Ambo nok kongsi 21 tempat makan best di Kota Bharu. Sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian makanan. Nasi kerabu, nasi ulam, maggi ketam, cek mek dan macam-macam.
Satu perkara yang menarik tentang orang Kelantan adalah "kuat makan". Restoran boleh dijumpai selang 50-100 meter di Kota Bharu. Dan kesemua mereka ada pelanggan.
Sekarang mari ambo tunjuk restoran dan warung sedap di Kota Bharu. Ada yang pernah muncul dalam siri Jalan-Jalan Cari Makan. Ambo cuba pilih restoran yang orang tempatan suka. Selera lokal.
1. Nasi Kerabu Bomba
Ini adalah restoran Nasi Kerabu yang power gila. Menu terbaiknya adalah Nasi Kerabu Kambing Bakar. Lauk banyak. Dagingnya fuh memang menjilat jari. Sekali makan pasti terngiang-ngiang. Nasi kerabu ini boleh didapati di Restoran Rohani. Letaknya sebelah balai bomba Kota Bharu. Restoran mula dibuka seawal jam 7 pagi.
Menu power: Nasi Kerabu Daging Bakar
Lokasi: Sebelah Balai Bomba Kota Bharu
Waktu: 7 pagi - 12 tengahari
2. Nasi Ikan Kak Chik
Nasi ini boleh dijumpai di gerai di tepi-tepi jalan. Setiap hari lebih 6000 bungkus sehari terjual. Bukan saja di Kota Bharu, malah di Kuala Lumpur. Ada yang panggil nasi ini sebagai nasi terbang kerana nasi ini dihantar ke KL setiap hari menggunakan kapal terbang. Cara nak kenal nasi bungkus ini adalah dengan melihat cop: Nasi Berlaku Kak Chik.
Menu power: Nasi berlauk Kak Chik
Lokasi: Di gerai tepi jalan
Waktu: Sepanjang hari
3. Roti Titab Kopitiam Kita
Roti Titab mula diperkenalkan oleh Restoran Kopitiam Kita. Satu restoran yang cukup tersohor terutamanya di kalangan pelancong. Restoran ini terletak di Jalan Tok Guru. Roti Titab merupakan roti bakar yang dihidang bersama telur dan seri kaya. Rasanya terangkat weh!
Menu power: Roti Titab
Lokasi: Off Jalan Tok Guru (Jalan Sri Cemerlang)
Waktu: 7 pagi - 1 tengahari
4. Nasi Ayam Kampung Madu
Restoran ini tidak ada nama. Letaknya di lorong Merican. Belakang pasaraya Billion. Menu kedai ini hanya satu saja iaitu Nasi Ayam Kampung Madu. Setiap hari kedai ini pasti penuh. Resipinya memikat. Biasanya kalau ambo makan, ambo akan pesan 4 ketul ayam.
Menu power: Nasi Ayam Kampung Madu
Lokasi: Lorong Merican (belakang pasaraya Billion)
Waktu: 7 pagi - 1 tengahari
5. Telur Taliban Din Tokyo
Salah sebuah restoran legend di Kota Bharu. Nama restoran ini Restoran Din Tokyo. Letaknya di dalam bandar Kota Bharu. Berdekatan dengan stesyen bas. Menu terbaik kedai ini adalah telur taliban dan telur ping pong. Telur taliban merupakan telur separuh masak yang sdikit cair. Manakala telur ping pong adalah telur separuh masak yang hampir masak. Bentuknya sama seperti bola ping pong.
Menu power: Telur Taliban + Air Halia Telur Puyuh
Lokasi: Jalan Tok Hakim (berdekatan RHB Kota Bharu)
Waktu: 7 pagi - 10 malam
6. Nasi Sup Pok Mat Pulau Pisang
Kisah Pak Mat ini pernah viral. Pak Mat merupakan orang pertama yang memperkenalkan Teh Tarik Madu kawww! Makan bersama nasi sup ikan. Fuh memang tak menyesal. Nasi sup ikan Pak Mat luar biasa. Ikannya dikukus dengan resipi tersendiri. Pak Mat ini dulunya tukang masak istana. Jadi masakannya memang terbaik. Lokasi warung Pak Mat ini adalah di Medan Ikan Bakar Kuala Besar, Kota Bharu.
Menu power: Nasi Sup Ikan + Teh Tarik Madu
Lokasi: Medan Ikan Bakar Kuala Besar
Waktu: 8 pagi - 4 petang
7. Nasi Lemak Bersinar
Kedai ini terletak berhadapan bangunan SUK kelantan. Hanya dibuka awal pagi. Keunikan nasi lemak ini adalah pada lauknya. Anda boleh memilih pelbagai macam lauk; ayam, kerang, daging, limpa dan macam-macam. Pilihan kegemaran ambo adalah ayam + pelepung. Sambal nasi lemaknya sedap (resipi Kelantan)
Menu power: Nasi Lemak Bersinar
Lokasi: Jalan Sultan
Waktu: 7 pagi - 12 tengahari
8. Nasi Kak Wok
Nasi Kak Wok ini cukup terkenal. Pengasasnya dipanggil Kak Wok. Nasi Kak Wok dimakan di pagi hari. Nasinya merupakan nasi berlauk ayam goreng berempah yang dipotong kecil-kecil. Ada banyak tempat yang menjual nasi Kak Wok atau Nasi ala Kak Wok. Namun gerai asal Nasi Kak Wok ini terletak di Lundang, belakang KBMC.
Menu power: Nasi Kak Wok
Lokasi: Lorong belakang KBMC
Waktu: 7 pagi - 12 tengahari
9. Nasi Sup Lido
Dibuka bermula jam 12 tengahari, menu paling power adalah nasi sup daging bakar. Jangan datang lambat, nanti habis! Daging bakarnya lembut. Apabila gigit akan rasa aliran rempah yang sangat sedap. Ada rasa manis, masam. Cukup lengkap. Sekarang ini selain selain daging bakar, ada juga lauk kambing bakar.
Menu power: Nasi Sup + Daging Bakar
Lokasi: Jalan Lido (berdekatan Hotel Grand Riverview)
Waktu: 12 tengahari - 5 petang
10. Nasi Kukus
Nasi kukus merupakan menu kegemaran rakyat Kelantan. Ianya mirip nasi kandar. Nasi kukus dicampur kuah kari bersama ayam goreng berempah. Ada banyak gerai nasi kukus yang sedap. Antaranya nasi kukus Suriani di sebelah stadium, nasi kukus Zakini dan nasi kukus Zawani.
Menu power: Nasi Kukus
Lokasi: Suriani (tepi stadium), Zakini (Jalan Hospital)
Waktu: 12 tengahari - 6 petang (ada yang buka sehingga malam)
11. Nasi Ulam Cikgu
Ini adalah restoran wajib pergi bagi mereka yang mahu merasai makanan orang Kelantan. Restoran ini mula dibuka seawal jam 11 pagi. Pelbagai macam lauk pauk ada disediakan. Paling menarik ulam-ulaman. Di sini juga anda boleh mencuba budu. Anda dinasihatkan datang sebelum jam 1 tengahari supaya dapat tempat duduk! Restoran ini terletak dalam perkampungan kraftangan di tengah bandar Kota Bharu.
Menu power: Nasi + Ulam-ulaman + Gulai Ikan Patin
Lokasi: Kampung Kraftangan, Kota Bharu
Waktu: 11 pagi - 5 petang
12. Roti Tempayan Wajinah
Dalam banyak-banyak roti tempayan, inilah restoran roti tempayan terbaik. Rotinya lembut dan lazat. Campur pula dengan kuah kari kambing pekat, memang terangkat! Satu lagi menu power di sini adalah ayam tandoori kuah lada. Restoran ini terletak di Jalan Dusun Muda. Dibuka selepas maghrib.
Menu power: Roti Tempayan + Kari Kambing
Lokasi: Jalan Dusun Muda
Waktu: 7 petang - 12 tengah malam
13. Yati Ayam Percik
Restoran ini terletak di Jalan Long Yunus. Sebagaimana namanya, menu terbaik adalah ayam percik. Resipi ayam perciknya merupakan resipi turun temurun. Dihidangakn bersama-sama nasi putih atau nasi kerabu. Sedap dimakan panas-panas.
Menu power: Ayam Percik
Lokasi: Jalan Long Yunus
Waktu: 12 tengahari - 10 malam
14. Kengsom Restoran Syam
Restoran Syam ini sudah terkenal di seluruh Kelantan. Bagi ambo menu paling sedap sekali di Restoran Syam adalah Kengsom dan Ketam Telur Masin. Kengsom ini merupakan masak pedas ala Thailand. Rasanya sukar diluahkan menerusi perkataan. Hanya lidah yang dapat menikmati kesedapan.
Menu power: Kengsom + Ketam masak Telur Masin
Lokasi: Jalan Hospital
Waktu: 12 tengahari - 3 petang, 6 petang - 9 malam
15. Nasi Lemak International
Gerai nasi lemak ini dibuka sebelah petang, bermula jam 6 petang. Berhadapan dengan Klinik Perdana. Nasi lemak ini mesti cuba! Keunikkannya adalah pada ayam goreng berempah yang rangup sangat. Sambal ikan bilisnya pun sedap. Jadi kombinasi kedua-duanya meletup!
Menu power: Nasi Lemak
Lokasi: Jalan
Waktu: 6 petang - 12 tengah malam
16. Restoran KST Ikan Bakar
Kedai ini berkonsepkan mini-food court. Terkenal dengan ikan bakar berempah cicah sambal belacan. Slurrrp. Pedas dan sedap. Selain menu ikan bakar, ada macam-macam masakan panas. Boleh tahan juga rasanya. Restoran ini antara restoran yang sangat ramai pengunjung di waktu malam.
Menu power: Ikan bakar + Bingsu
Lokasi: Batu 3, Wakaf Che Yeh
Waktu: 4.30 petang - 12 tengah malam
17. Restoran Four Seasons
Restoran ini sangat sesuai untuk hidangan sekeluarga. Macam-macam masakan disediakan. Kebiasaannya pada hujung minggu, anda perlu buat tempahan. Ambo paling suka Tomyam dan daging rusa masak lada hitam. Sedap sehingga menjilat jari. Tomyam dia memang kaw!
Menu power: Tomyam + Daging Rusa Masak Lada Hitam
Lokasi: Jalan Sri Cemerlang
Waktu: 12 tengahari - 2.30 petang,6 petang - 10 malam
18. Subihaff Corner
Kedai ini letaknya di tepi jalan berdekatan wisma persektuan. Pelbagai masakan panas disediakan. Ambo paling suko bihun sup dan char kuew teow. Selain itu ada gerai satay di sebelah kedai ini. Sataynya sedap juga.
Menu power: Ikan Masak Stim
Lokasi: Jalan Guchil Bayam
Waktu: 6 petang - 12 tengah malam
19. Maggi Ketam
Fenomena maggi ketam melanda Kelantan sekitar tahun 2016. Pada ketika ini banyak warung dan restoran yang mula tumbuh. Ada yang masih kekal, ada yang sudah tutup. Ambo rasa maggi ketam paling sedap ada di Pantai Cahaya Bulan. Selain maggi ketam, ada maggi sotong dan maggi tiram.
Menu power: Maggi Ketam
Lokasi: Pantai Cahaya Bulan
Waktu: 12 tengahari - 10 malam
20. Roti Tempayan Teh Yaman
Restoran ini dibuka malam hari. Menu istimewanya adalah roti tempayan dan teh Yaman. Teh Yaman ini cukup unik. Rasanya sedap dan pekat.
Menu power: Roti Tempayan + Teh Yaman
Lokasi: Jalan Pintu Geng
Waktu: 8.30 malam - 11.30 malam
21. Roti Canai Cotek
Ini salah satu makanan unik di Kelantan: roti canai cotek. Mirip roti canai banjir. Cuma bezanya pada kuah dan telurnya. Mula dibuka petang hari sehingga malam. Sekali sekala boleh cuba kombinasi roti canai + gearbox. Power!
Menu power: Roti Canai Chotek
Lokasi: Kubang Kerian
Waktu: 6 petang - 11 malam
Ini adalah 21 tempat makan best di Kelantan. Ambo akan tambah dari masa ke masa. Pilihan ambo lebih kepada makanan tempatan. Makanan barat nanti kita cerita lain kali.
Andai kata ada restoran-restoran lain yang sedap-sedap, komen di bawah. Nanti ambo pergi cuba dan masukkan dalam senarai ini =)