secukupnya (terlupang pada anda suka manis atau kurang manis)
  • garam untuk melemakkan kuah
  • lidi penyucuk sate 

Cara-cara:

  1. Cuci bersih sotong. Buang dakwatnya, selaput kulit, mata & giginya menggunakan pisau.
  2. Masukkan 1 ½ sudu kecil pulut dlm perut sotong (ini bergantung pada saiz sotong.. sukatannya kira-kira 1/3 dari saiz panjang sotong. (jangan isi lebih dari itu nanti masa merebus beras pulut mengembang).
  3. Masukkan semula kepala sotong pada kedudukan asalnya dan cucuk lidi sate untuk melekatkan kepala sotong pd bahannya. Fungsi lain adalah untuk mengelakkan pulut keluar dari perutnya semasa merebus.
  4. Jerang santan cair dan masukkan sotong dan serai. (santan mesti lebih tinggi dari sotong).
  5. Rebus hingga sotong nampak buncit dan tegang dan santan cair hampir kering.
  6. Masukkan santan pekat, halba, halia, bawang, garam dan gula. Masak hingga kuah menjadi pekat.
  7. Hidangkan panas atau sejuk. Cara makan mestilah sekali dengan kuahnya macam kita macam pengat pisang tu.

Resepi Ketupat Sotong Terengganu Ahmad Naidi Osman

Resepi Ketupat Sotong Terengganu Ahmad Naidi Osman

Ketupat Sotong Terengganu: Sumber Ahmad Naidi Osman

Bahan-bahan:

  • 4 ekor sotong (agak besar)
  • 1 cawan beras pulut
  • 2 cawan santan cair (untuk merendam beras)
  • 3 cawan santan pekat (untuk kuah)
  • Secubit halba
  • 1 cm halia (dimayang)
  • 3 biji bawang merah (dimayang)
  • 1 sudu gula
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Rendam beras pulut dengan santan cair sekurang-kurangnya 2 jam.
  2. Bersihkan sotong. Buang kulitnya.
  3. Masukkan beras pulut ke dalam sotong dan sematkan dengan lidi.
  4. Cucuk-cucuk badan sotong dengan lidi.
  5. Masukkan sotong ke dalam periuk. Masukkan santan pekat. Masukkan bawang, halba, halia, garam, dan gula.
  6. Masak sehingga sotong masak dan kuah menjadi pekat.

Nota:

  • Kuah akan berwarna merah jika sotong tadi tidak dibuang kulit.
  • Halba yang terlalu banyak akan menyebabkan rasa yang kurang sedap kerana menjadi rasa atau bau kari. Resepi dari terengganu ini tidak menggunakan gula perang @ nisan @ gula seperti resepi kelantan.

Penutup

Cukup mudah nak  buat ketupat sotong ini. Sedap pun sedap! Makan satu tak cukup, jadi bila buat sendiri lagi puas hati. Nak makan banyak mana pun boleh. Antara makanan favourite orang Pantai Timur. Manis-manis lemaknya pasti buat anda terpikat!

Jom cuba resepi berasaskan sotong INI:

Rate this post
Leave A Reply

Your email address will not be published.