fbpx

7 Tips Latih Anak Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Hari ini saya nak kongsi tips latih anak berpuasa di bulan ramadhan. Ramadhan tahun ini bermula pada 3 April  2022. Sebagai ibubapa, pasti kita mencari kaedah atau pendekatan yang bersesuaian untuk melatih anak-anak berpuasa. Untuk mendidik dan melatih anak berpuasa di bulan Ramadhan pastinya mencabar. Oleh itu jangan terlalu dipaksa. Boleh mulakan separuh hari  atau berpuasa penuh mengikut tahap penerimaan dan kesediaan anak-anak. Sebaiknya dilakukan secara bertahap dan dilatih secara seronok.

Tips Melatih Anak Berpuasa: Latih Anak Ikut Kemampuan

melatih anak berpuasa-01

Anak-anak kecil dan belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, tetapi ibarat kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Usia seawal 5 hingga 7 tahun, anak-anak sudah boleh dilatih untuk berpuasa. 

Tips Melatih Anak Berpuasa:

  1. Latih ikut kemampuan anak. Jika belum baligh, boleh diberikan pendedahan awal. Pastikan anak dalam keadaan sihat tubuh badan.
  2. Anda boleh mulakan dengan menerangkan bagaimana dengan berpuasa anak-anak juga dapat merasakan bagaimana orang lain yang kurang berkemampuan menahan rasa dahaga dan lapar. 
  3. Children see, children do. Mereka melihat berdasarkan contoh untuk latihan berpuasa, sebaiknya ibubapa sebagai orang dewasa, jadilah contoh yang terbaik untuk anak anda.
  4. Jangan terlalu dipaksa. Mulakan secara bertahap (puasa separuh hari / berpuasa penuh). Boleh juga lakukan latihan berpuasa selama 6 jam, jika mampu boleh ditambah kepada 8 jam ikut kemampuan anak anda. Kemudian, boleh berpuasa penuh.
  5. Berikan pujian apabila anak anda berjaya menyelesaikan puasanya. Berikan galakan dan ucapan tahniah sekiranya berjaya berpuasa penuh 1 hari.
  6. Sediakan juadah sahur dan berbuka kegemaran anak. Berikan makanan yang sihat semasa bersahur untuk hari permulaan berpuasa.
  7. Sediakan juga ganjaran yang setimpal atau hadiah sekiranya anak berjaya berpuasa penuh atau beberapa hari yang telah dia berjaya lakukan.

Children see, Children do!

Latih secara seronok dan jangan terlalu memaksa, supaya bila tibanya bulan Ramadhan yang akan datang, anak-anak akan bersemangat berpuasa dan berbuka bersama keluarga. Anak-anak perlu perlu diberikan pendedahan awal tentang kewajipan sebagai umat Islam ialah berpuasa di bulan Ramadhan.

Syarat wajib puasa ialah BALIGH. Oleh itu, ada cara agar tidak terlalu menekan anak-anak. Lakukan ikut kemampuan mereka, tidak perlu dipaksa jika anak-anak tidak larat. Kita cuba yang terbaik ya untuk sama-sama latih anak berpuasa di bulan Ramadhan ini. Kerana sebaiknya latih anak untuk solat dahulu. Anak yang terbiasa dilatih untuk solat dan menjaga solat, insha-Allah dia akan menjaga puasanya juga.

Infografik di bawah juga diharapkkan dapat membantu ibubapa di rumah mendapatkan idea dan kaedah yang mungkin sesuai dilaksanakan dan diterapkan pada anak-anak. 

Latih Anak Berpuasa

Sumber gambar: Pusat Ekonomi Digital

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (Q. S. Al Baqarah :183)

(Sumber: Dalamislam.com, 2022)

Rukun Islam: Puasa di Bulan Ramadhan

Puasa Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan. Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam.

Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakannya oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Keislaman seorang Muslim tidak akan sempurna tanpa menjalankan puasa Ramadhan.

Tidak ada satu orang pun yang tidak diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan kecuali mereka yang diringankan puasanya oleh Allah.

Sumber: (Dalamislam.com, 2022)

Haram berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa uzur. Bagi orang yang uzur pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu:  Boleh berbuka dan wajib Qadha sahaja, iaitu orang yang musafir, orang yang sakit, orang yang mengandung dan orang yang menyusu yang bimbang terhadap keselamatan diri mereka, atau diri dan anak mereka. Boleh berbuka dan wajib Qadha serta membayar fidyah iaitu orang yang mengandung dan orang yang menyusu yang bimbang terhadap keselamatan anak mereka. Boleh berbuka dan wajib membayar fidyah sahaja iaitu orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.

Sumber: (Jabatan Mufti Negeri Terengganu, 2022)

Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai mukallaf. Seseorang dikatakan sebagai mukallaf iaitu orang yang terkena kewajiban syariat, jika memiliki dua unsur utama:

  • Telah baligh (baalighun)
  • Berakal, tidak gila (‘aaqilun)

Individu yang mencapai baligh sudah wajib menunaikan perintah Allah, kerana dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh Syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

“Sesiapa yang berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadan tanpa uzur atau sakit ia tidak akan mendapat kelebihan yang sama dengan satu hari bulan Ramadan sekalipun ia  mengqadhakannya semula sepanjang tahun” (H.R. Bukhari).

Tunjukkan Rasa Bahagia Sambut Bulan Ramadhan

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita mempertingkatkan amal ibadah. Ramadhan juga disebut Syahrun Azhim (Bulan Yang Agung). Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya.

Antara amalan di bulan ramadhan yang boleh kita lakukan ialah:

Bersahur

Sumber gambar: Pinterest

Bangun untuk bersahur; – Orang yang bangkit sahur dan meminta keampunan Allah maka akan diampuni dosa mereka.

Surah Al-Imran ayat 17

Baca Al-Quran selepas menunaikan solat; – Sebagai ibubapa kita boleh ajak, ajar dan latih anak-anak dengan menjadikan amalan membaca Al-Quran selepas menunaikann solat. Anda boleh mulakan dengan baca secara bergilir-gilir dengan anak-anak agar mereka seronok untuk baca bersama. Tunjukkan kebahagiaan kita apabila mendengar bacaan anak-anak. 

Surah Al-Fatihah

Sumber: Pinterest

Surah pendek pun boleh, untuk kita biasakan anak-anak dengan amalan membaca Al-Quran selepas solat, sebagai permulaan anak-anak anda boleh baca surah surah pendek yang mudah dihafal  seperti:

  • Surah Al Ikhlas
  • Surah Al Falaq
  • Surah An Nas
  • Surah Al Kafirun
  • Surah Al Kawtsar
  • Surah Al Asr
  • Surah An Nasr
  • Surah Al Fil
  • Surah Al Maun
  • Surah Al Inshirah

Bulan Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kehidupan kita. Sebagai umat Islam kita disarankan  untuk melipat gandakan amalan membaca Al-Quran di bulan Ramadan.

Ceritakan Kelebihan Bulan Ramadhan. Istimewanya Ramadhan, pada bulan ini adanya malam Lailatul Qadar iaitu malam yang hanya muncul pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Malam Lailatul Qadar adalah termasuk malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam kerana malam tersebut lebih baik dari 1000 bulan! Anda juga boleh latih anak untuk solat sunat tarawih secara berjemaah di rumah mahupun di surau dan masjid.

solat sunat tarawih

Sumber gambar: ecentral

Solat sunat Tarawih ditunaikan seperti solat sunat biasa, iaitu dua rakaat satu salam, kemudiannya diulangi lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Buatlah ikut kemampuan masing-masing supaya tidak menimbulkan keberatan.

Sedekah di Bulan Ramadhan

“Sesungguhnya di surga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan shalat dikala kebanyakan manusia tidur.” 

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” 

Sumber: Portal Rasmi Jabatan Mufti Kedah, 2020)

Berbuat baik kepada orang lain

Sumber: Pinterest

Kita boleh menerapkan amalan bersedekah kepada anak-anak. Kita boleh tunjukkan contoh yang baik dengan memberikan hidangan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa.  

Seharusnya bulan Ramadan ini mendidik jiwa kita dan anak-anak ke arah belas kasihan kepada golongan fakir miskin yang mana kebanyakan mereka menahan lapar kerana tidak mempunyai makanan. Dengan bersedekah, kita dapat memiliki rasa simpati terhadap golongan fakir miskin kerana merasakan lapar dan dahaga sebagaimana yang biasa dirasai oleh golongan tersebut. 

Penutup

Di antara hikmah berpuasa adalah melatih kesabaran, melahirkan rasa empati terhadap orang yang kelaparan sehingga terdorong hati kita untuk membantu orang yang kurang mampu dan fakir miskin. Disamping melatih anak kita berpuasa, jangan lupa  latih anak kita solat ya! Tidak lupa juga anak anak kecil sepatutnya dididik untuk berpuasa, mengaji, solat terawih dan bermacam lagi. Semoga kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya.

Anda juga boleh cuba:

Leave A Reply

Your email address will not be published.