fbpx

15 Resepi Puding Viral (Pilihan Pemanis Mulut, Resepi ke-7 Sedap Sangat!)

0

Resepi puding viral 2021 ini sangat mudah nak buat. Puding adalah pencuci mulut, sesuai untuk orang yang craving makanan manis.  Resepi puding yang saya nak kongsikan pada hari ini berwarna-warni dan mempunyai pelbagai rasa. Sesuai selera anda, 15 resepi puding mana yang ingin dicuba? Yang pasti, rasanya sangat sedap dan mudah disediakan.

Resipi Puding Roti Azie Kitchen

puding roti azie kitchen

Puding Roti: Sumber Azie Kitchen

Bahan-bahan Puding Roti:-

Bahan A:

  • 7-8 keping roti
  • 2 sudu besar mentega – cairkan
  • 3 sudu besar kismis

Bahan B:

  • 500 ml susu segar @ 2 cawan
  • 4 sudu besar gula halus
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu kecil serbuk cinnamon
  • Untuk Sos Kastard 1 tin susu cair
  • ¼ tin air – guna tin susu cair tadi
  • 2 sudu besar tepung kastad
  • 2 sudu besar gula

Cara-cara penyediaan:

  1. Satukan bahan-bahan B. Koyakkan roti dan masukkan ke dalam bahan B. Biarkan terendam dan meresap seketika.
  2. Masukkan separuh kismis dan juga mentega cair .Gaul sebati. Kemudian tuang ke dalam loyang/bekas yang telah digris dengan sedikit butter.Taburkan baki kismis diatas adunan.
  3. Bakar pada suhu 180C selama 30 minit atau sehingga masak.
  4. Untuk membuat kuah@sos kastad, campurkan semua bahan ke dalam periuk dan kacau hingga agak pekat mengikut kepekatan ikut selera masing-masing. 
  5. Tuang ke atas puding roti tadi. Jika suka sejuk, masukkan peti sejuk dahulu sebelum dipotong dan dituang sos kastad.

Resepi Puding Karamel Sedap Che Nom/ Puding Gula Hangus

puding karamel che nom

Puding Karamel Sedap/ Puning Gula Hangus: Sumber Che Nom

Bahan-bahan untuk gula karamel:

  • 1/4 cawan gula + 1 sudu besar gula
  • 3 sudu besar air

Bahan-bahan untuk puding:

  • 5 biji telur, saiz B
  • 1 tin susu cair
  • 150ml air
  • 1/4 cawan gula
  • 1 sudu kecil esen vanila

Cara-cara untuk gula karamel:

  1. Panaskan gula dan air di dalam periuk di atas api perlahan sehingga warna bertukar keperangan, kemudian baru kacau sekata.
  2. Tuang dalam loyang berukuran 6 inci dan ketepikan.

Cara-cara untuk puding karamel:

  1. Dalam mangkuk, satukan semua bahan menggunakan whisk. Pastikan gula cair dan jangan terlebih pukul sehingga adunan sehingga berbuih. Cukup sekadar adunan larut dan sebati.
  2. Tapiskan adunan ke dalam loyang gula karamel. Tuang dengan berhati-hati supaya lapisan bawah karamel tidak terjejas.
  3. Tutup loyang dengan aluminium foil supaya air tidak bertakung sewaktu dikukus. Kukus selama 30-35 minit minit, atau sehingga puding menjadi pejal.
  4. Boleh juga menggunakan kaedah waterbath dan bakar di dalam oven pada suhu 170°C, selama anggaran 40-45 minit.

Tips:

  • Boleh juga sediakan puding karamel menggunakan kaedah ‘water bath’ atau ‘bain marie’ dan bakar di dalam oven pada suhu 170°C, selama anggaran 40-45 minit. Kaedah ini menghasilkan puding yang lebih licin dan tidak berongga.
  • Caranya ialah dengan meletak air panas ke dalam loyang yang lebih besar, kemudian letakkan loyang puding karamel yang telah di tutup dengan kertas aluminium foil dan bakar sehingga masak. Jangan buka oven di sepanjang proses memasak kerana wap air akak meruap keluar dan mengganggu hasil puding nanti.

Resepi Puding Buih Homemade

puding buih homemade

Puding Buih: Sumber rasa.my

Bahan puding:

  • 1 bungkus agar-agar tali (20gm)
  • 1 liter air
  • 1/2 cawan gula
  • 5 biji telur (asingkan kuning dan putih)
  • 2 biji kuning telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • Pewarna merah jambu (warna lain pun boleh)

Bahan kuah kastard:

  • 1 tin susu sejat
  • 1 1/2 tin air (guna tin susu sejat)
  • 1 sudu besar kastad
  • 3 biji kuning telur
  • 4/4 cawan gula
  • 1 sudu kecil esen vanila

Cara-cara penyediaan:

  1. Mula-mula didihkan air, dah mendidih masukkan agar-agar tali. Kacau sehingga agar-agar betul-betul larut. Kemudian sejukkan.
  2. Asingkan kuning dan putih telur.
  3. Masukkan telur putih dalam bekas lain, putarkan dengan kelajuan maximum sehingga telur putih tu jadi kembang dan meringue.
  4. Kalau terbalikkan bekas dia tak jatuh dah.
  5. Masukkan telur kuning 2 biji tadi, putar lagi. Putar sampai betul-betul sebati.
  6. Kemudian masukkan gula, esen vanila, putar lagi sampai sebati dan gebu.
  7. Selepas itu, dengan perlahan masukkan larutan agar-agar tadi. Pastikan larutan dah sejuk. Jangan letak panas suam nanti buih tak menjadi, kemudian sambung putar.
  8. Masukkan pewarna. Putar lagi hingga betul-betul sebati.
  9. Dah selesai, masukkan dalam acuan.
  10. Masukkan dlm peti ais.
  11. Sementara tunggu puding mengeras dan betul-betul sejuk,kita buat kuah kastard pulak.
  12. Masukkan semua bahan kuah kastad dalam periuk. Tapi untuk tepung kastad tu lebih baik larut dalam air sikit, baru curah dalam periuk.
  13. Panaskan sehingga mendidih,jgn berhenti kacau sbb dia cepat hangit..
  14. Dah mendidih dan bau wangi, tutup api. Tapi pastikan korang kacau lagi. Sehingga kurang buih, lepas tu boleh sejukkan.
  15. Puding dah sejuk, kuah kastard dah sejuk, sedia dihidang

Resepi Puding Jagung Sedap Che Nom

Puding Jagung Sedap: Sumber Che Nom

Bahan-bahan:

  • 1 tin jagung manis berkrim
  • 1 cawan tepung kastard
  • 1 cawan gula (kurangkan kepada 3/4 cawan jika suka kurang manis)
  • 1/2 cawan susu cair
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 3 cawan santan (ATAU 1 kotak santan 200ml bersama 2 cawan air)
  • 1 1/2 sudu besar majerin

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan jagung, tepung kastard gula, susu cair, tepung jagung, garam dan santan di dalam blender dan kisar. Tujuannya supaya jagung dikisar halus dan diadun sebati dengan bahan-bahan lain.
  2. Masukkan adunan kisar di dalam periuk dan kacau sehingga pekat dan berkilat.
  3. Kemudian masukkan pula majerin dan kacau sehingga sebati.

Tips:

Jika anda tak suka jagung yang dikisar halus boleh adun bahan dalam periuk sahaja. Tak perlu di blender.

Resepi Puding Kastard Berkuah

puding kastard berkuah

Puding Kastard Berkuah: Sumber rasa.my

Bahan-bahan puding:

  • 1 cawan tepung kastard
  • 5 cawan air
  • 1/2 tin susu cair
  • 1/2 cawan gula
  • Esen vanila

Cara-cara penyediaan:

  1. Campurkan semua bahan.
  2. Masak diatas api sehingga pekat dan berkilat.
  3. Sendukkan ke dalam acuan.
  4. Sejukkan.

Bahan-bahan kuah kastard:

  • 1 tin susu cair
  • 1 tin fruit cocktail. ( guna sirup sahaja)
  • 1/2 cawan air
  • 1 cawan gula
  • 1 biji telur (ambil yang merah sahaja)
  • 1 sudu besar tepung kastard
  • Esen vanila
  • Daun pandan

Cara-cara penyediaan:

  1. Sebatikan semua bahan-bahan kecuali telur.
  2. Masukkan daun pandan yang disimpulkan.
  3. Masak sehingga nampak sedikit pekat.
  4. Ambil sedikit adunan. Campurkan bersama telur merah, sebatikan.
  5. Curahkan ke dalam kuah kastard.
  6. Kacau sehingga kuah kastard mesra. Kuah kastard siap.

Tips:

  • Kuah kastard boleh dimasak awal dan di simpan dalam peti sejuk.
  • *boleh dimakan bersama puding raja, puding roti, kek dan lain-lain.
  • *hiasi puding bersama fruit cocktail/lychee/longan.

Resepi Puding Raja Pekan Pahan (Puding Raja Kayangan)

Puding Raja Pekan Pahang (Puding Raja Kayangan): Sumber Sesimple Loralin (cookpad)

Bahan-bahan:-

Jala Mas:

Bahan:

  • 5 biji kuning telur dibuang tali pusat (sebaik-baiknya telur itik jika ada)
  • 1 cawan gula
  • 2 cawan air
  • Sehelai daun pandan disimpul

Cara :

  1. Tapis kuning telur. Kacau sebati.
  2. Masukkan kuning telur ke dalam acuan bermuncung halus. Ketepikan.
  3. Masukkan air,gula dan daun pandan dalam periuk. Masak sehingga mendidih. Keluarkan daun pandan.
  4. Perlahankan sedikit api. Tuang telur daripada acuan pada jarak yang tinggi untuk dapatkan urat yang halus.
  5. Tuang secara membulat bermula dekat dengan dinding periuk ke dalam.
  6. Biar jala mas seketika. Angkat gunakan chopstick atau senduk berlubang. Toskan air gula.
  7. Ulang membuat jala mas ini dalam 3-4 kali bagi satu bancuhan telur 5 biji tadi.

Pisang Goreng:

Bahan:

  • Pisang lemak manis/pisang emas/pisang raja
  • 1 sudu besar butter
  • Minyak untuk menggoreng

Cara:

  1. Panaskan minyak bersama butter.
  2. Goreng pisang sebiji-sebiji tanpa membelahnya sehingga pisang keperangan muda.
  3. Angkat dan toskan minyak.

Sos kastard:

Bahan:

  • 1 biji telur
  • 400 ml susu cair
  • 1 cawan air
  • 1 helai daun pandan disimpul
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 3 sudu besar gula
  • 1 sudu besar tepung jagung/kastard

Cara:

  1. Sebatikan telur, esen vanila dan susu cair.
  2. Tambahkan air, daun pandan dan gula.
  3. Barulah dimasak dengan api sederhana sehingga mendidih. Tutup api.
  4. Tapis. Sejukkan kemudian simpan dalam peti sejuk.

Bahan pelengkap:

  • Prune
  • Ceri merah dan hijau dipotong
  • Kacang gajus (disangai)
  • Walnut (optional)
  • Almond (optional)
  • Ceri sebiji-sebiji (optional)

Peralatan:

  • Acuan roti jala/ acuan muncung kecil/kelonsong daun pisang/botol air mineral bersama penutup ditebuk halus
  • Penapis

Cara-cara menyediakan set puding:

  1. Susun pisang di dalam bekas. Letakkan jala mas sehingga menutup pisang. Taburkan bahan-bahan pelengkap.
  2. Curahkan sos kastard.

Resepi Puding Triffle Sedap

puding triffle

Puding Triffle: Sumber  Resepi Senang

Bahan-bahan:

  • Kek gulung (ikut suka la nak guna perisa apa) – potong ikut ketebalan yang korang suka. Tapi jangan  tebal-tebal sangat.
  • 1 tin susu cair.
  • 1 tin buah-buahan dalam tin tu (kalau nak guna fresh fruit pun ok. Contohnya, strawberry, kiwi etc )
  • 1 kotak jelly crystal powder (saya guna brand nona)
  • 3 sudu besar tepung kastard (bagi sudu penuh  membukit tau)
  • 4 sudu besar gula (kalau nak manis boleh lebihkan gula sikit)

Cara-cara penyediaan:

  1. Susun kek gulung tadi dalam bekas, macam gambar kat atas tu. Make sure tak ada lubang-lubang tau. Kalau ada pandai-pandai lah cubit balance kek dan tampung-tampung kat tempat yang  ada lubang tu. Pastu tekan-tekan sikit kasi mampat.
  2. Asingkan buah-buahan  dalam tin tu dari airnya. Ambil air buah-buahan tadi & renjis-renjis kat kek tadi kasi lembab-lembap manja gitu. Jangan basah melampau @ banjir tau.
  3. Dalam periuk masukkn 1 tin susu cair tadi. Pastu sukat air dalam tin susu tadi. Guna 1 tin juga air. Pastu masukkan gula & tepung kastard. Guna hand whisk, kacau-kacau bagi semua sebati & tepung kastard tak ada lagi ketul-ketul. Pastu baru masakkan atas api yg kecik. Kacau sentiasa tau sampai la ada letupan-letupan kecil baru tutup api.
  4. Pastu tuang kastard tadi atas kek gulung tadi dan ratakan. Agak-gak kastard dah hampir nak keras baru susun buah-buahan  atas kastard tu. Make sure tekan2 sikit buah-buahan  tu supaya nanti bila tuang jelly buah tu tak timbul.
  5. Settle semua tu ketepikan dan masak jelly tadi. (Ikut cara-cara masak kat kotak jelly tu ye) sebab lain jenama lain sukatan air dia.
  6. Bila dah masak jelly tu tuang ke atas kastard buah-buahan tadi. Tuang  dengan perlahan tau. Lagi elok kalau sendukkan sedikit demi sedikit. Dah siap tu simpan la dalam peti sejuk kasi sejuk dulu. Baru la makan.

Resepi Puding Milo Oreo

puding milo oreo

Puding Milo Oreo: Sumber Pn Hasliza Yusoff

Bahan-bahan:

  • 1 pek 10 gram agar agar clear.
  • 4 cawan air.
  • 1/2 cawan gula pasir (sepatutnya 1 cawan tapi tak suka manis).
  • 1 tin susu cair.
  • 1 pek oreo tak perlu buang cream tengah.
  • 1 cawan milo.

Cara-cara penyediaan:

  1. Larutkan agar agar dengan air di atas api perlahan. Setelah larut masukkan gula. Dan kacau sehingga larut.
  2. Kemudian masukkan susu cair. Kacau sehingga mendidih.
  3. Asingkan dua cawan ke periuk lain (untuk lapisan putih). Manakala baki di dalam periuk tadi masukkan milo dan kacau lagi.
  4. Tuang separuh adunan milo ke dalam acuan puding. Saya pakai bekas taufufa aje.
  5. Tunggu sehingga layer atas keras kemudian buat cakaran nipis di atas layer milo pertama sebab nk kasi letak layer kedua, dan tuang semua adunan putih tadi. Kemudian patah kan biskut oreo kepada dua dan susun di atas layer putih.
  6. Lepas layer putih dah keras, masukkan baki layer milo atas sekali. Ada tiga lapisan semua nya . Agak agak dah suam,
    masukkan dalam peti ais dan ready untuk makan bila dah keras.

Resepi Puding Laici Berkuah

puding laici berkuah

Puding Laici Berkuah: Sumber rasa.my

Bahan-bahan:

  • 10gm serbuk agar-agar
  • 8 cawan air
  • 1 3/4 cawan gula pasir
  • 1 tin susu cair
  • 2 tin laici tin

Cara-cara penyediaan:

  1. Masak air bersama gula hingga mendidih.
  2. Masukkan serbuk agar-agar dan 1/2 cawan air laici tin. Bila mendidih, masukkan susu cair. Bila mendidih sekali lagi, padamkan api.
  3. Masukka larutan puding ke dalam jug supaya mudah nak tuang ke dalam bekas plastik.
  4. Tuang puding ke dalam bekas. Bila dah mula mengeras, taburkan buah laici yang telah dicarik-carik atas puding tadi.
  5. Bila puding dah betul-betul mengeras, bolehlah tuang lebihan air laici tin tadi di atas permukaan puding.
  6. Simpan puding di dalam peti sejuk seketika sebelum dinikmati.

Resepi Puding Roti Marble

puding roti marble

Puding Roti Marble: Sumber  rasa.my

Bahan-bahan:

  • 10gm agar-agar tali
  • 3 cawan air

Bahan-bahan kisar:

  • 4 keping roti – dicarik
  • 1 cawan susu cair
  • 1 1/2 cawan susu pekat
  • 1/2 cawan gula halus
  • 2 biji telur
  • 2 sudu makan marjerin
  • Beberapa pewarna pilihan

Cara-cara penyediaan:

  1. Masak agar-agar tali bersama air hingga larut.
  2. Kemudian masukkan bahan yang dikisar ke dalam periuk berisi larutan agar-agar. Masak hingga pekat.
  3. Bahagikan adunan kepada tiga bahagian. Warnakan menggunakan pewarna pilihan.
  4. Tuang adunan yang telah diwarnakan tadi ke dalam bekas bersesuaian secara berselang-seli. Tuang perlahan-lahan.
  5. Sejukkan dalam peti sejuk. Sedia untuk dinikmati.

Resepi Puding Cikedut Perisa Pelangi

puding cikedut perisa pelangi

Puding Cikedut Perisa Pelangi: Sumber Resipicara

Bahan-bahan:

  • 1 sudu teh serbuk agar-agar
  • 1 liter air
  • Setengah cawan gula halus
  • 1 cawan susu cair atau susu segar
  • 1 cawan creamer atau coffemate atau susu tepung
  • 1 sudu teh esen vanilla pewarna makanan ( ikut suka )

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan agar-agar, susu tepung, gula halus, susu segar, vanilla serta air ke dalam periuk. Kacau sehingga rata
  2. Masak di atas dapur sehingga mendidih.
  3. Adunan dibahagikan kepada beberapa warna yang di mahukan dan letakan perisa.Misalnya warna ungu dengan perisa blueberry, warna hijau dengan perisa pandan, warna kuning dengan perisa nenas dan merah jambu dengan strawberri.
  4. Menyediakan botol kaca atau plastik secukupnya.
  5. Anda boleh buat satu jenis untuk setiap botol atau jenis yang bercampur yang lebih di kenali dengan nama ‘pelangi’.
  6. Untuk adunan hanya satu warna atau satu perisa, masukan di dalam botol dan sejukkannya. Untuk adunan pelangi pula, tuangkan satu layer warna contoh kuning di bahagian dasar botol dan sejukkan.
  7. Bila ianya sudah mula mengeras, tuangkan pula lapisan yang lain dan lakukan proses yang sama sehingga habis kesemua warna.
  8. Sejukkan dalam peti ais dan hidangkan dingin dengan straw.
  9. Saya juga menyediakan perisa Nescafe, mocha, Milo dan vanilla. Untuk Nescafe atau Milo pula, apabila agar-agar sudah mendidih, ambil lebih kurang dua senduk dan tuangkan ke dalam cawan atau bekas.
  10. Kemudian letakan serbuk Nescafe atau Milo mengikut citarasa kacau sehingga sebati.
  11. Kemudian tuangkan di dalam adunan yang lain dan sebatikan adunan tersebut.
  12. Barulah tuang dalam botol atau bekas yang dinginkan.

Resepi Puding Mangga Ala KFC

puding mangga ala kfc

Puding Mangga Ala KFC: Sumber Pn Yang Ku Rodzmah

Bahan-bahan:

  • 1 liter air masak / air tapis
  • Agar-agar tali 20g dibahagi 3 (letak 1 bahagian saja)
  • Susu kotak full cream 1 liter
  • Gula
  • Garam
  • Buah mangga segar dipotong dadu
  • Sunquick mangga

Cara penyediaan:

  1. Mula-mula masakkan agar-agar tali menggunakan 1 liter air. Tunggu sampai agar-agar betul-betul larut dan hancur. Masukkan sedikit gula dan garam.
  2. Bila dah hancur agar-agar tu barulah letak susu kotak full cream 1 liter. Tunggu sampai meruap dah boleh padamkan api ya. Tak perlu sampai gelegak sebab nanti susu tu tak cantik.
  3. Isi puding susu ke dalam bekas dan tunggu kejap biarkan ia memejal.
  4. Untuk topping tu saya cuma campurkan mangga yang dipotong dadu dan bersama Sunquick perisa mangga. Tak perlu masak, terus campurkan saja. Ikutlah banyak mana nak guna, boleh agak-agak ikut kita nak manis macam mana.

Resepi Puding Cheese Azie Kitchen

puding cheese

Puding Cheese: Sumber Azie Kitchen

Bahan-bahan:

  • 13 gram serbuk Agar-Agar
  • 1 liter air
  • 120 gram gula
  • 3 biji telur
  • 120-150 gram biskut cheese – blend halus
  • 1 sudu besar tepung kastad
  • 400 ml susu cair/susu segar
  • 200 gram susu pekat
  • 50 gram mentega

Cara-cara penyediaan:

  1. Masak serbuk agar agar dengan air sehingga hancur. Kacau selalu. Masukkan gula dan kacau sehingga sebati.
  2. Pukul telur sehingga rata dan campurkan biskut dan tepung kastad. Kemudian masukkan susu dan kacau sebati.
  3. Tuangkan ke dalam adunan agar agar tadi dan tutup api apabila mendidih. Akhir sekali, masukkan mentega sehingga sebati.
  4. Tuang ke dalam acuan dan biarkan sejuk di suhu bilik. Sejukkan sebelum di hidangkan.

Resepi Puding Coklat

puding coklat

Puding Coklat: Sumber Facebook Resepi Citarasa Terkini

Bahan-bahan:

  • 20 gram agar-agar tali
  • 5 cawan air
  • 1 tin susu pekat manis
  • 1/2 cawan gula
  • 1/2 cawan koko – bancuh dengan sedikit air panas

Cara-cara penyediaan:

  1. Rendam agar-agar 1 jam atau lebih.
  2. Cuci bersih agar-agar dan toskan.
  3. Masak agar-agar dengan 5 cawan air hingga larut.
  4. Masukkan gula dan susu pekat manis. Kacau hingga larut. Pastikan api yang digunakan tidak terlalu besar.
  5. Tambahkan larutan koko. Kacau sebati.
  6. Masak hingga mendidih dan tuang ke dalam acuan yang digemari.
  7. Sejuk beku sebelum dihidangkan.

Resepi Puding Susu

puding susu

Puding Susu: Sumber Hanim Effendi

Bahan-bahan:

  • Serbuk agar-agar
  • 1 cawan susu segar
  • 2 cawan susu sejat
  • 3 sudu susu pekat manis
  • 3 sudu gula
  • Esen vanila

Cara-cara penyediaan:

  1. Masak serbuk agar-agar hingga larut dalam sedikit air.
  2. Masukkan susu segar,susu sejat,gula,susu pekat manis dan esen vanila ke dalam agar-agar.
  3. Masak dengan api perlahan hingga mendidih. Sentiasa kacau untuk elakkan agar-agar hangus di bawah.
  4. Tuang dalam loyang dan sejukkan.

Penutup

Puding buatan homemade dari air tangan sendiri pasti terjamin selamat dan bersih kerana kita boleh pilih bahan dan mengendalikan waktu masak terutamanya untuk mengelakkan keracunan makanan. Kerana bahan berasaskan telur, contohnya dalam puding buih, tidak boleh dbiarkan terdedah terlalu lama apabila dipecahkan. Terdapat banyak variasi penyediaan puding yang sangat sedap dan mudah disediakan untuk dinikmati bersama keluarga. Boleh dijadikan pemanis mulut dan menyejukkan tekak dalam cuaca panas.

Leave A Reply

Your email address will not be published.