Hari ini saya nak kongsi barang keperluan dan sikap semasa COVID-19. Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar bersikap optimis dalam menhadapi krisis kesihatan ini. Ini adalah panduan barang keperluan dan sikap semasa COVID-19 yang wajar diamalkan dalam norma baharu dan membantu kita menghadapi perubahan kehidupan baharu ini.
Pelitup Muka
Pemakaian pelitup muka muka sangat penting. Memakai pelitup muka adalah satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuklah COVID-19.
Pelitup muka digunakan dalam situasi tertentu seperti ketika udara tercemar, berjerebu atau penularan penyakit berjangkit. Dalam situasi seperti hari ini, pelitup muka digunakan bagi menapis titisan halus yang keluar semasa bercakap, bersin atau batuk sebagai salah satu usaha mencegah dan membendung penularan virus kepada orang lain. (Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 2020). Kuman banyak terdapat pada mulut, tekak dan hidung. Oleh itu, pakailah pelitup muka dengan sempurna agar kita dapat mengelakkan rembesan cecair (air liur dan sebagainya) daripada mengenai individu lain.
“Secara prinsip, pemakaian pelitup muka perlu diutamakan bagi petugas kesihatan dan juga masyarakat umum yang bergejala. Ini adalah kerana penularan penyakit COVID-19 disebabkan oleh titisan cecair pernafasan (respiratory droplet) dalam kalangan komuniti (Berita Harian Online, 2020). Oleh itu, pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan umum terutama di tempat yang sesak dan tertutup memang digalakkan bagi mencegah dan mengawal penularan pandemik COVID-19.
Hand sanitizer
Hand sanitizer adalah sejenis cecair, gel ,buih yang berfungsi membasmi mikroorganisma. Penggunaan hand sanitizer adalah mudah, cepat dan ringkas tanpa menggunakan air dan sabun. Biasanya ia dijual di farmasi dan kedai runcit yang dalam pelbagai saiz botol. Hand sanitizer atau cecair pembasmi kuman berfungsi membunuh kuman tanpa dibilas. Penggunaan hand sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit.
Bahan utama hand sanitizer adalah alkohol. Kita sedia maklum bahawa alkohol boleh membunuh kuman dan menghentikan vitus. Sinar Harian (2020), pengguna disarankan menggunakan cecair pembasmi kuman yang mengandungi kadar alkohol 60 hingga 80 peratus untuk membasmi kuman yang melekat pada permukaan tangan. Kadar alkohol tinggi lebih 80 peratus adalah kurang sesuai kerana sifat bahan itu cepat kering selain menyebabkan kulit menjadi kering dan merekah.
Penggunaan hand sanitizer penggunaan cecair pembasmi kuman beralkohol boleh dibawa solat kerana hukumnya adalah harus dan dimaafkan (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 2020).
Penjarakan Sosial
Jarak sosial merupakan satu cara yang berkesan untuk memutuskan rantaian penyebaran COVID-19. Seringkali kita dengar Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat agar mengamalkan jarak satu meter bagi mengekang penularan COVID-19.
Berdasarkan kajian saintifik terhadap virus yang menyerang saluran pernafasan sama seperti COVID-19, satu meter adalah jarak minima yang memadai namun lebih daripada itu adalah lebih baik.
“Asasnya ialah semakin dekat kita dengan orang yang telah dijangkiti COVID-19, semakin tinggi peluang kita terkena jangkitan.
“Jarak satu meter ini disokong WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan majoriti negara menggunakan jarak ini sebagai jarak minima penjarakkan sosial seperti China, Hong Kong, Denmark, Perancis dan Malaysia.
Antara yang boleh dilakukan untuk penjarakan sosial adalah:
- Membuat pembelian atas talian.
- Membuat pembayaran atas talian Jika terpaksa berurusan di luar.
- Pastikan jarak anda 1 meter daripada individu lain.
Tidak bersentuhan atau bersalaman juga diterapkan bagi mengelakkan penularan COVID-19. Sebagaimana dalam artikel Penjarakan Sosial Bagi Mengekang Penyebaran Virus : Sudut Pandang Ahli Statistik (Saiful Bahri,2020), beliau menyatakan banyak lagi perkara yang menjadi norma baharu akibat keperluan penjarakan sosial bagi mengekang dan seterusnya memutuskan penyebaran wabak virus yang membunuh ini”.
Basuh Tangan
Membasuh tangan terutama sebelum makan atau selepas mengguna tandas bukan sesuatu yang baharu dalam masyarakat. Sebaliknya, ia menjadi satu kelaziman di Malaysia. Apa yang dimaksudkan membasuh tangan sebagai kebiasaan baharu ialah mencuci tangan lebih kerap walaupun tidak makan atau tidak menggunakan tandas. Inilah yang kebiasaan baharu yang perlu dijadikan norma baharu.
Bilakah waktu yang paling penting untuk membasuh tangan?
Berikut adalah waktu-waktu penting untuk membasuh tangan. Ini kerana aktiviti-aktiviti berikut mendedahkan tangan dengan pelbagai jenis kuman yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
- Selepas membuang air kecil dan besar
- Selepas menyentuh haiwan
- Selepas terkena najis
- Selepas batuk dan bersin
- Selepas melakukan aktiviti berisiko seperti berkebun
- Sebelum dan selepas makan
- Selepas menyentuh pelitup muka
Tahukah anda bahawa CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit) mengesyorkan kita untuk membasuh tangan sekurang-kurangnya 20 saat dengan sabun?
Membasuh tangan adalah satu langkah penting untuk mengelakkan penyebaran penyakit. Tangan kita mungkin kelihatan bersih, tetapi ini tidak bermakna ianya bebas dari mikroroganisma berbahaya. Tangan-tangan yang tercemar ini boleh memindahkan kuman ke dalam badan apabila memegang mata, hidung dan mulut. Ini kerana mata, hidung dan mulut adalah pintu masuk virus SARS-CoV-2, penyebab COVID-19. Basuh tangan dengan betul dan sempurna dengan air dan sabun.
7 Langkah Mudah Mencuci Tangan
Terdapat pelbagai kaedah yang disarankan untuk mencuci tangan seperti cuci tangan KKM ataupun berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO. Tidak kiralah yang mana satu asalkan beberapa langkah penting berikut diamalkan:
- Pertamanya, basahkan tangan menggunakan air mengalir dan kemudiannya letak sabun pencuci lalu ratakan
- Gosok tapak tangan
- Gosok pada celah jari untuk setiap jari
- Kemudan, gosok kuku menggunakan tapak tangan
- Beralih pula kepada belakang tangan dan gosok dengan teliti
- Gosok pada pergelangan tangan
- Akhir sekali, bilas tangan menggunakan air dan lap tangan anda dengan kain atau tisu yang bersih
Sumber: Dr On Call ( Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar)
Dilarang Menyentuh Muka
Mata, hidung dan mulut merupakan kawasan virus mudah memasuki tubuh. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi saranan kepada orang ramai agar tidak menyentuh mata kerana ia boleh menjadi laluan kepada penularan virus Covid-19.
Masalahnya, manusia cenderung menyentuh wajah sebanyak 16 kali dalam satu jam. Oleh itu, kita disarankan oleh untuk mengurangkan kebiasaan menyentuh wajah. Mencuci tangan menggunakan sabun selama 20 saat adalah satu tindakan pencegahan yang sangat efektif. Namun, tidak kira sebanyak mana kekerapan kita mencuci tangan, ini tidak cukup untuk mencegah penularan jangkitan ke tubuh.
Tindakan pencegahan terbaik ialah dengan berusaha untuk menghindari menyentuh wajah sebanyak mungkin. Antaranya:
- Menempatkan peringatan di rumah atau pejabat juga dapat membantu menjauhkan tangan dari wajah. Tampal memo peringatan di tempat yang mudah dilihat
- Membuat tangan selalu sibuk. Jika berada di rumah menonton TV, cubalah melipat pakaian, menyusun, atau memegang sesuatu di tangan anda.
- Menggunakan sabun atau pencuci tangan beraroma. Meningkatkan kesedaran di mana tangan berada, mengawal tangan untuk tidak menyentuh wajah.
Motivasi
“Saya telah melakukan langkah pencegahan…risiko jangkitan rendah”.
Petikan diatas adalah salah satu contoh kata-kata motivasi untuk kita sematkan dalam diri. Motivasi bermaksud rangsangan dalaman (proses psikologi) yang mengarahkan kelakuan manusia untuk mencapai matlamat (Ferrell, Business: A Changing World, 5th Edition).
“Sekiranya penularan wabak ini dapat dikawal, risiko kita dijangkiti akan jadi lebih rendah dan jumlah pesakit COVID-19 juga akan berkurang. Keadaan ini sekali gus meredakan tekanan petugas barisan hadapan yang mengendalikan krisis ini.” (Datuk Seri Hishammuddin Hussein, 2020)
Penutup
Tips yang saya kongsi diatas di ambil dari chanel telegram Dr Samhan. Selain itu, anda boleh cuba Tips Menangani Kelesuan Pandemik. Untuk ingatan bersama, kita boleh mengambil langkah awal kerana ia akan membantu kita untuk saling menjaga satu sama lain.