fbpx

3 Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga

Bagaimanakah cara memperkenalkan diri semasa temuduga? Mengapa proses memperkenalkan diri ini dianggap penting? Artikel ini akan menerangkan dengan terperinci segala rahsia berkaitan temuduga.

Mengikut laporan oleh Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam(SPA), terdapat hampir 2.5 juta permohonan kerja bagi mengisi kekosongan jawatan perkhidmatan awam.

Jadi bagaimanakah anda ingin menjadi satu daripada 2.5 juta yang terpilih. Apakah kriteria yang diambil berat oleh penemuduga. Apakah contoh soalan dan jawapan yang dinantikan.

Sebelum kita terus kepada tips temuduga, elok kita teliti apakah kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh penjawat awam. Kelebihan-kelebihan inilah yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia berlumba-lumba untuk menyertai perkhidmatan awam.

Andai kata anda ingin terus lompat ke topik-topik tertentu, klik butang pilihan di bawah ini.

Kelebihan Menjadi Penjawat Awam

1. Cuti
Berbanding sektor swasta, cuti bagi penjawat awam lebih terpelihara dan banyak. Bagi pekerja biasa (am), jumlah cuti adalah selama 14 hari. Bagi golongan profesional, jumlah cuti adalah 25 hari. Tidak termasuk cuti sakit, cuti bersalin, cuti belajar.

2. Elaun
Apabila menjadi penjawat awam ada banyak jenis elaun yang ditawarkan. Jenis elaun berbeza mengikut jenis pekerjaan. Antara elaun yang diperolehi semua penjawat awam adalah Elaun Sara Hidup (COLA). Ada juga Elaun Rumah.

3. Skim Pencen
Setiap penjawat awam ada dua pilihan bagi menabung di hari tua. Sama ada memilih skim pencen atau skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagi skim pencen, penjawat awam yang bersara akan menerima elaun tetap semacam gaji bulanan biarpun sudah tidak bekerja. Selain itu pesara juga akan memiliki kad pesara yang memiliki kelebihan tersendiri.

4. Tangga Gaji
Setiap jawatan penjawat awam mempunyai gred gaji masing-masing. Gred gaji ini menentukan jumlah gaji yang diperolehi. Dalam gred ini ada tangga gaji. Tangga gaji memaparkan kadar kenaikan gaji oleh seseorang penjawat awam.

5. Pinjaman Kerajaan
Permohonan pinjaman daripada penjawat awam lebih senang diluluskan oleh bank berbanding pekerja swasta. Malah proses mendapatkan kad kredit bagi penjawat awam juga lebih mudah dan senang.

6. Bonus Setiap Tahun
Hampir setiap tahun dalam pembentangan bajet, Perdana Menteri mengumumkan bonus kepada penjawat awam. Ini satu kelebihan yang sangat disukai oleh penjawat-penjawat awam.

7. Diskaun Kerajaan
Apabila berkunjung ke kebanyakan hotel, penjawat awam boleh menikmati diskaun istimewa. Hanya tanya pada pekerja hotel ‘rate kerajaan’ dan mereka akan beritahu berapa harga istimewa.

8. Tuntutan
Terdapat tuntutan-tuntutan yang akan dibayar kepada penjawat awam. Antaranya tuntutan perjalanan ke kursus (kos tiket, penginapan, minyak dan sebagainya), tuntutan kerja lebih masa dan banyak lagi.

9. Melanjutkan Pelajaran
Andai kata penjawat awam mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, mereka boleh memohon dengan jabatan atau kementerian masing-masing. Ada skim atua geran khas yang disediakan.

Ini adalah antara kelebihan-kelebihan sebagai penjawat awam. Tidak hairanlah seramai lebih 2 juta orang berebut mendapatkan pekerjaan.

Sekarang mari kita tekuni cara menjawab soalan 'tell me about yourself'.

Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga

Penemuduga akan beritahu sila perkenalkan diri. Apakah cara terbaik memperkenalkan diri? Bayangkan begini, pada hari temuduga ada lebih 100 orang calon. Bagaimanakah anda mahu jadi calon yang diingati - Be different! Jadi berbeza!

Elakkan memperkenalkan diri dengan cara lama seperti,

  • ELAKKAN

Nama saya Ahmad bin Husin. Saya berasal daripada Selangor. Tarikh lahir saya adalah 1 Januari 1990. Saya baru tamat belajar.

Apabila anda perkenalkan diri seperti di atas, anda bosan. Kesannya penemuduga tidak berminat.

Cipta kelainan. Kunci dalam memperkenalkan diri adalah tunjukkan kesungguhan dan minat anda untuk mendapatkan kerja.​

Saya Ahmad bin Husin dari Selangor. Bercita-cita mahu belajar dan bekerja bersungguh-sungguh di syarikat Tuan. Komitmen saya adalah untuk memberikan yang terbaik dalam bidang yang diceburi.

Ayat sebegini akan mengejutkan penemuduga. Sekaligus menyebabkan mereka ingin bertanya lagi. Pada ketika ini tunjukkan kebolehan anda. Gunakan tips temuduga di bawah bagi memperkemaskan lagi cara jawab soalan.

Cara Perkenalkan Diri 1 : Fokus Kelebihan

Menerusi kaedah ini, anda perlu melihat apakah jawatan yang anda mahu dapatkan. Kemudian cari kelebihan yang anda miliki berkaitan dengan jawatan itu. Sebutkan di awal sesi pengenalan.

Katakanlah anda memohon jawatan sebagai seorang guru. Dapatkan maklumat apakah kemahiran kritikal yang diperlukan oleh seorang guru. Sebagai contoh,

  • CARA 1: FOKUS KELEBIHAN

Nama saya Ahmad bin Husin. Saya memiliki kesungguhan dan komitmen yang padu dalam melakukan sesuatu tugasan. Saya percaya kemahiran ini akan membantu perjalanan saya sebagai seorang guru.

Cara Perkenalkan Diri 2 : Elevator Pitch

Ini adalah teknik yang paling banyak ditemui. Bayangkan begini, anda sedang menaiki sebuah lif dari tingkat 1 ke tingkat 5. Anda bertemu dengan bakal majikan di dalam lif. Apakah yang akan anda sebutkan dalam masa yang singkat itu supaya bakal majikan itu ingat akan anda.

Ada tiga komponen utama dalam elevator pitch:
1. Siapa anda
2. Apakah kepakaran anda
3. Kenapa anda berminat terhadap jawatan ini

  • CARA 2: ELEVATOR PITCH

Nama saya Ahmad bin Husin. Saya memiliki pengalaman selama 5 tahun sebagai pengurus HR di Syarikat ABC. Impian saya adalah meningkatkan potensi diri. Dan saya percaya jawatan ini dapat membantu saya merealisasikan impian ini.

Cara Perkenalkan Diri 3 : PBN

Ini adalah teknik yang diperkenalkan oleh Tuan Nik Faiz, seorang Career Expert. Menurut Tuan Nik Faiz, fokus dalam menjawab soalan cara memperkenalkan diri terbaik adalah dengan memasukkan tiga elemen ini:
1. Pencapaian
2. Bakat Istimewa
3. Nilai yang boleh diberikan

  • CARA 3: TEKNIK PBN

Nama saya Ahmad bin Husin. Saya merupakan pelajar terbaik SPM di Sekolah ABC. Kawan-kawan menggelarkan saya 'The Precious Genius'. Kemahiran saya adalah menyelesaikan sesuatu yang dimulakan dengan terbaik. Dan saya percaya kemahiran ini dapat menjadi satu aset bernilai yang boleh disumbangkan kepada syarikat.

Ini adalah 3 cara memperkenalkan diri semasa temuduga. Adakah ada cara lain? Pastinya ada. Kuncinya kembali ke perenggan awal tadi. Jadi berbeza. Supaya anda diingati dan dikenali.

Sekarang kami mahu berkongsi 9 tips temuduga yang akan membantu anda.

9 Tips Temuduga

Baik. Sekarang kami kongsikan 9 tips temuduga yang berpotensi meningkatkan kemungkinan anda diterima. Kesemua tips ini adalah hasil daripada kutipan pengalaman-pengalaman mereka yang pernah melalui proses ini.

1. Melakukan Kajian dan Bacaan Terhadap Syarikat/Jawatan
Kejayaan dalam temuduga terletak kepada keupayaan calon menunjukkan sikap dan pengetahuan yang mendalam berkaitan pekerjaan yang dimohon.

Jadi sebelum menghadiri temuduga, lakukan kajian. Buka website agensi kerajaan berkenaan. Lihat apakah visi, misi, teraju dan aktiviti agensi itu. Cari halaman media sosial mereka dan lihat perkembangan agensi itu. Kesemua ini akan menampakkan betapa bersedianya calon ini dan betapa minatnya calon.

2. Berlatih Jawab Soalan Lazim
Ada soalan-soalan lazim. Soalan-soalan ini merupakan soalan yang sering ditanya oleh penemuduga. Ebook Rahsia Lulus Temuduga Kerajaan mempunyai 11 maklumat yang terperinci supaya anda senang lulus. Berbaloi mendapatkannya.

Selain itu anda boleh menghubungi rakan-rakan yang sudah mendapat kerja. Tanyakan kepada mereka apakah soalan-soalan yang ditanya di dalam temuduga.

3. Berpakaian Kemas
Pakaian menggambarkan watak seseorang. Apabila pakaian calon kemas, tidak berkedut dan bersih, ianya menunjukkan calon ini adalah calon berkualiti. Pastikan mulut dan badan tidak berbau. Bagi lelaki, pakai kemeja dan tali leher. Kasut pula mestilah hitam berkilat. Bagi wanita, pakaian kemas dan sopan. Elakkan pakaian ketat dan sendat yang menjolok mata.

4. Tiba Awal
Calon akan dinilai bukan sekadar semasa temuduga, bahkan ada calon yang dinilai sejak dari waktu mereka tiba. Calon yang tiba lewat berisiko besar untuk gagal.

5. Bercakap Lancar
Berlatih bercakap dan memberikan jawapan dengan lancar. Pada kelancaran itu ada keyakinan diri. Apabila lancar, penemuduga beranggapan calon seorang yang berani dan berupaya melakukan tugasan. Sekaligus meningkatkan peratus kejayaan calon untuk terpilih.

6. Bahasa Badan
Perhatikan gerak badan. Bahasa badan mempunyai maksud tersendiri. Elakkan postur-postur yang menampakkan keangkuhan dan kesombongan. Pastikan tangan tidak memegang bahu. Jangan goyangkan kerusi, jangan makan gula-gula getah, jangan main pen. Senang cerita, tunjukkan bahasa badan profesional.

7. Bertanya Soalan Power
Keupayaan bertanya soalan-soalan boleh beri kesan kepada kejayaan calon. Apabila calon bertanya soalan-soalan yang berpandangan jauh, ianya memberi persepsi bahawa calon ini calon berkualiti. Keupayaan bertanya soalan ini bergantung kepada sejauh mana kajian yang telah dilakukan terhadap agensi atau syarikat ini terlebih dahulu.

8. Bertenang
Calon akan diasak menerusi soalan-soalan maut. Contohnya bagaimana kalau anda ditukarkan ke pendalaman? Sebelum menjawab soalan begini, tarik nafas dan bertenang. Penemuduga bukan mahukan jawapan sangat. Mereka lebih mahu melihat reaksi dan cara jawab oleh calon.

9. Berterima Kasih
Ini adalah perkara kecil yang sering terlepas pandang. Ramai calon meninggalkan penemuduga tanpa mengucapkan terima kasih. Calon bangun dan berlalu begitu saja. Ini salah!

Sebelum meninggalkan tempat temuduga, ucapkan terima kasih kepada mereka. Ini akan membuatkan penemuduga rasa gembira.

Doa Mudah Dapat Kerja

Doa merupakan satu ikhtiar bagi mendapatkan kerja. Doa menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah s.w.t. Doa yang disarankan adalah doa yang dibaca oleh Nabi Musa sewaktu ingin berhadapan dengan Firaun. Doa ini juga dikenali sebagi doa fasih lidah.

doa fasih lidah

Selain daripada membaca doa ini, anda digalakkan untuk menunaikan solat hajat. Mohon dengan Allah s.w.t supaya proses temuduga berjalan lancar.

Seterusnya, ambil cakna etika pakaian ketika temuduga. Ini antara perkara besar yang sering diambil remeh oleh calon-calon temuduga.

Etika Pakaian Temuduga

Dalam temuduga pakaian memainkan peranan. Bagi calon lelaki, baju kemeja mestilah kemas dan digosok rapi. Pakai tali leher untuk memperlihatkan watak profesional. Kasut mesti dikilat rapi.

Bagi calon perempuan, pilih pakaian sopan. Elak pakaian ketat dan sendat. Pastikan solekan tidak terlalu menonjol atau berlebih-lebihan.

Etika Berpakaian Lelaki

Kredit gambar: resumecontoh.my

Etika Berpakaian Perempuan

Kredit gambar: resumecontoh.my

Punca-Punca Gagal Temuduga

Ini topik panas. Apakah punca kegagalan temuduga. Jangan takut untuk baca bahagian ini. Ambil ianya sebagai senarai perkara yang mesti dielakkan.

Apabila penemuduga mencari calon, ini bermakna mereka mahu jawatan kosong diisi. Anda hanya perlu memberikan sebab mengapa anda layak. Jangan beri sebab anda tidak layak! Antara punca gagal temuduga adalah:

1. Tidak bersedia - Apabila tidak bersedia, jawapan-jawapan semuanya ke laut. Tidak menampakkan kesungguhan untuk mendapatkan kerja. Majikan tolak jauh-jauh.

2. Kurang atau tiada pengalaman - Biasa berlaku bagi mereka yang menghadapi temuduga kali pertama. Akibatnya calon gagal menjawab soalan-soalan mudah yang sering ditanya.

3. Gagap dan tidak lancar - Apabila bercakap tergagap-gagap, ianya menggambarkan tidak ada keyakinan diri. Calon yang tidak ada keyakinan diri sah akan ditolak ke tepi.

4. Selekeh - Penampilan adalah elemen mustahak. Apa yang nampak pada zahir dikira menggambarkan watak seseorang itu. Apabila calon kelihatan selekeh, penemuduga mengandaikan calon seorang yang tidak teliti dan suka membuat kerja ala kadar.

5. Terlebih yakin! Over confident! - Calon yang menunjukkan sikap terlebih yakin kelihatan sombong. Sudah naik kepala biarpun belum dapat kerja.

6. Menipu - Apabila tidak tahu, katakan tidak tahu dan fikirkan jalan untuk tahu. Elakkan mereka cipta jawapan sendiri. Penemuduga akan dapat mengesan mereka yang menipu atau tidak.

Kesimpulan

Kami berharap tips yang diberikan di atas akan membantu anda untuk mendapatkan pekerjaan. Temuduga sememangnya sesuatu yang sangat mendebarkan. Apatah lagi andai ini adalah kali pertama.

Apabila berdebar, tarik nafas dalam-dalam. Usah rasa rendah diri apabila melihat calon-calon lain. Fokus pada diri anda. Tidak perlu saling membanding. Setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri.

2 Comments
  1. hani says

    MASUK ni dah lebih 20 kali saya di interview gov….tak tahu silap di mana…bukan rezeki saya lagi…semua soalan yang ditanya..tentang pengalaman kerja…tetapi..saya langsung tak ada pengalaman dalam jwtn yg dipohon…walaupun dah 10 tahun bekerja swasta.kerja sekarang memang tak de kena mengena dengan apa yg saya belajar dulu(akaun).langsung tak diberi peluang bkerja dalam bidang tersebut..so macam mana nak ada pengalaman.

  2. Radin Era Sustrawandi says

    Doakan saya interview pada hari ini .. Rabbi Yassir Wala Tu Assir .. aminnnn..

Leave A Reply

Your email address will not be published.