15 aktiviti cuti sekolah untuk dicuba. Kesemua eksperimen ini boleh dilakukan dengan selamat. Malah berupaya meningkatkan pengetahuan dan minat anak-anak terhadap sains. Jadi apa tunggu lagi, mari cuba buat satu persatu. Saya senaraikan terus di sini andai kata anda ingin lompat ke mana-mana eksperimen secara terus.
1. Nasi Menari

kredit gambar: greenkidcrafts.com/dancing-rice-experiment/
Apabila cuka dimasukkan ke dalam gelas berisi air dan nasi, nasi itu kelihatan menari-nari. Proses ini terjadi kerana reaksi antara baking soda dan cuka.
Bahan-bahan:
a. Cuka
b. Baking soda
c. Beras
d. Gelas
e. Air
f. Pewarna makanan
Cara:
1. Isikan gelas dengan 3/4 air
2. Masukkan satu titik pewarna makanan
3. Masukkan 1/4 beras yang belum di masak
4. Masukkan 1-2 suda cuka (sekiranya selepas dimasukkan tidak ada reaksi, tambah lagi cuka)
2. Warna Bergerak

kredit gambar: steampoweredfamily.com
Dalam eksperimen ini, air berwarna dari satu bekas akan mendaki kertas tisu ke bekas yang lain. Hasilnya warna akan bercampur. Apa yang menarik adalah melihat pergerakan air pada kertas tisu itu. Ianya memberikan kesan seolah-olah air berwarna sedang mendaki tisu putih.
Bahan-Bahan:
a. Kertas tisu tebal (berkualiti)
b. 3-4 gelas lutsinar
c. Air
d. Pewarna makanan
Cara:
1. Isi suku gelas dengan air.
2. Masukkan pewarna beberapa titik (gunakan warna berbeza bagi setiap gelas)
3. Lipat tisu seperti dalam gambar.
4. Masukkan tisu menghubungkan dua gelas.
5. Tunggu dan lihat kesannya.
3. Roda Impian Berwarna

kredit gambar:craftymorning.com
Anak-anak akan suka eksperimen ini. Selain dari hasilnya yang cantik, mereka tidak sabar-sabar mahu makan gula-gula yang digunakan :P.
Bahan-bahan:
a. Pinggan
b. Air
c. Jelly beans / M&M (yang sewaktu dengannya)
Cara:
1. Susun jelly beans di sekeliling pinggan. Boleh ajar anak mengira.
2. Tuangkan air perlahan-lahan dari tengah.
3. Lihat warna yang luntur dari gula-gula membentuk corak menarik.
4. Belon Ajaib
Dalam eksperimen ini belon akan mengembang apabila botol diletakkan dalam bekas air panas. Kemudian belon itu akan mengecut apabila botol diletakkan di dalam air sejuk.
Bahan-bahan:
a. Belon
b. Botol
c. Dua bekas
d. Air panas
f. Air sejuk
Cara:
1. Letakkan belon pada hujung botol.
2. Masukkan air panas ke dalam bekas pertama.
3. Masukkan air sejuk ke dalam bekas kedua.
4. Ambil botol tadi dan letakkan dalam bekas pertama. Belon akan mengembang.
5. Kemudian letakkan botol tadi dalam bekas kedua. Lihat belon tadi mengecut.
5. Tornado dalam Jag

kredit gambar: elliemoon.typepad.com/
Hanya gunakan sabun, anda akan dapat menghasilkankesan tornado. Anak-anak akan terkejut dan teruja melihat fenomena ini.
Bahan-bahan:
a. Jag
b. Air
c. Sedikit sabun pencuci pinggan
Cara:
1. Isikan air ke dalam jag.
2. Masukkan beberapa titik sabun pembasuh pinggan.
3. Tutup jag.
4. Goncangkan.
6. Tenggelam atau Timbul

kredit gambar: handsonaswegrow.com
Aktiviti ini sangat sesuai untuk kanak-kanak yang masih kecil. Aktiviti akan bantu menerangkan konsep keapungan. Pelbagaikan jenis dan saiz bahan yang digunakan.
Bahan-bahan:
a. Duit syiling
b. Mainan
c. Pilih kepelbagaian saiz dan jenis
Cara:
1. Masukkan satu persatu.
2. Cuba terangkan kepada anak kenapa ada yang terapung, ada yang tenggelam.
7. Plastik Kebal

Tajamkan pensel. Sediakan plastik berisi air. Tanya anak-anak anda apakah yang bakal terjadi. Kemudian tusuk pensel itu. Lihat apa reaksi mereka. Plastik tidak bocor!
Bahan-bahan:
a. Plastik berisi air
b. 2-3 batang pensel tajam
Cara:
1. Isikan plastik penuh dengan air.
2. Tusuk pensel pertama.
3. Kemudian tusuk dengan pensel seterusnya.
8. Belon Ditiup Coca-Cola

Eksperimen ini mirip eksperimen no 4. Cuma kali ini bukan udara panas atau udara sejuk. Anda akan melihat kesan gas daripada air berkarbonat.
Bahan-bahan:
a. Satu botol Pepsi, Coca-Cola, Seven Up
b. Tiga belon
Cara:
1. Buka penutup botol air berkarbonat.
2. Segera tutup dengan belon.
3. Lihat kadar pengembangan belon dan bandingkan.
9. Reaksi Mentos
Eksperimen ini sangat bagus untuk mengajar anak-anak bahaya air berkarbonat. Tindak balas daripada mentos dan air coca-cola akan memeranjatkan anak anda. Mereka akan fikir dua kali untuk minum air ini lain kali.
Bahan-bahan:
a. 4-5 biji gula-gula mentos
b. Sebotol Coca-Cola
Cara:
1. Pastikan kawasan sekeliling lapang.
2. Buka penutup botol Coca-Cola.
3. Masukkan 4-5 biji gula-gula mentos dan lari secepat yang mungkin.
10. Lukisan Tiupan

Aktiviti ini seronok dilakukan beramai-ramai. Lagi ramai, lagi meriah. Hasilnya abstrak. Anak-anak sangat suka. Terutama dalam sesi tiup meniup.
Bahan-bahan:
a. Warna air (water colour) pelbagai warna
b. Straw
c. Sedikit air
d. Kertas lukisan tebal
Cara:
1. Titiskan warna-warna ke atas kertas lukisan.
2. Tiup dengan straw.
11. Kereta Bernombor

Aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak lelaki. Namun boleh juga untuk kanak-kanak perempuan. Dalam permainan ini, anda boleh mengajarkan anak-anak konsep nombor dan cara menyusun. Mereka belajar secara tidak lansung.
Bahan-bahan:
a. Kereta mainan
b. Kertas yang ditulis nombor
c. Kotak
Cara:
1. Lukiskan tempat parkir kereta.
2. Lekatkan nombor berbeza pada setiap kereta.
3. Tunjukkan caranya untuk kali pertama.
12. Menara Nombor

Aktiviti ini seronok untuk mengajarkan anak permainan nombor. Mereka belajar sambil bermain. Hanya gunakan cawan polystyrene. Makin tinggi menara, makin seronok. Variasi kepada aktiviti ini adalah menukar nombor kepada abjad ABC.
Bahan-bahan:
a. Cawan polystyrene (jumlah bergantung kepada anda)
b. Marker
Cara:
1. Tuliskan nombor pada cawan polystyrene.
2. Ajarkan anak cara susunan.
3. Biarkan mereka cuba.
13. Titian Berwarna

Dalam permainan ini, anda akan meransang perkembangan fungsi motor anak-anak. Mereka perlu berhati-hati berjalan di atas titian tali. Nampak mudah namun mencabar bagi anak-anak kecil.
Bahan-bahan:
a. 3-4 jenis tali berbeza warna
b. Kertas warna
c. Kotak yang dipotong empat segi
Cara:
1. Padankan setiap kotak itu dengan kertas warna yang sesuai.
2. Kotak ini akan menjadi tapak permulaan dan pengakhiran.
3. Letakkan kotak di dua hujung.
4. Sambungkan kotak itu dengan tali yang sama warna.
5. Anak-anak akan meniti di atas tali itu.
14. Anak Panah Terbalik
Eksperimen ini menunjukkan fenomena pembiasan cahaya. Dalam video ini anak panah digunakan sebagai contoh. Anda boleh mengubah lukisan ikut suka. Asalkan berjaya.
Bahan-bahan:
a. Satu kertas kecil
b. Marker
c. Gelas
d. Air
Cara:
1. Lukiskan corak atau anak panah pada kertas kecil.
2. Letakkan gelas di hadapan lukisan itu.
3. Perlahan-lahan tuangkan air ke dalam gelas dan lihat perubahannya.
15. Lada Putih Penakut
Satu eksperimen yang seronok untuk dicuba. Kesannya akan menyebabkan anak-anak teruja. Kelihatan seperti serbuk lada putih melarikan diri dari sabun. Proses ini terjadi kerana daya tegangan permukaan.
Bahan-bahan:
a. Pinggan
b. Sabun basuh tangan (cecair)
c. Serbuk lada putih
d. Air
Cara:
1. Tuangkan air ke dalam pinggan.
2. Taburkan serbuk lada putih.
3. Minta anak gunakan satu jari dan sentuh permukaan. Lihat apa terjadi.
4. Kemudian titiskan 1-2 titik sabun pada jari itu.
5. Ulang langkah ketiga (3) dan lihat apa terjadi.
Kami akan tambah eksperimen ini dari masa ke masa. Andai kata ada cadangan boleh kongsikan. Harapan kami semoga dengan perkongsian ini, anda akan lebih seronok untuk melakukan aktiviti di musim cuti sekolah.
Eksperimen mana yang anda mahu cuba buat dahulu?