Mungkin ramai di antara anda masih tidak tahu bahawa mereka yang menjalankan urusan perniagaan sepatutnya mendaftarkan perniagaan mereka. Tidak kiralah sama ada perniagaan secara konvensional ataupun secara online (atas talian).
"Dekat mana nak mendaftar”?
Anda perlu mendaftarkan perniagaan anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Namun, tidak dinafikan kadang kala urusan pejabat ni mungkin banyak memakan masa anda. Anda juga mungkin tidak sempat untuk ke Pejabat SSM.
“Jadi ada tak cara mudah nak daftar perniagaan ni?”
Jangan risau, anda sebenarnya boleh mendaftar SSM secara online. Nak tahu caranya?
Jom baca panduan ringkas yang kami kongsikan ini, khas untuk para peniaga yang mahukan urusan yang lebih mudah dan ringkas.
Perniagaan Apa yang Perlu Didaftar?
Mengikut peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956), perniagaan adalah merangkumi setiap bentuk pekerjaan, profesion, perdagangan (trade), pertukangan atau apa-apa aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan bagi maksud-maksud mendapat keuntungan, tetapi tidak meliputi mana-mana penggajian atau jawatan atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan APP 1956.
Semua jenis perniagaan yang dinyatakan di atas termasuklah perniagaan secara atas talian (online). Jadi, semuanya perlulah didaftarkan di bawah SSM.
Hanya perniagaan yang beroperasi di Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan) boleh didaftarkan di bawah APP 1956. Bentuk perniagaan yang dijalankan pula adalah seperti berikut:
1. Perniagaan Milik Tunggal - Perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik tunggal.
2. Perniagaan Perkongsian - Perniagaan yang dimiliki oleh paling kurang dua (2) orang dan tidak melebihi daripada dua puluh (20) orang rakan kongsi.
Cara Daftar SSM Secara Online (Pendaftaran Perniagaan Baharu)
Untuk makluman anda, permohonan pendaftaran perniagaan dan pembaharuan perniagaan syarikat boleh dilakukan melalui dua cara.
Pertamanya anda bolehlah ke mana-mana kaunter cawangan pejabat SSM seluruh Malaysia.
Yang kedua, anda boleh lakukan dengan lebih mudah iaitu secara online menggunakan aplikasi online di laman sesawang SSM yang dikenali sebagai ezbiz online.
Anda boleh klik link pautan yang tersedia di bawah:
Cara menggunakan Ezbiz Online:
1. Bagi membuat pendaftaran baru, sila klik butang ‘Sign Up’ dan masukkan nombor kad pengenalan serta nama penuh. Sekiranya telah mempunyai akaun, sila masukkan Username beserta Kata Laluan dan kod verifikasi lalu tekan butang ‘Sign In’.
2. Selesai membuat pendaftaran, pemohon perlu pergi ke kaunter SSM yang berdekatan dengan membawa MyKad dan Notis Pemberitahuan yang diterima daripada emel yang didaftarkan pengguna.
3. Seterusnya pengguna perlu membuat Pengaktifan ID dengan mengesahkan cap jari (biometrik) dengan tujuan keselamatan maklumat. Ini penting bagi mengesahkan pemilik sebenar untuk mengelakkan sebarang penipuan dalam daftar pemilik perniagaan. Pengaktifan hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup.
4. Selesai semua langkah di atas, pemohon boleh mula menggunakan ezbiz online bagi membuat pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara online.
Fungsi Ezbiz Online SSM
Mungkin ramai yang masih tak tahu fungsi Ezbiz Online SSM ni. Berikut kami kongsikan beberapa fungsi Ezbiz Online SSM:
Jadi maca mana pula caranya jika nak mendaftar di kaunter?
Prosedur Pendaftaran Perniagaan SSM (Pendaftaran Kaunter)
Untuk urusan pendaftaran di kaunter, anda bolehlah berkunjung ke mana-mana cawangan SSM yang terdapat di kawasan berdekatan anda.
1. Pendaftaran mesti didaftarkan dengan menggunakan nama sendiri ataupun nama ‘tred’.
-Sekiranya pengguna menggunakan nama sendiri seperti di dalam MyKad, pemohon tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Sebagai contoh, Razlan bin Sufian, Lek Ah Lek, Rajamuthu a/p Kanagam.
-Nama ‘tred’ adalah nama perniagaan yang dicadangkan serta perlu mendapatkan kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, SSM terlebih dahulu. Sebagai contohnya Restoran Citarasa, Kedai Dobi Bersih, Grand Star Catering dan lain-lain.
2. Pemohon perlu melengkapkan Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut:
-Nama Perniagaan
-Tarikh Permulaan Perniagaan
-Alamat Utama Perniagaan
-Alamat Cawangan Perniagaan (sekiranya ada)
-Maklumat Pemilik & Rakan Kongsi
-Jenis Perniagaan Yang Akan Dijalankan
-Salinan Perjanjian Perkongsian (sekiranya ada)
3. Pemilik dan rakan kongsi hendaklah menandatangani ruangan maklumat pemilik dan ruangan pengesahan oleh pemilik tunggal/rakan kongsi.
4. Pemilik / semua rakan kongsi diwajibkan hadir untuk urusan pendaftaran.
5. Dokumen yang perlu dibawa untuk dilampirkan adalah:
-Surat Kebenaran ataupun Surat Sokongan untuk jenis perniagaan Taska (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Tadika, Pusat Tuisyen, Sekolah/ Kolej Pendidikan (Kementerian/ Jabatan Pendidikan) .
-Surat kebenaran atau sokongan daripada agensi berkaitan jika diperlukan oleh Pendaftar Perniagaan.
Kadar Bayaran untuk Pendaftaran Perniagaan
Berikut adalah fi atau bayaran yang perlu dijelaskan ketika membuat pendaftaran perniagaan.
i)Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri sama seperti di MyKad : RM30.00.
ii)Perniagaan pemilikantunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred : RM60.00.
iii)Pendaftaran Cawangan : RM5.00 (setiap cawangan).
iv)Cetakan Maklumat Perniagaan : RM10.00.
Syarat Mendaftar Perniagaan
Berikut adalah syarat bagi melayakkan seseorang untuk membuat pendaftaran perniagaan:
1. Pemilik haruslah merupakan Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap.
2. Haruslah berumur 18 tahun ke atas.
3. Pemilik dan rakan kongsi sahaja dibenarkan untuk membuat permohonan.
Berikut adalah panduan yang disediakan oleh SSM untuk pendaftaran perniagaan:
Maklumat Lanjut Cara Daftar SSM
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan dan ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi butiran seperti berikut:
Telefon : 03-7721 400
Email : enquiry@ssm.com.my
Laman Sesawang: Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Facebook: Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Diharapkan dengan sedikit perkongsian pada kali ini dapat membantu ramai peniaga di luar sana untuk membuat membuat pendaftaran dan pembaharuan pendaftaran perniagaan.
Semoga urusan perniagaan anda berjalan lancar dan dipermudahkan hendaknya.
macam mana nak kemaskini email ? sebab saya sudah ikut arahan tapi tidak dapat maklumat di email ..