Hari ini saya nak kongsi tempat menarik di Kelantan, iaitu Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah, Sabak. Masjid Ar-Rahman mula dibina pada awal 2016 untuk menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah, selepas melihat keadaan masjid lama Pulau Gajah yang semakin sempit. Masjid Ar Rahman Kelantan terletak di kawasan Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa. Anda akan melalui kawasan kampung untuk ke lokasi masjid. Ada papan tanda arah untuk ke masjid. Anda juga boleh ikut panduan arah menggunakan Google Maps atau waze, Insha Allah anda akan selamat tiba ke Masjid Ar-Rahman ini. Keindahan alam dan keunikan seni binanya pasti berbaloi dengan perjalanan anda. Jika sudah singgah, anda boleh solat di sini. Cukup mendamaikan suasananya.
Gerbang Besar Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah
Perasaan apabila melangkah masuk Masjid Ar-Rahman cukup mengujakan apabila setiap langkah disambut pemandangan gerbang besar yang dibina tinggi menggunakan kayu cengal. Dengan pemandangan di belakangnya yang menenangkan jiwa, langit biru dan dikelilingi suasana yang mendamaikan.
Design Unik Menghadap Pemandangan Alam Yang Indah Dan Tenang
Subhanallah wabihamdihi Maha suci Allah dan segala pujian hanya untuk-Nya.
Dari pemandangan yang dinikmati, kita dapat lihat indahnya alam ciptaan Allah ini. Lebih unik, dari pandangan atas, masjid ini seolah-olah berada di atas sebuah pulau kecil yang dikelilingi sungai malah kedudukannya yang agak terpencil, tidak ramai mengetahui kewujudan masjid itu.
Subhanallahi Wabihamdihi Subhanallahil ‘Adziim
Maksud: Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.
“Dari setiap kalimat itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah Ta’ala sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu.”(HR. Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat)
Pada mulanya, kawasan ini, hanya hutan bakau sebelum ditambak sehingga terbentuk seperti sebuah pulau kecil.
Ada juga wakaf dibina di tepi sungai buatan.
Pengumpulan air hujan untuk kegunaan air pancut di sekeliling masjid juga turut menyumbang kepada elemen menyejukkan masjid ini.
(Afiq Halid, 2019)
Sejak akhir-akhir ini, banyak perkongsian di laman sosial mengenai keunikan dan keistimewaan masjid ini menjadikannya semakin dikenali dan dilawati oleh pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara. Bagi anda yang berkunjung ke Kelantan, bolehlah singgah ke MasJid Ar-Rahman ini.
Kehalusan Seni Bina Melayu
\
Tersergam indah dengan keunikan dan kehalusan seni bina Melayu, sekali gus memukau setiap mata yang memandang.
“Ia memerlukan penelitian yang sangat tinggi semasa mengukir bagi memastikan setiap ayat suci al-Quran itu adalah tepat, dan kebiasaanya ia akan disemak oleh individu yang mahir terlebih dahulu sebelum diletakkan di dinding bagi menjaga kesucian ayat al-Quran tersebut”.(Salleh, Tukang Ukir)
Seni binanya memukau setiap mata yang memandang sekali gus menjadi tarikan baharu kepada sektor pelancongan di Kota Bharu (Sinar Harian, 2019).
Rupa bentuk bangunannya adalah berinspirasikan Masjid Kampung Laut yang merupakan rujukan para arkitek tentang senibina masjid Melayu.
(Mdrazali, 2018)
“Pintu masuk masjid yang diperbuat daripada kayu dan penuh dengan ukiran seni khat. Halus sentuhan khat yang diukir, menjadikan saya menghabiskan masa agak lama meneliti setiap tulisan” Afiq Halid, 2019.
Ada juga pintu kaca yang diselang seli dengan pintu kayu. Terdapat ukiran nama Allah dan Muhammad di atasnya. Masjid ini tidak mempunyai sebarang penghawa dingin. Walau bagaimanapun rasa sangat nyaman dan sejuk. Setiap pintu dibuka agar laluan angin mudah dan menjadikan ruang masjid ini sejuk.
Tanpa menggunakan penghawa dingin, masjid ini agak sejuk di bahagian dalam kerana binaan tingkap dari atas ke bawah di sekeliling bangunan ini secara tidak langsung membuka laluan angin.
Cermin tandas pun berukir pada kayu.
Cantiknya tempat wuduk dia.
Kelihatan ringkas dan unik untuk binaan tempat berwuduk. Mereka menyediakan kerusi kayu untuk memudahkan orang tua untuk mengambil wuduk.
Paling menarik adalah kepala paip yang digunakan. Rasa sangat nostalgia.
Dalaman Masjid
Hilang kata-kata waktu jejak kaki masuk dalam masjid. Luas dan lapang. Terpegun melihat beberapa batang kayu yang digunakan sebagai tiang masjid. Jika tidak silap ada 5 batang kayu cengal yang digunakan sebagai tiang dalam masjid mewakili 5 rukun Islam.
This beautiful masjid was built by woods, you can see many of the structure are woods. You should visit this masjid if you are in Kota Bharu.
(Tripadvisor, 2021)
“Sebagai contoh, tiang tempat imam solat menggunakan batang pokok kurma yang diambil dari negara di Timur Tengah, dua pintu masuk dari Yaman, lakaran al-Quran di tengah siling dibawa dari Turki dan geduk di pekarangan masjid diperoleh dari Indonesia. Ukiran seni khat di sekeliling masjid menggunakan kepakaran pekerja Indonesia,” Hasan Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman.
(Harian Metro, 2019)
Penggunaan kayu bukan sahaja pada kerangkanya tetapi juga pada dinding, ensel pintu, penyangkut baju di tandas, ukiran ayat-ayat suci al Quran dan kaligrafi Islam. Senibina Islam Nusantara jelas terpancar di segenap inci masjid ini.
Kawasan Sekitar Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah
Di satu sudut Masjid Ar Rahman ini terdapat sebuah beduk dan keratong yang digunakan pada zaman dahulu untuk menandakan masuk waktu solat sebelum azan.
“Kami juga mengumpul hujan untuk kegunaan air pancut di sekeliling masjid yang turut menyumbang kepada elemen menyejukkan masjid ini. Air hujan ini juga turut digunakan untuk menyiram pokok di musim kemarau.”
Masjid ini dikelilingi sungai kawasan paya bakau. Menjadikan masjid ini ibarat berada dalam kawasan pulau tersendiri. Banyak pokok-pokok membuatkan kita rasa tenang berada di sana.
Anda boleh lepak sekejap sini. Nikmati keindahan alam semula jadi di sini. Tenang rasanya, jauh dari kiruk pikuk kota dan bandar. Sesekali rehatkan mata melihat alam dan tumbuhan hijau, pasti mendamaikan hati. Walaupun sekejap, berbaloi untuk anda singgah sebentar ke Kampung Pulau Gajah.
Penutup
Masjid ini menawarkan tempat parking yang cukup luas, tempat rekreasi dan kantin untuk keselesaan pengunjung dan jamaah. Ia dibina 2016 dengan kos RM6 juta dan memakan masa dua tahun untuk disiapkan. Kapasiti masjid ini mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah ini diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Masjid Ar-Rahman ini juga dikenali sebagai Masjid Kayu Pulau Gajah, kerana letaknya di sebuah perkampungan nelayan di Pulau Gajah, Sabak.