Apabila tibanya musim tengkujuh iaitu bermula November hingga Mac, dalam benak fikiran setiap orang ramai adalah banjir yang akan melanda.
Terutama sekali negeri paling tinggi terkena banjir adalah negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Banjir selalunya berlaku secara mengejut tanpa kita sedari dan boleh menyebabkan kemusnahan harta benda atau alam sekitar bahkan boleh mengancam kehidupan serta ekonomi penduduk negara.
Sebagai langkah keselamatan, penting untuk kita mengatur langkah dengan membuat persediaan awal menghadapi banjir.
Persediaan ini untuk memastikan semua mangsa akan terselamat serta sumber-sumber yang diperlukan ada sewaktu diperlukan.
Berikut Tips Persediaan Menghadapi Banjir untuk sebelum, semasa dan selepas sebagai langkah berjaga-jaga.
Persediaan Sebelum Banjir
- Sentiasa peka dengan persekitaran.
- Ajari anak-anak anda agar tidak bermain di dalam atau berhampiran alur, sungai atau kawasan-kawasan lain berpotensi banjir.
- Simpan wang tunai dan dokumen penting di tempat yang selamat.
- Sediakan kit bekalan kecemasan
- Sediakan lampu suluh, wisel, lilin, tali, pemetik api.
- Sediakan stok makanan dan minuman secukupnya.
- Sediakan beg kecemasan yang mengandungi ubat-ubatan, stok makanan, lampu suluh, dll
- Segera memindahkan kereta ke tempat selamat.
- Kenalpasti laluan alternatif yang selamat untuk digunakan semasa banjir.
- Pindahkan barang-barang berharga dan perabot ke tempat yang lebih tinggi.
- Kenalpasti rakan-rakan dan saudara mara boleh dibubungi untuk mendapatkan maklumat keselamatan apabila terperangkap dalam banjir.
Persediaan Semasa Banjir
- Jangan bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
- Awasi anak-anak agar tidak bermain air di kawasan banjir, longkang, lombong, tali air dan sungai.
- Jangan berenang atau berjalan melalui air yang deras. Air yang bergerak laju boleh membuat anda jatuh dan hilang kawalan.
- Sekiranya anda terpaksa berjalan kaki di dalam air banjir, gunakan kayu untuk memeriksa keadaan tanah di hadapan anda.
- Jangan sentuh peralatan elektrik, kabel atau wayar jika anda dalam keadaan basah kerana air boleh mengalirkan arus elektrik.
- Jika diarahkan keluar dan berpindah oleh pihak berkuasa, segera lakukan.
- Jika anda dapati ada orang jatuh atau terperangkap di dalam air banjir jangan segera menyelamatkan mangsa sebaliknya guna peranti pengapungan seperti tiub tayar, bola besar atau tong air) untuk diberikan kepada mangsa untuk selamatkan diri.
- Atau segera hubungi 999 untuk mendapatkan bantuan.
Persediaan Selepas Banjir
- Dengar radio untuk mengetahui info tentang banjir atau tunggu arahan pihak yang berkuasa .
- Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya (warga emas, kanak-kanak atau golongan istimewa.
- Jauhi peralatan elektrik di kawasan yang basah kerana air boleh mengalirkan arus elektrik.
- Berhati-hati dengan kawasan air banjir yang telah surut. Struktur jalan raya mungkin telah lemah dan boleh runtuh disebabkan berat kereta.
- Jangan makan makanan yang ditenggelami banjir termasuk barangan dalam tin.
- Semua peralatan elektrik perlu diperiksa dan dikeringkan sebelum digunakan semula.
- Periksa saluran paip gas yang mungkin pecah atau bocor.
- Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
- Jangan gunakan lampu, lilin atau mancis untuk memeriksa keadaan bangunan. Dalam keadaan tersebut anda mungkin terdedah kepada sesuatu yang mudah terbakar.
- Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
Doa Ketika Banjir
يَا أرْضُ ابْلَعِى مَآءَكِ وَيَا سَمَآءُ أقْلَِعِى وَغِيضَ الْمَآءُ
Wahai bumi ! Telanlah air (banjir) mu dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu
(Surah Hud: Ayat 44)