fbpx

Panduan Haji, Umrah dan Ziarah (Kemaskini)

Panduan Haji dan Umrah bagi yang bakal menunaikan Haji, Umrah dan Ziarah. Kami doakan kunjungan anda ke Mekah dan Madinah diberkati dan dipermudahkan Allah s.w.t. Selamat berangkat dhuyufurrahman.

Panduan Menunaikan Haji

Haji merupakan rukun kelima daripada 5 rukun asas Islam. 

Pengertiannya dari sudut bahasa: 
Menuju kepada Allah Yang Maha Agung.

Pengertiannya dari sudut istilah syarak:
Menziarahi tempat-tempat tertentu pada masa-masa tertentu dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan tertentu.

Kelebihan Haji menurut hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa yang mengerjakan Haji dan dia tidak mencampuri isterinya serta tidak melakukan maksiat, dia akan kembali sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya.

Syarat Menunaikan Haji

IklanIklan
Iklan
Iklan
Iklan

Syarat-syarat Wajib Mengerjakan Haji:

  • Islam
  • Berakal
  • Berkemampuan
  • Merdeka
  • Baligh

Bentuk-bentuk Berkemampuan:

  • Selamat tubuh badan
  • Aman perjalanan
  • Tidak ditahan
  • Terdapat mahram atau suami bagi perempuan
  • Tidak berada dalam idah bagi perempuan

Syarat-syarat Sah Mengerjakan Haji:

  • Islam
  • Berihram
  • Masa (Miqat ihram menepati masa)
  • Tempat (Miqat ihram mengikut tempat)
  • Mumayyiz
  • Berakal
  • Boleh melakukan pekerjaan dengan sendirinya melainkan ketika keuzuran
  • Tidak bersetubuh
cara mengerjakan haji

Cara Mengerjakan Ibadat Haji

Terdapat 3 cara untuk mengerjakan Haji iaitu :

  • Ifrad : Iaitu berniat Haji sahaja.
  • Tamattu': Iaitu berniat Umrah terlebih dahulu (iaitu dia berihram Umrah dari miqat yang ditetapkan untuk negerinya kemudian dia bertahallul dari ihram tersebut seterusnya berihram untuk Haji dari Mekah). Dinamakan sebagai Tamattu' kerana dia memilih cara yang membolehkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram di antara Umrah dan Haji.
  • Qiran: Iaitu berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah bersama-sama secara serentak).

    Firman Allah Taala yang bermaksud: " Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah)."(Surah Al-Baqarah, Ayat: 196).

    Jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran dan Tamattu' diwajibkan menyembelih kambing biri-biri (dam) sebagai tanda syukur kepada Allah Taala kerana dia berjaya mengerjakan Umrah dan Haji pada bulan-bulan Haji dengan baik serta di dalam satu perjalanan musafir, sekiranya dia tidak mampu menyembelih dam, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari pada musim Haji dan tujuh hari selepas dia pulang ke tanah airnya.

Persediaan Untuk Musafir Haji

Sebelum musafir untuk mengerjakan Haji bakal jemaah Haji hendaklah melakukan perkara-perkara berikut:

  • Kembali kepada Allah dengan bertaubat dari segala dosa-dosa.
  • Mengembalikan hak-hak dan apa yang diambil secara zalim kepada tuan-tuanya.
  • Jaminan perbelanjaan Haji dari rezeki yang halal lagi baik.
  • Mempunyai teman yang solih cintakan kepada kebaikan dan boleh membantunya.
  • Berjanji untuK tidak akan lagi melakukan maksiat dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi SAW.

Perkara Sunat Ketika Musafir

  • Sunat mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga dan kawan-kawan
  • Sebelum bertolak dia disunatkan mendirikan sembahyang sunat musafir sebanyak dua rakaat, pada rakaat yang pertama dia membaca (. . . . قل يا أيها الكافرون) dan pada rakaat yang kedua pula dia membaca (. . . . قل هو الله أحد) selepas membaca Al-Fatihah.
  • Selepas selesai sembahyang dia membaca ayat Al-Kursi.
  • Ketika keluar dari rumahnya dia membaca.
  • Kemudian selepas menaiki kenderaan dia bertakbir sebanyak tiga kali
  • Kemudian dia membaca ayat Al-Kursi, surah Al-Ikhlas, surah Al-Masad dan surah An-Nas
rukun haji

Jenis-Jenis Haji

Haji Ifrad

Ifrad bermakna jemaah Haji berihram dari miqat dengan niat Haji sahaja kemudian dia bertalbiah seterusnya dia kekal berada dalam keadaan berihram sehingga dia wuquf di Arafah, dia melontar Jamrah Aqabah dan bertahallul dari ihramnya.


Firman Allah Taala: Yang bermaksud:
" Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya , di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Haji Tamattu'

Tamattu' pula bermakna jemaah Haji berihram Umrah dari miqat yang ditetapkan untuk negerinya kemudian dia bertahallul dari ihram Umrah. Setelah itu dia berihram untuk mengerjakan Haji dari Mekah.

Dinamakan sebagai Tamattu' kerana dia memilih cara yang membolehkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram di antara Umrah dan Haji seperti memakai pakaian berjahit, memakai wangian dan bersetubuh.


Firman Allah Taala yang bermaksud:
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Haji Qiran

Qiran ialah berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah secara serentak) dari miqat-miqat yang ditetapkan kemudian dia mengerjakan ibadat Umrah seterusnya kekal berada di dalam keadaan berihram di Mekah sehingga hari kelapan Zulhijah, waktu Haji lalu dia mengerjakan ibadat Haji kemudian bertahallul dari ihramnya.


Qiran dinamakan sedemikian kerana ia bermaksud menyertakan bersama iaitu menghimpunkan di antara Haji dan Umrah pada bulan-bulan Haji di dalam satu perjalanan musafir serta menggunakan satu niat.

Qiran: Iaitu berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah bersama-sama secara serentak).

Firman Allah Taala:

(فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْي فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَة ٌذَلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ)

Yang bermaksud:
Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah).
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 196).

Panduan Umrah

cara mengerjakan umrah

Umrah ialah Haji kecil, ia diambil dari perkataan al-I'timar iaitu (ziarah). Orang yang mengerjakan Umrah akan berniat Ihram Umrah dari miqat, mengerjakan Tawaf Qudum, bersaie dan seterusnya bertahallul dari Ihramnya dengan bercukur atau bergunting.


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r. a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Umrah ke Umrah yang berikutnya menjadi penebus dosa yang dilakukan di antara keduanya manakala Haji yang mabrur pula tidak ada balasan selain syurga."

Diriwayatkan daripada Jabir r. a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Jemaah Haji dan Umrah adalah rombongan Allah, jika mereka berdoa kepada Nya, Dia akan memustajabkan doa mereka dan sekiranya mereka memohon ampun daripadaNya, Dia akan mengampunkan mereka." 

Rukun Umrah

Ihram

Pakai pakaian ihram. Lelaki harus terdiri daripada 2 lembar kain yang tidak berjahit manakala pakaian ihram wanita lebih bebas namun disunatkan berwarna putih, menutup aurat wanita dan tidak berjahit. Pakaian ini dipakai untuk menuju ke masjidil Haram untuk tawaf, sai, tahallul dan tertib. 

Tawaf

Mengelilingi kaabah 7 pusingan. Niat tawaf adalah : 

Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala”.

Syarat sah tawaf:

  • Suci dari hadas kecil (berwuduk) dan hadas besar.
  • Badan suci dari najis.
  • Menutup aurat.
  • Dimulai dari belakang hajarul Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
  • Dilakukan diluar Kaabah tetapi di dalam Masjidil Haram.
  • Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Kaabah semasa tawaf.
  • Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).
  • Laluan tawaf hendaklah bersih dari najis.
  • Tujuh pusingan dengan sempurna dan yakin.
  • Mengirikan Kaabah atau mengelilingi melawan jam.

Setelah selesai tawaf, di sunatkan sembahyang tawaf di ruang sembahyang yang disediakan untuk melakukan rukun umrah ke tiga iaitu sai.

Saie

Berjalan berulang alik dari bukit Safa ke bukit Marwah sebanyak 7 kali.

Syarat sah saie harus dilakukan selepas tawaf dan bertujuan hanya untuk saie. Perjalan dimulai dengan bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah mencukupi sebanyak 7 kali. Kemudian setelah selesai saie , kemudian bolehlah bertahallul dengan menggunting sebahagian rambut(digunting oleh orang yang sudah bertahallul) atau ke kedai gunting. 

Tahalul

Apabila sudah selesai memotong rambut sekurang-kurangnya 3 helai , afdhal bagi lelaki untuk bercukur kepala. Dan bagi yang tiada rambut dikepala pula , sudah memadai melalukan pisau di kulit kepala. 

Tahallul bagi wanita atau perempuan yang berambut panjang boleh memotong mana-mana bahagian rambutnya asalkan tidak kurang dari 3 helai. Suami boleh menggunting rambut isterinya sebelum menggunting rambutnya sendiri selepas kedua-duanya selesai Sai’e umrah. Tetapi sebaik-baiknya suami menggunting rambutnya dulu.

Tertib

Melakukan rukun umrah ikut turutan. Kita perlu ikut tertib umrah dari niat sampailah bercukur. Jika sudah selesai umrah barulah boleh menanggalkan baju ihram dan tamatlah pantang larang dalam ihram. Kemudian , boleh melakukan tawaf sunat atau umrah yang berikutnya. 

Hukum Ziarah dan Kelebihannya :
Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa menziarahi Baginda SAW adalah sebesar-besar usaha mendekatkan diri kepada Allah dan sebaik-baik ketaatan. Orang yang menziarahi juga hendaklah berniat menziarahi masjid baginda kerana baginda telah bersabda bahawa sembahyang di dalamnya lebih baik dari seribu sembahyang di tempat yang lain melainkan Masjidilharam.


Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. :
Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga buah masjid: Masjidilharam, masjidku ini dan Masjidilaqsa.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r. a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang menziarahi maqamku, pasti dia mendapat syafaatku.

Nasihat-Nasihat Umrah dan Haji

Ibadah umrah dan haji adalah ibadah yang mencabar. Terutamanya kesabaran dan kekuatan fizikal. Justeru kami kumpulkan nasihat-nasihat daripada mereka yang pernah mengikuti umrah dan haji untuk panduan bersama.

  • 1
    Mengelakkan diri dari berhutang untuk mengerjakan ibadat Haji kerana tindakan sedemikian adalah salah memandangkan Haji tidak diwajibkan melainkan kepada orang-orang yang berkemampuan untuk mengerjakannya sahaja.
  • 2
    Cuba berusaha mempelajari ibadat ini supaya tidak mendedahkan diri anda ke dalam perkara yang boleh merosakkan pekerjaan anda atau mengurangkan pahala anda dalam keadaan anda tidak sedar.
  • 3
    Cuba berusaha untuk mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w mengikut kemampuan anda dan keadaan anda.
  • 4
    Ketahuilah wahai saudaraku jemaah Haji bahawa mengikut mazhab adalah merupakan suatu kemestian di dalam Haji dan jangan cuba untuk membebankan diri anda lebih dari kemampuan anda kerana (Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya).
  • 5
    Cuba berusaha untuk mengelakkan diri anda dari memerhati manusia dan tumpukan kepada pekerjaan anda dan cara melakukan ibadat anda.
  • 6
    Elakkan diri anda dari melakukan maksiat dan jauhkan diri anda dari bertengkar dan berbalah.

Nasihat Semasa Tawaf

  • 1
    Menutup aurat dan suci dari hadas besar dan kecil.
  • 2
    Jangan berdiri terlalu lama di HajarulAswad kerana mengucup Hajarulaswad hukumnya sunat dan jangan sampai tercedera. 
  • 3
    ​Kusyuk dan tenang dalam tawaf.
  • 4
    Makruh tawaf ketika menahan kentut, buang air kecil mahupun air besar.
  • 5
    Muwalat (berturut-turut) di antara pusingan-pusingan di dalam tawaf adalah sunat muakkad.
  • 6
    Elakkan bercakap dengan suara yang tinggi.
  • 7
    Elakkan dari berlari-lari anak di dalam setiap pusingan tawaf kerana berlari-lari anak adalah sunat pada tiga pusingan pertama tawaf sahaja yang selepasnya disusuli dengan saie selepasnya.
  • 8
    Elakkan dari ittiba' ketika selawat.
  • 9
    Elakkan dari menyentuh maqam Ibrahim dan menciumnya kerana perbuatan ini adalah bidaah bercanggah dengan sunnah begitu juga dengan berpegang pada dinding kaabah.

Nasihat pada Hari Arafah

  • 1
    Sering bertalbiah dalam perjalanan ke Arafah.
  • 2
    Sering berzikir dan berselawat keatas Baginda SAW pada hari Arafah terutamanya.
  • 3
    Berusaha wukuf di dalam kawasan Arafah.
  • 4
    Masjid Namarah hanya mempunyai 3/4 sahaja dalam kawasan Arafah. 1/4 lagi diluar kawasan Arafah yang akan menyebabkan tertinggal wukuf dan Haji tidak sah.
  • 5
    Berusaha untuk turun dari selepas tenggelam matahari, dengan demikian anda menghimpunkan di antara malam dan siang, sekiranya anda turun sebelum Maghrib maka anda diwajibkan membayar dam.
  • 6
    Tidak bersangka buruk kepada Allah. 

Nasihat di Mina

  • 1
    Melontar batu ke tempat yang sepatutnya.
  • 2
    Elakkan melontar kesemua batu dengan serentak kerana ia dikira sebagai satu lontaran sahja.
  • 3
    Elakkan diri anda dari melontar secara berlawanan dengan susunannya bahkah wajib dimulakan dari Sughra kemudian, Wusta seterusnya Kubra.
  • 4
    Elakkan melontar dalam bilangan yang sedikit atau lebih dengan sengaja.
  • 5
     Jangan lupa berdoa selepas melontar di Jamrah Sughra dan Wusta.
  • 6
    Jangan berdoa selepas melontar di Jamrah Kubra (Jamrah Aqabah) kerana ia bercanggah dengan sunnah.

Nasihat di Madinah

  • 1
    Menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW. 
  • 2
    Berusaha untuk mendirikan sembahyang di Raudhah kerana Raudhah adalah merupakan sebahagian dari taman-taman syurga.
  • 3
    Tidak memegang dan mencium dinding maqam.
  • 4
    Berjalan dengan tenang dan sopan.
  • 5
    Dilarang merokok kerana ia perbuatan fasiq terutama di Madinah Rasulullah s.a.w. malah ia juga dianggap sebagai tidak beradab bersama Rasulullah s.a.w.
  • 6
    Melawat tempat-tempat bersejarah dengan mengetahui sejarahnya.
  • 7
    Memperbanyakkan zikir dan bacaan Al-Quran.
  • 8
    Datang awal ke Masjid Nabawi.

Panduan Umrah dan Haji ini adalah sebagai panduan untuk membantu para jemaah sekalian. Ianya mungkin tidak sempurna. Namun insyaAllah boleh membantu. Apa yang penting adalah niatkan betul-betul tujuan menunaikan umrah dan haji kerana Allah s.w.t.

Leave A Reply

Your email address will not be published.