47 Tempat Menarik di Kelantan

Kelantan ialah sebuah negeri yang terletak di pantai timur semenanjung Malaysia.

Dikenali juga dengan Negeri Cik Siti Wan Kembang, mempunyai pelbagai seni budaya tradisional serta  mengamalkan ciri-ciri pemerintahan islam.

Jadi tidak hairanlah negeri ini mempunyai banyak masjid dan bangunan yang menerapkan seni bina islam serta kepelbagaian seni bina yang klasik dan unik dibina di sini.

Dipanggil juga dengan Negeri Serendah Sekebun Bunga yang mana lahirnya pelbagai tokoh ulama’ yang hebat serta mempunyai banyak pondok-pondok dan madrasah.

Kedudukan tempatnya juga adalah strategik, berhampiran dengan pantai bersempadan pula dengan Thailand menjadi lokasi pelancongan menarik untuk dilawati.

 Negeri ini juga mempunyai keindahan alam semulajadi dan menyimpan pelbagai spesis flora dan fauna.

1. Pasar Besar Siti Khadijah

Pasar Besar Siti Khadijah antara salah satu tarikan utama oleh pengunjung. Ia adalah sebuah kompleks perniagaan barangan tempatan seperti makanan, pakaian, kain batik dan bermacam-macam lagi.

Jika anda mengunjungi di sini, makanan seperti kuih muihnya sangat unik kerana didatangkan dengan pelbagai corak dan penuh warna warni. Pasti membuat anda terliur ! Ada juga lauk-pauk, buah-buahan dan sayuran yang segar boleh didapati.

 Di tingkat atas pula, ada gerai-gerai makan yang sedap serta pelbagai pakaian, telekung solat dan batik asli Kelantan dijual dengan harga yang berpatutan.

Insert Image

2. Pantai D'Aur


Pantai D’Aur terletak di daerah Bachok. Merupakan salah satu lokasi paling ramai dikunjungi kerana dekorasi tempatnya yang cantik.

 Kawasan ini dijaga rapi untuk mengekalkan kecantikan pantai supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat. Memiliki pasir pantai berwarna putih dan pemandangan yang sangat indah terutamanya pada waktu matahari terbenam.

Tempat ini sangat sesuai dijadikan tempat bersantai, berswafoto, menyambut hari-hari penting bersama rakan dan pasangan. Bayaran masuk hanyalah 5 ringgit untuk sebuah kereta.

3. Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan merupakan pusat peranginan yang terawal dibangunkan di Kelantan.

Jika dahulu dipanggil dengan Pantai Cinta Berahi namun ditukar oleh Menteri Besar Kelantan suatu ketika dahulu kerana kurang elok panggilannya. 

Lokasi pantai ini paling dekat dengan Bandar Kota Bharu menjadikan pelancong sering mengunjung ke sini untuk bersiar-siar bersama keluarga mahupun rakan-rakan. 

Pantai ini menarik kerana memiliki air laut yang bersih serta kawasannya yang panjang dan lebar yang dikelilingi batu.

Pantai ini juga mempunyai tembok sebagai benteng daripada hakisan air laut serta turut menjadi tempat untuk pelancong  menikmati pemandangan laut serta tiupan angin pantai yang nyaman. 

Terdapat juga pelbagai pilihan gerai makanan yang dijual di sini serta resort sebagai kemudahan penginapan kepada pelancong.

4. Pantai Geting

Pantai Geting Tumpat antara sebuah tempat peranginan yang sesuai sesuai untuk mengadakan aktiviti berkeluarga kerana keluasan tempatnya yang agak besar .

Paling meriah pada hari Jumaat kerana pelbagai gerai makanan dan pakaian dijual disekitar ini.

Kemudahan asas turut disediakan di sini seperti tandas, wakaf, tempat letak kereta dan  taman permainan untuk kanak-kanak.

Pelbagai juga aktiviti sukan untuk kanak- kanak yang ditawarkan seperti supa dupa, belon air, dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi, pantai ini tidak sesuai untuk kanak-kanak bermandi-manda kerana ombaknya begitu besar dan agak curam. Kalau hanya hendak bermain layang-layang, pasir atau permainan kanak-kanak boleh kerana pantai ini mempunyai padang berpasir yang sangat luas.

Pesta Wau Antarabangsa juga turut sesuai diadakan di sini kerana cuaca dan tiupan angin di sini agak baik. Pantai ini memang terkenal dengan acara pesta wau yang sangat meriah untuk anda pergi.

5. Pantai Sri Tujuh

Pantai Seri Tujuh yang terletak di Tumpat ini antara kawasan rekreasi paling meriah dikunjungi terutamanya pengunjung dari Kelantan.

Dinamakan dengan nama Pantai Seri Tujuh kerana memiliki tujuh teluk di kawasan sekitarnya.

Tidak hairanlah, jika hujung minggu atau setiap petang ramai orang bersiar-siar di sekitar ini kerana tempatnya agak unik yang mana ia memiliki tasik dan pantai bertembung antara satu sama lain.

Paling menarik adalah permainan sukan air seperti paddle boat dan berkayak boleh bermain di sini dengan harga rm13-14 untuk satu permainan.

Tempat ini juga sesuai dijadikan tempat untuk berkelah kerana kawasannya agak teduh yang dikelilingi pokok rhu.

6. Street Art Kota Bharu

Street Art Kota Bharu merupakan satu lokasi yang menghasilkan lukisan mural yang sangat kreatif.

Jika anda berada di bandar Kota Bharu, anda patut singgah ke sini kerana tempat ini pasti membuat anda teruja.

Kebanyakan mural yang dihasilkan di sini berunsurkan islamik. Jika diperhati, lukisan yang terdapat di sini bertemakan ‘impian’ dan ‘kebahagian’ .

Setiap lukisan yang dihasilkan mempunyai nilai ceritanya tersendiri sebagai contoh keadaan orang Palestin yang penuh penderitaan dan kesengsaraan yang pasti membuat anda tersentuh hati apabila melihat hasil mural di sini.

Antara mural yang paling menakjubkan yang dihasilkan adalah hamparan permaidani bertemakan morocco yang begitu kreatif, sangat cantik untuk anda bergambar dengan hasil mural sebegini.

7. Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi merupakan masjid Negeri yang terletak di Kota Bharu yang dibina pada tahun 1987.

Pada asalnya bangunan ini merupakan bangunan kayu kemudian diubah suai menjadi struktur bangunan yang unik dan klasik kerana pengaruh daripada Inggeris pada zaman dahulu yang mana mereka menggunakan batu marmar pada setiap binaan. 

Setiap dinding masjid pula dihiasi dengan kalimah-kalimah Allah dan ukiran ayat al-Quran.

Masjid ini boleh membuat seramai 2400 jemaah dengan keluasan 10,600 kaki dan menjadi tempat majlis ilmu sebagai pusat kemajuan ummah islamiah.

8. Muzium Negeri Kelantan

Muziun Negeri Kelantan terletak di rounbout pokok kurma yang berhadapan dengan Bazar Tuan Padang.

Pada asalnya bangunan ini dimiliki oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu. Namun telah dirasmikan pembukaanya sebagai Muzium negeri Kelantan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan pada 6 Ogos 1990.

Muzium ini menyimpan pelbagai artifak dari zaman dahulu sehingga zaman moden.

Bangunan ini memiliki dua tingkat.

Di tingkat atas mempamerkan seni budaya Kelantan seperti makyong, wayang kulit, rebana ubi dan lain-lain lagi.

Manakala di tingkat bawah pula ruang pameran untuk disewa dan pejabat am dan pejabat pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

10. Air Terjun Jelawang

Air Terjun Jelawang terletak di Dabong, Kelantan merupakan air terjun yang paling tertinggi di Malaysia yang mempunyai beberapa tingkat.

Menjadi tarikan pelancong sama ada dalam dan luar negara kerana tempatnya yang cantik serta sangat sesuai bagi mereka sukakan aktiviti pengembaraan.

Perjalanan untuk sampai ke air terjun ini mengambil masa 3 jam dalam sekitar 2km yang agak mencabar.

Air Terjun ini sememangnya menjadi pilihan bagi mereka yang meminati aktiviti pendakian dan cintakan keindahan flora dan fauna.

Di puncak pula, terdapat jambatan gantung yang anda boleh laluinya dengan menyaksikan pemandangan yang indah serta menikmati panaroma yang segar.

 Anda juga boleh bermalam di sebuah campsite yang terletak di sini jika anda mahu terokai lebih lanjut tempat ini.

11. Pasar Terapung Pulau Suri

Pasar Terapung Pulau Suri sinonim dengan Hat Yai, Floating Market, Thailand.

Ia merupakan tempat yang menawarkan pelbagai pilihan makanan khususnya makanan tradisional Kelantan seperti kuih muih, otak-otak, kerepek dan banyak lagi. 

Pasar terapung ini menjadi cukup unik  yang mana dikelilingi panorama alam semulajadi serta menjadi tarikan kepada orang ramai terutamanya pada hujung minggu.

Untuk pergi ke pasar ini, anda perlu menaiki bot terlebih dahulu di Kuala Besar kemudian baru sampai ke sini.

12. Bazar Tok Guru

Tempat ini terkenal dengan pusat membeli belah paling luas di Kelantan.

Ianya terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu dan menyediakan lebih 300 lot kedai. 

Pelbagai jenis pakaian, tudung, kain ela, kain batik dan seumpamanya yang dijual dengan yang murah.

Bazar Tok Guru ini menjadi syurga membeli belah kepada rakyat Kelantan mahupun pelancong luar kerana kepelbagaian pilihan barangan yang dijual secara runcit ataupun borong.

13. Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Zon Bebas Cukai Rantau Panjang merupakan kompleks membeli belah bebas cukai yang terletak dengan sempadan NegaraThailand.

Kompleks ini menawarkan pelbagai pilihan barang sama ada barang lelaki atau perempuan yang dijual dengan harga yang murah dan berpatutan. 

Juga menjadi salah satu daya tarikan orang ramai terutamanya wanita kerana menawarkan pelbagai barangan seperti tudung, pakaian, periuk belanga, pinggan mangkuk dan banyak lagi.


14. Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor

Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor sama juga seperti zon bebas cukai Rantau panjang dimana ia menjual pelbagai tempatan dan juga buatan Thailand.

Dibuka pada pukul 8.00 pagi dan ditutup pada pukul 5.30 dan mempunyai tempat parking yang sangat terhad.

Pelbagai gerai makanan yang dijual di sini seperti mee cambol, pulut ayam, steamboat dan sebagainya.

Jika anda mahu merasai masakan santai penduduk tempatan ala-ala Thailand disini adalah tempat untuk anda lawati.

15. Kelantan River Cruise

Kelantan River Cruise terletak di Medan Ikan Bakar Kedai Buluh bersebelahan dengan Warung Pak Mat Pulau Pisang sering menjadi perhatian pelancong untuk menerokai pemandangan indah di sekitar Sungai Kelantan.

Apa yang paling menarik,  di Kelantan MiB River Cruise, mereka  menyediakan Perkhidmatan Sewaan Floating Chalet yang terletak di perkarangan Sungai Kelantan yang mempunyai 3 bilik tidur berhawa dingin yang membolehkan para pelancong untuk berehat dengan tenang.

Di sini juga, anda boleh menyelusuri seluruh pulau yang terdapat di sini dengan melihat bagaimana penduduk di sini membaiki bot atau kapal mereka. 

Aktiviti memancing ikan di tengah-tengah sungai atau tepi sungai antara sukan air paling digemari penduduk tempatan di sini.

16. Masjid Kampung Laut

Masjid Kampung Laut merupakan masjid tertua di Nusantara yang masih lagi wujud serta menjadi bukti kedatangan islam di negara kita.

Pada asalnya masjid ini terletak di Kampung Laut, Tumpat di tepi sungai kemudian berpindah ke tempat yang lebih selamat iaitu di Nilam Puri kerana berlaku banjir pada waktu itu.

Masjid ini sangat unik dari segi pembinaanya yang diperbuat daripada kayu tanpa menggunakan sebarang paku di mana ianya hanya dipasak .

Walaubagaimanapun, bangunannya masih kekal dan sangat utuh untuk dijadikan tempat beribadah penduduk di sini.

17. Air Terjun Jeram Pasu

Air Terjun Jeram Pasu terletak di Padang Pak Amat, Pasir Putih Kelantan. Merupakan pusat rekreasi yang menyediakan pellbagai kemudahan seperti tandas awam, tempat rehat, musalla, restoran dan tempat letak kereta.

Kebiasaanya pengunjung datang ke sini untuk mendaki dan berkhemah dan berkelah kerana airnya sangat jernih dan memiliki panaroma yang sangat cantik.  

Sesuai juga untuk kanak-kanak bermandi-manda kerana mereka ada mengasingkan tempat bermain untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Tempat ini sangat sesuai untuk destinasi anda bersama keluarga.

18. Air Terjun Jeram Linang

Air Terjun Jeram Linang merupakan air terjun paling awal dimajukan di negeri Kelantan yang terletak di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang.

Merupakan air terjun yang bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan penduduk tempatan.

Memiliki banyak kemudahan asas seperti tandas awam, musalla, tempat letak kereta, wakaf, restoran, chalet.

Tidak hairanlah, jika ramai yang datang ke sini untuk berkhemah ataupun berkelah bersama juga dan juga dijadikan tempat kem jati diri dari pelbagai institusi pengajian.

19. Kolam Air Panas Tok Bok

Kolam Air Panas Tok Bok merupakan kolam air panas paling digemari penduduk tempatan terutamanya pada waktu pagi.

Ianya adalah satu tempat yang sangat menarik perlu anda lawati jika mahu mendapatkan ketenangan jiwa atau terapi untuk tubuh secara semulajadi dan percuma.

Anda boleh berendam seberapa lama boleh dan sangat baik dalam pelancaran darah sambil menikmati pemandangan bukit bukau yang hijau yang pasti menenangkan jiwa. 

Pelbagai juga kemudahan yang disediakan demi keselesaan anda selain menikmati kesegaran air panas semulajadi. 

20. Muzium Wau

Muzium Wau terletak di Pantai Seri Tujuh, Tumpat merupakan sebuah muzium sebagai pusat rujukan dan maklumat perkembangan dan seni kraftangan wau seluruh dunia.

Muzium ini mempamerkan koleksi-koleksi Wau yang didatangkan dari negara lain seperti, Kemboja, Thailand, Jepun, buku-buku rujukan serta peralatan-peralatan membuat Wau.

Juga, sebagai tempat untuk belajar ilmu berkaitan wau tradisi dan layang-layang yang wujud di Malaysia.

Tujuan utama adalah untuk memelihara khazanah dan budaya tradisi tempatan. Muzium ini juga sering menjadi tarikan pelancong asing dan menjadikan antara salah satu destinasi percutian mereka.

21. Pantai Mek Mas

Pantai Mek Mas antara salah satu lokasi yang terpencil yang jarang diketahui ramai orang.

Namun, tempatnya agak menarik kerana ia adalah sebuah pantai yang bersambung dengan sungai serta  mempunyai beberapa gunung berpasir.

Jika anda mahu feeling-feeling di padang pasir atau berada di kawasan gurun sahara, di sini adalah tempat yang sesuai untuk anda mendapatkan gambar yang cantik bersama rakan atau yang tersayang.

Tempat ini juga sesuai dijadikan tempat untuk majlis tertentu seperti wedding photoshoot, pre-wedding atau pre-konvo yang pastinya mendapatkan hasil gambar yang sangat menakjubkan. 

22. Pantai Sabak

Pantai Sabak terletak di Pengkalan Chepa tidak jauh daripada Airport Kelantan.

Di Pantai Sabak inilah lokasi serangan pertama Jepun di Tanah Melayu. Pihak Inggeris juga ada membina kubu pertahanan di sini.

Pantai ini antara pantai paling ramai dikunjungi pelancong asing untuk berjemur sambil merasai suasana panas di tepi pantai. 

Jika dilihat pantai ini merupakan pantai yang menempatkan bot-bot nelayan yang keluar masuk di kala mencari rezeki. 

Paling femes di sini adalah restoran ikan celup tepung atau dikenali sebagai Acu Tera yang mana sering dikunjungi penduduk tempatan kerana keenakan dan kesegaran makanan laut yang boleh didapatkan di sini.

23. Wakaf Che Yeh

Selain daripada pasar besar Siti Khadijah, Bazar Tok Guru, Pasar Wakaf Che Yeh juga menjadi tempat pilihan pelancong untuk membeli belah tidak kira lelaki ataupun perempuan.

Pasar ini paling ramai pada waktu malam terutama pada musim perayaan.

Pasar ini beroperasi sekitar pukul 5 petang hingga 2 pagi.

Jika anda ke sini, pasti tidak mengecewakan anda kerana mereka menawarkan harga yang sangat murah dan berpatutan pasti akan membuat anda rambang mata dengan pilihan barangan yang dijual.

Terdapat juga kedai makanan di sekitarnya dan turut menyediakan tempat parking kereta dengan bayaran hanya 3 ringgit.

 

24. Muzium Adat Istiadat

Muzium Adat Istiadat atau dikenali sebagai Istana Jahar merupakan muzium yang menempatkan pelbagai barangan antik, tradisional, senjata-senjata purba pada zaman dahulu.

Di sini juga anda boleh melihat dan belajar tentang adat istiadat diraja Kelantan seperti bertunang, perkahwinan, lenggang perut dan sebagainya.

Muzium ini juga merupakan istana tempat bersemayam Almarhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad Ke-empat.

25. Muzium Diraja Istana Batu

Muzium Diraja Istana Batu terletak di pusat bandar Kota Bharu berhadapan Kampung Kraftangan merupakan tempat kediaman Sultan Kelantan dan Kerabat Diraja pada zaman dahulu.

Muzium ini sering menjadi tarikan pelancong dan penyelidik untuk mempelajari sejarah salasilah, adat istiadat, kehidupan Kesultanan Kelantan.

Di sini juga turut mempamerkan sejarah Kesultanan Melayu Kelantan seperti gambar, pakaian rasmi dan barangan hadiah yang dimiliki Kesultanan Kelantan.

26. Pantai Tok Bali

Pantai Tok Bali merupakan pantai yang menjadi penempatan para nelayan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan di laut.

Pantai ini terkenal menjual pelbagai makanan laut yang segar dengan harga yang berpatutan.

Pantai ini juga menjadi tumpuan para pelancong serta penduduk sekitar ini untuk menikmati keindahan pantai yang agak tenang. 

Juga terkenal dengan beberapa gerai makanan laut yang sedap kerana kebanyakan ikan, sotong, udang semuanya dimasak dengan segar.

27. Gelanggang Seni

Gelanggang Seni di Kota Bharu merupakan tempat persembahan pelbagai aktiviti kebudayaan tradisional Kelantan seperti wayang kulit, silat ma’yong, persembahan muzik tradisional dan pelbagai lagi.

Tidak hairanlah ia menjadi tempat kegemaran penduduk tempatan untuk membuat persembahan atau menyaksikan pelbagai persembahan seni budaya Kelantan.

Tempat ini salah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk anda kunjungi jika anda mahu ketahui tentang keseniaan dan kebudayaan orang setempat.

Muzium ini boleh dimasuki secara percuma sahaja.

28. Muzium Islam

Muzium Islam antara salah satu tempat yang anda perlu lawati sekiranya melancong ke Kelantan.

Hal ini kerana ia memaparkan tentang sejarah islam atau asal usul islam di Kelantan. Juga pernah menjadi sebuah kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan iaitu Almarhum Tok Guru Aziz Nik Mat pada tahun 1902.

Antara tarikan yang terkenal di sini adalah replika mumia firaun, artifak-artifak islam serta sejarah tokoh-tokoh islam yang terdahulu.

29. Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra atau dikenali sebagai Menara Rehal merupakan mercu tanda bagi negeri Kelantan.

Tempat ini menjadi kawasan utama tumpuan pelancong kerana memiliki pintu gerbang yang unik berunsurkan islam dari segi pembinaanya.

Pintu gerbang ini terletak berdekatan kawasan monumen sejarah di Kota Bharu.

Jika anda melancong ke sini, tempat ini adalah wajib untuk anda lawati kerana tempatnya sangat unik untuk menangkap gambar dan jadikan ia sebagai kenangan atau sebagai tanda anda pernah melancong di Kelantan.

29. Kampung Kraftangan

Kampung Kraftangan antara kawasan paling unik dari segi rekabentuk dan pembinaan bangunan yang terdapat di sini. Sebagai contoh, bangunan dan pintunya di cat warna koko gelap dan diukir dengan bunga-bunga tempatan yang diwarnai dengan warna emas.

Terdapat juga pelbagai jenis hasil kraftangan yang didapati di sini sama ada untuk dijual atau dibuat sebagai pameran.

Hasil seni yang dibuat pada setiap barangan sangat kreatif antaranya songket, batik, ukiran kayu dan sebagainya yang pasti sesuai untuk dibawa pulang atau dijadikan sebagai kenangan. 

30. Masjid Ar-Rahman

Masjid Ar-Rahman terletak di Pulau Gajah, Pengkalan Chepa yang tidak jauh dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ini tersergam indah dengan keunikannya tersendiri.

Setiap inci daripada masjid ini menampilkan keunikan seni bina islam dan melayu sekali gus memukau mata setiap pemandang. 

Setiap ukiran daripada pembinaan masjid ini menerapkan gabungan hiasan binaan dari empat negara luar iaitu Indonesia, Maghribi, Yaman dan Turki.

Lokasi masjid ini juga sangat menarik yang dikelilingi parit dan rimbunan pokok yang mana ia turut menghasilkan udara nyaman dan sejuk kepada binaan itu.

Rata-rata pelancong yang datang ke masjid ini pasti teruja dengan keindahan seni bina masjid ini.

31. Menara Jam Tambatan D’Raja

Menara Jam Tambatan D’Raja adalah sebuah menara jam di pusat bandar Kota Bharu. Ia terletak di sebelah tambatan diraja.

Menara jam ini juga menjadi salah satu daripada mercu tanda yang baru untuk bandar ini. Ia mempunyai ketinggian 150 kaki, dan telah dibuka kepada orang awam untuk melihat pemandangan indah disekitar Sungai Kelantan dan bandar Kota Bharu.

Bayaran masuk ke menara jam ini adalah RM2 untuk warga asing dan RM1 untuk pemegang MyKad.

32. Gua Ikan

Gua ikan merupakan sebuah taman rekreasi yang menyimpan pelbagai habitat flora dan fauna yang semulajadi.

Terletak kira-kira 7 km dari pekan Dabong tanpa perlu meredah hutan. Kawasan ini sangat menarik dan sesuai dijadikan aktiviti perkelahan, mandi-manda kerana direntangi air sungai yang sangat jernih.

33. Taman Negara Kuala Koh

Taman Negara Kuala Koh terletak di Gua Musang bersempadan juga dengan negeri Pahang, Kelantan, dan Terengganu.

Dengan memiliki banyak aset semulajadi di sini khususnya kepelbagain kehidupan flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropika amat sesuai untuk dijadikan aktiviti pengembaraan sambil menikmati kelebihan alam semulajadi yang terdapat di sini.

Taman Negara Kuala Koh juga disediakan pelbagai kemudahan asas demi keselesaan pengunjung seperti tandas, surau, tempat letak kereta, chalet, restoran dan banyak lagi.

Pelbagai juga aktiviti menarik ditawarkan di sini seperti berkayak, mendaki bukit, berkhemah dan sebagainya yang pasti membuat anda seronok sepanjang berada di sini.

34. Lata Beringin

Lata Beringin juga antara salah satu air terjun yang tertinggi di Kelantan dengan ketinggian sebanyak 120 meter.

Merupakan lokasi paling nyaman untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang memiliki air terjun sangat jernih dan tenang.

Pelbagai juga kemudahan asas yang disediakan bagi mendapat keselesaan kepada pengunjung.

Jika tempat ini merupakan salah satu lokasi percutian anda, pasti membuat anda tidak kecewa kerana tempat ini benar-benar menarik dengan panaroma hutan dan sungai yang menakjubkan.

35. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail

Masjid Jubli Perak Sultan Ismail atau sinonim dengan nama  Masjid Beijing yang terletak di Rantau Panjang merupakan masjid yang mempunyai senibina Cina berunsurkan islam pertama dibina di Malaysia.

Tidak dinafikan kecantikan masjid ini sangat unik diselitkan pula dengan elemen islam seolah-olah berada di Beijing.

Pelbagai juga aktiviti keagamaan dijalankan di sini seperti ceramah, kelas mengaji, solat berjemaah bagi mengimarahkan lagi masjid ini. Masjid ini juga mampu menampung seramai 1,000 orang jemaah pada satu masa.

36. Pantai Irama Bachok

Pantai Irama adalah pantai paling terkenal di Bachok.

Dinamakan dengan Pantai Irama kerana seolah-olah bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa. 

Pantai ini sangat cantik, memiliki air laut berwarna biru serta dikelilingi pokok rhu dan kelapa sesuai dijadikan tempat untuk bersantai. 

Saban hari, pengunjung tempatan akan ke sini untuk melakukan aktiviti pantai seperti berkuda, berbasikal, banana bot dan macam-macam lagi.

Ada juga gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis pakaian, makanan dan minuman. Pilihan restoran  yang sedap-sedap juga terdapat di sini.

37. Pantai Bisikan Bayu

Pantai Bisikan Bayu merupakan pusat pelancongan yang terawal dibangunkan di Pasir Puteh.

Pelbagai kemudahan asas disediakan di sini seperti bilik persalinan, surau, tandas dan taman permainan.

Pantai ini sesuai dijadikan destinasi penginapan bersama keluarga kerana terdapat banyak chalet yang disertakan dengan kolam renang sebagai aktiviti rehlah bersama yang tersayang.

37. Muzium Perang Bank Kerapu

Muzium Perang Bank Kerapu adalah merupakan bangunan bersejarah yang terletak di sebelah hilir Kota Bharu.

Dinamakan dengan ‘Bank Kerapu’ kerana permukaan simen yang di alas menggerutu dan merupakan bangunan pertama yang diperbuat daripada simen pada zaman dahulu.

Bangunan ini menjadi Bangunan Memorial Perang dunia kedua yang menyimpan pelbagai artifak, gambar serta artikel berkaitan dengan peperangan.

Basikal yang digunakan oleh tentera Jepun semasa memasuki Kota Bharu  juga ada dipamerkan di sini.

39. Tasik Danau Tok Uban

Tasik Danau Tok Uban merupakan tempat paling menarik di daerah Pasir Mas.

Tasik ini dijadikan tempat sukan memancing kerana terdapat beberapa spesis ikan yang membiak di dalam tasik ini yang paling digemari penduduk di sini.

Terdapat juga satu masjid yang dikenali dengan Masjid Brunei tersergam indah di tepi Tasik Danau Tok Uban yang digunakan oleh pelajar tahfiz untuk mendalami ilmu agama.

Tasik ini juga sesuai dijadikan aktiviti perkelahan bersama keluarga kerana tempatnya aman dan damai dihiasi rimbunan pokok hijau di kiri dan kanan tasik ini.

40. Jeram Mengaji

Jeram Mengaji atau dulu dikenali dengan ‘Jeram Nenek’ merupakan pusat rekreasi yang dibangunkan pada tahun 2005.

 Lokasinya terletak agak jauh dari jalan utama berbanding Jeram Pasu dan Jeram Linang membuatkan lokasinya jarang diketahui orang ramai akan kewujudannya.

Pelbagai juga kemudahan yang disediakan disini seperti tempat perkhemahan, hotel bajet dan asrama yang sangat sesuai dijadikan aktiviti rehlah, perkhemahan atau kem jati diri. 

41. Hutan Lipur Bukit Bakar

Hutan Lipur Bukit Bakar yang terletak sekitar 7 km dari bandar Machang merupakan hutan yang kaya dengan keindahan alam semulajadi menyimpan pelbagai spesis flora dan fauna.

Hutan Lipur menjadi daya tarikan penduduk tempatan sebagai tempat beristirehat bersama keluarga.

Dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti taman kanak-kanak, pondok rehat, kolam mandi, jambatan gantung dan berapa kemudahan asas untuk memberi keselesaan kepada pengunjung sambil menikmati kehijauan alam sekitar. 

42. Lata Rek

Lata Rek merupakan satu pusat rekreasi yang popular di Kuala Krai dan paling ramai dikunjungi pada hari terutamanya pada hari Jumaat.

Dinamakan dengan Lata Rek kerana mempunyai kawasan air terjun yang terbentang agak luas yang turun dari batu tinggi. Nama ini diilhamkan oleh orang asli suatu ketika dahulu.

Lata Rek menjadi tumpuan pengunjung terutamanya pelajar sekolah, penuntut universiti tentera atau badan sukarelawan yang sering melakukan aktiviti perkhemahan di sini.

Air terjunnya yang sangat bersih dan agak cetek sesuai juga dijadikan aktiviti perkelahan bersama keluarga.

Namun kemudahan penginapan tidak disediakan di sini kerana bimbang berlaku banjir yang akan membawa kerosakan terhadap struktur bangunan.

Akan tetapi, kemudahan asas seperti tandas, surau, gerai makanan terdapat di sini 

43. Jambatan Guillemard

Jambatan Guillemard merupakan Jambatan Keretaapi yang terpanjang di Malaysia yang diperbuat daripada besi. 

Jambatan ini juga dibina pada tahun 1920 dan diselesikan pada Julai 1924 yang merentasi Sungai Kelantan di Kursial, Tanah Merah.

Namun, telah dibomkan oleh pihak  British bagi menghalang kemasukan tentera Jepun ke sini.

Walaubagaimanapun, dibaikpulih kembali dan dibuka 7 September 1948 yang sebelum ini digunakan untuk pelbagai kenderaan lain hanya untuk laluan keretapi sahaja.

44. Pantai Senok

Pantai Senok juga dikenali sebagai ‘Pulai Nami’ yang terletak di daerah Bachok kini sering ditarik perhatian pengunjung setempat mahupun pelancong luar sejak lokasi ini menjadi viral di Facebook.

Pemandangan di Pantai Senok ini umpama di ‘Nami Island’ yang dikelilingi pokok rhu yang disusun cantik dan lurus secara semulajadi.

Pantai ini sesuai dijadikan tempat untuk berswafoto bersama keluarga dan rakan atau tempat untuk sambutan acara tertentu seperti pre-konvo, pre-wedding dan sambutan hari jadi. 

Jadi, tidak rugi anda ke sini dan wajib pergi kalau anda mahu dapatkan hasil gambar yang cantik.

45. Tok Aman Bali Beach Resort

Tok Aman Bali Beach Resort merupakan destinasi percutian yang bertaraf 4 bintang.

Kalau dilihat di tepi jalan resort ini sangat cantik kerana senibina yang klasik serta dikelilingi tasik.

Memang tidak dinafikan sekiranya anda masuk, persekitaran dan pemandangan resort ini sangat cantik yang berkonsepkan tradisional.

Resort ini sangat sesuai untuk dijadikan tempat berhoneymoon atau bercuti bersama keluarga kerana tempat ini cukup memberi ketenangan kepada jiwa.

Pelbagai juga pakej yang ditawarkan di sini dengan harga yang berpatutan serta memberi keselesaan dan keseronokan kepada anda sepanjang bercuti.

46. Tasik Pergau Sanctuary Resort

Tasik Pergau adalah sebuah destinasi menjanjikan satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dengan keindahan alam semulajadi yang tersendiri.

Tasik ini dikelilingi hutan yang menghijau dan juga katakan tasik lebih tua daripada tasik Amazon, Brazil.

Paling menarik, pada waktu malam suhu di tasik ini mencecah 18 celsius seperti suhu di Cameron Highlands.

Dengan hanya RM70, termasuk kos menaiki bot, setiap pengunjung dapat bermalam di chalet terapung yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) di tasik tersebut. 

Malah pelbagai juga kemudahan disediakan seperti surau, khemah, hostel, dewan makan dan bilik mandi.

47. Taman Air Splash

Taman Air Splash adalah antara taman air yang sesuai untuk beriadah bersama keluarga pada hujung minggu ataupun waktu cuti sekolah. 

Taman ini terletak di Taman Indera Petra Kota Bharu (bersebelahan Kota Darul Naim). 

Paling penting, Taman Air Splash ini dijaga dengan rapi dimana tempat ini mementingkan soal kebersihan, keselamatan dan keselesaan kepada setiap pengunjung. 

Jadi tidak rugi kalau anda merancang untuk bercuti di sini kerana ia merupakan satu destinasi yang santai dan sesuai untuk anda dan seisi keluarga untuk beriadah.

Ia juga menawarkan kos yang sangat rendah dan dijamin puas hati.

4.6/5 - (10 votes)
Comments (0)
Add Comment