Ini adalah artikel yang mengumpulkan 21 petua menghilangkan sakit gigi.
So, apa yang perlu dibuat apabila sakit gigi?
Jumpa doktor.
Ya. Jumpa doktor kerana mereka lebih arif.
Namun, sebelum atau selepas bertemu doktor, petua-petua berikut mungkin dapat membantu menghilangkan sakit gigi.
Ingat, kita hanya usaha. Allah jua yang menyembuhkan.
1. Ais
Balut ais dengan tuala kecil. Tuamkan ke pipi di bahagian gigi yang sakit. Elak tuam ais direct ke kulit muka. Nanti sakit gigi hilang, pipi pula yang merah menyala.
2. Air Garam
Campurkan satu sudu kecil garam dengan secawan air panas. Kacau sehingga larut. Biarkan suhu campuran air garam suam, kemudian kumur dengan air garam tadi.
3. Limau Nipis
Buah limau nipis juga berkesan untuk mengatasi sakit gigi berlubang dan juga gusi bengkak.
Perah sebiji limau nipis, dan ambil airnya. Campurkan air limau nipis itu dengan segelas air suam. Kacau sehingga sebati. Setelah itu, kumurlah selalu.
4. Air Garam & Limau Nipis
Rebus campuran air, garam, dan limau nipis yang dibelah empat sehingga mendidih.
Biarkan rebusan tersebut suam, dan berkumurlah dengan air tersebut sekerap yang mungkin. Lakukan setiap hari sehingga sakit berkurangan.
5. Garam & Lada Hitam
Campuran garam & lada hitam baik untuk gigi yang sangat sensitif kerana kedua-dua bahan ini berfungsi sebagai antibakteria, anti-radang dan pelali.
Campur garam dan lada hitam dalam kuantiti yang sama, dan campurkan beberapa titik air untuk menjadi pes.
Letakkan bahan ini pada gigi yang sakit dan biarkan beberapa minit. Ulang setiap hari sehingga rasa sakit berkurangan.
6. Habbatussauda
Ambil serbuk jintan hitam atau minyak jintan hitam (habbatus sauda). Letakkan pada tempat gigi yang berlubang.
7. Aloe Vera
Ambil isi aloe vera dan sapu pada tempat yang sakit.
Kalau ada gigi berlubang, masukkan isi aloe vera ke dalam lubang tersebut.
8. Asam Jawa
Goreng asam jawa untuk beberapa minit.
Kemudian bakar sedikit garam kasar di dalam daun pisang.
Tumbuk kesemua bahan ini sehingga halus.
Kemudian tampalkan pada gigi yang sakit.
9. Bawang Putih & Cuka
Tumbuk seulas bawang putih sehingga lumat. Kemudian, campurkan sedikit cuka.
Letak campuran tersebut pada gigi yang berlubang.
10. Belimbing Buluh & Garam
Makan buah belimbing buluh bersama sedikit garam.
11. Cuka
Campurkan sedikit cuka dalam segelas air suam. Kemudian berkumur dengan air tersebut. Amalkan 3 kali sehari.
12. Minyak Gamat
Letakkan minyak gamat pada putik kapas dan sapukan pada bahagian yang sakit.
13. Gambir
Rendamkan sedikit gambir dalam setengah cawan air suam. Tumbuk sehingga separuh hancur.
Masukkan gambir ini ke dalam gigi yang sakit. Gambir akan mengebaskan gigi. Jangan gunakan terlalu banyak kerana ianya akan mengebaskan bibir.
14. Daun Serai
Tumbuk daun serai hingga hancur. Masukkan ke dalam air panas dan tambah sedikit garam.
Air serai ini boleh digunakan sebagai bahan kumur.
15. Tomato Muda
Ambil buah tomato muda yang dibelah dua, kemudian masukkan tomato ke bahagian yang sakit tadi.
Andaikata gigi dimakan ulat, ulat itu akan keluar dengan sendirinya.
Setelah itu berkumurlah dengan air apabila terasa sembuh. Jika petua ini sesuai Insha-Allah sakit gigi akan hilang.
16. Teh Hitam
Teh hitam yang pekat dipercayai dapat membantu menghilangkan sakit dengan cara mengurangkan bengkak.
Manakala teh pudina sesuai digunakan untuk berkumur.
Selain itu, anda juga boleh gunakan uncang teh yang suam untuk dituamkan pada gigi yang sakit untuk kelegaan sementara membuat temujanji dengan doktor.
17. Daun Jambu Batu
Ada 2 cara untuk anda menghilangkan sakit gigi dengan menggunakan daun jambu batu.
Cara pertama, kunyah daun jambu batu. Mulut akan rasa kebas, dan sakit gigi akan hilang.
Cara kedua, rebus daun jambu batu bersama sedikit garam dan dijadikan sebagai air kumuran.
18. Air Rebusan Sirih
Ambil 10 helai daun sirih tua dan rebus dengan 6 gelas air sehingga mendidih. Sejukkan dan tapis airnya.
Berkumurlah dengan air rebusan daun sirih tersebut. Jika petua ini sesuai, Insha-Allah sakit gigi akan hilang.
19. Kapur Sirih
Ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit. Boleh juga kunyah sirih yang bercampur sedikit kapur. Insha-Allah sakit gigi itu akan cepat hilang
20. Bunga Cengkih
Gigit 3 kuntum bunga cengkih pada tempat yang sakit. Kalau ada gigi berlubang, tumbuk cengkih dan isi dalam lubang gigi dan tutup dengan kapas. Insha-Allah beransur hilang.
21. Daun Sirih & Bunga Cengkih
Rebus kedua bahan ini, kemudian gunakan untuk berkumur-kumur. Ulang sehingga sakit gigi sembuh.
Bunga cengkih mengandungi anti inflamasi, anti bakteria, antioksidan dan bersifat sebagai antibiotik yang boleh menyembuhkan luka dan membunuh bakteria pada gigi berlubang.
Selamat mencuba mana-mana petua yang dikongsikan di atas. Selepas cuba, boleh komen di bawah ya. Supaya orang lain juga dapat manfaatnya.
Sumber artikel: https://www.bidadari.my/petua-hilangkan-sakit-gigi/