Sudah menjadi kebiasaan pelancong untuk mencari tempat-tempat makan yang sedap. Pulau Pinang adalah syurga makanan. Pelbagai jenis makanan yang boleh didapati disana. Saya nak kongsikan 21 Tempat Makan Menarik di Penang.
Tempat makan ini pelbagai. Ada sajian ikan bakar. Ada makanan laut. Ada pencuci mulut. Dan semestinya ada makanan rempah ratus, nasi kandaq!
Sekarang ayuh kita terokai 21 tempat makan menarik di Pulau Pinang yang pasti tidak membuatkan anda menyesal dan ingin datang kembali.
1. NASI PADANG INTERNATIONAL HOTEL
Bagi sesiapa yang merupakan peminat nasi padang, memang kena berkunjung ke Nasi Padang International Hotel yang terletak di jalan Transfer Road.
Dibuka pada pukul 10 pagi dan kalau boleh datang awal sebab kalau datang lambat nanti habis lauk-pauk yang disajikan!
Yang paling menjadi kegemaran pelanggan di sini adalah ayam goreng bercili dan sambal hijau yang dapat memikat selera siapa sahaja yang merasakannya. Harga pun berpatutan tau. Rugilah kalau datang ke Penang jika tidak mencubanya..
2. HAMEEDIYAH BERIYANI
Kalau datang Pulau Pinang, selain nasi kandar, tak sah juga kalau tak makan nasi beriyani kan?
Salah satu kedai makan yang anda boleh kunjungi adalah Restoran Hameediyah. Restoran ini adalah antara restoran yang tertua beroperasi di Pulau Pinang dan menyajikan nasi beriyani yang terbaik!
Memang banyak cawangan Hameediyah ini tetapi, kalau inginkan rasa yang asli, anda kena juga berkunjung ke Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell Pulau Pinang.
3. TEOCHEW CHENDUL (PENANG ROAD)
Panas-panas ni memang sedap kalau makan cendol kan? Basahkan tekak dengan cendol memang sangat melegakan.
Kalau nak rasa cendol terbaik di Pulau Pinang nin anda boleh berkunjung ke TeoChew Chendul yang terletak di Lebuh Keng Kwee.
Bila dah sampai sini jangan terkejut pula sebab keadaan beratur tu memang macam tu. Nak beli makanan pun beratur, masa tengah makan pun kena beratur sebab tak cukup tempat. Memang inilah penangan cendol terbaik ini dan servis pun laju saja.
4. RESTORAN SUP HAMEED
Bila sebut sup ni ramai yang anggap sup adalah makanan yang biasa dan boleh didapati di mana-mana sahaja. Tetapi, berlainan dengan Sup Hameed yang terletak di Jalan Penang ini. Kepekatan sup herba ini dapat menarik minat sesiapa sahaja yang merasanya walaupun pertama kali dicuba.
Bukan sahaja ada sup daging tapi pelbagai jenis isi sup boleh dipilih dan yang menariknya, sup ini boleh dicicah bersama roti. Jadi, kalau waktu petang atau malam tak tahu nak makan apa tu, bolehlah singgah untuk merasa nikmatnya ‘The Best Soup In Town’ ini.
Sup hameed ini dibuka sampai malam. Jadi andai tak mahu berpanas nak makan pada waktu tengahari, bolehlah datang pada waktu malam. Harga pun sangat berpatutan.
5. ROTI BAKAR TRANSFER ROAD
Lokasi menarik untuk sarapan pagi adalah dengan berkunjung ke Roti Bakar Transfer Road. Berdekatan sahaja dengan Nasi Padang International Hotel ini.
Gerai roti bakar dan roti canai ini menjadi tenpat kegemaran bagi setiap pengunjung dari serata dunia. Antara menu yang boleh dicuba adalah roti bakar telur goyang dan sudah semestinya roti canai ayam yang memang terbukti sedap!
Mudah saja untuk jumpa gerai ini, kalau tengok dekat Transfer Road tu ada gerai yang ramai orang, itulah tempatnya. Tengok sajalah pada telur separuh masaknya itu , sangat menyelerakan.
6. NASI KANDAR DEEN MAJU
Ya, sudah semestinya apabila berkunjung ke Pulau Pinang, tak sah kalau tak makan nasi kandar. Sudah menjadi satu fenomena sejak zaman berzaman!
Nasi Kandar Deen Maju ini sebenarnya telah lama beroperasi. Kalau datang sini saja, memang tak sah kalau kena beratur dan kena bersabarlah ya.
Terletak di Jalan Gudwara, Georgetown, kedai ini beroperasi dari jam 2.30 petang hingga ke 11 malam. Sesiapa yang nak beratur di hadapan tu, kena datang awal sikit lah kan dan jangan lupa untuk cuba ayam goreng yang menjadi buah mulut orang ramai.
7. SANI CHAR KOEY TEOW
Tidak jauh dari tapak Pesta Pulau Pinang, Sani Char Koey Teow memang menjadi kegemaran ramai bagi setiap pengunjung. Lokasi yang lebih tepat adalah di kawasan Tokong Ular, bila anda sebut saja Sani Char Koey Teow, semua orang tahu kerana ‘brand’ yang cukup terkenal. Harga pun berpatutan dengan rasa yang sedap. Anda kena cuba!
8. CARGAS CAFE, BAYAN LEPAS
Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kedai makan ini melainkan bagi sesiapa yang bekerja dan tinggal di Bayan Lepas.
Kalau anda rasa nak makan gulai atau kari yang lain dari yang lain, boleh datang ke sini. Apa yang menjadi perhatian adalah kesegaran ikan yang digunakan, pasti anda tak cari lain!
Selain itu, ayam goreng dan sambal sotong juga menjadi permintaan ramai kerana rasanya yang lazat. Apa lagi? Jangan lupa untuk datang menjamah di sini ya!
9. MEE SOTONG HAMEED PATA
Berada di lokasi strategik iaitu di Padang Kota Lama, kedai Mee Sotong Hameed Pata ini menjadi buah mulut orang ramai. Memang terbukti rasanya yang sedap. Ditambah pula sambal sotong yang pedas kemanisan itu sekaligus dapat mencairkan hati sesiapa sahaja yang mencuba!
Kalau nak sedap lagi, pesan juga Coconut Shake. Dua gabungan ini dapat menambahkan lagi selera anda dan mana tahu, tambah sampai pinggan kedua pula.
Baca juga:
20 Tempat Menarik di Pulai Pinang. Yang kesembilan ini saya tak pernah tahu pun kewujudannya lagi.
10. RESTORAN NASI KANDA MAKBUL
Restoran Nasi Kandar Makbul ni buka 24 jam terletak di Bayan Baru, Pulau Pinang. Nasi Beriyani dia memang sedap. Kena pulak dengan ayam goreng bawang dan sambal sotong. Perghhh..memang sedap.
Lagi satu, sup kambing dia pun sedap makan dengan roti ataupun nasi. Menu di situ memang banyak. Menu goreng-goreng, roti nan, pesembor dan macam-macam lagi.
Restoran ni sangat selesa dan mementingkan kebersihan tidak seperti sesetengah restoran nasi kandar yang lain. Dari tempat penyediaan makanan hingga la ke bilik air semuanya bersih. Di sini anda boleh memilih untuk makan di ruang yang berhawa dingin ataupun di ruang terbuka.
Cuma satu saja masalahnya, parking!
Parking kenderaan agak susah sikit. Kalau bernasib baik dapatlah parking yang berdekatan.
11. SATAY AH’ BASRI
Kalau di Selangor ini famous dengan Satay Kajang @ Satay Haji Samuri. Di Penang, ada Satay Ah' Basri!
Restoran Satay Ah’ Basri ini letaknya di Bayan Lepas. Dekat-dekat dengan Restoran Makbul tadi. Selang 2, 3 buah kedai. Berhampiran kedai Avon.
Satay Ah’Basri ni dia punya konsep restoran macam fastfood, kita kena order dekat kaunter, kemudian pilih menu atau satay apa yang kita nak makan, kemudian total semua dan bayar. Nanti pekerja restoran akan hantar ke meja kita.
Di sini ada macam-macam jenis satay. Yang paling saya suka calamari @ sotong dengan satay kambing. Satay kambing dan lembu memang lembut. Daging tak liat. Selain calamari ada juga satay udang, rusa, itik, tuna, arnab dan burung unta.
Andai perut lapaq nasi, di sini ada set satay dan nasi sekali. Restoran Satay Ah’Basri lani ada beberapa cawangan di Sungai Petani dan Kangar.
12. PADANG BROWN
Padang Brown ni terletak dekat Jalan Dato Keramat, Penang. Orang tempatan di sini ada yang panggil Padang Broom. Di sini anda nak beriadah boleh, nak bersantai pun boleh. Padang Brown ni ada medan selera. Di sini ada banyak kedai makan yang menjual macam-macam jenis makanan. Food court di Padang Brown ni memang sudah lama wujud sejak tahun 1960 dan bertahan hingga ke hari ni.
Antara kedai yang famous kt Padang Brown ni ialah Chelor-chelor Yasmin. Chelor-chelor ni macam steamboat. Harga steamboat dikira mengikut berapa batang lidi yang kita makan. Ada yang harga RM5, RM4, RM3, RM2, dan RM1. Tiap-tiap batang lidi ini diwarnakan mengikut kategori harga masing-masing. Chelor-chelor ni makan bersama kuah kacang yang masam-masam dan manis.
Gerai makan disini terbahagi kepada 2. Sebahagian milik orang Cina yang beroperasi dari pukul 1 p.m – 6 p.m dan sebahagian gerai makan milik orang Melayu yang dibuka pada pukul 4 p.m sehingga larut malam.
Di Padang Brown ini ada gerai Sup Bismi. Sup di gerai ni ada macam-macam pilihan seperti sup ekor, perut, urat, ayam, lembu dan kambing. Supnya dihidangkan bersama roti benggali yang lembut dan di makan masa panas-panas. Memang sedap!
Selain itu, ada banyak gerai dengan pelbagai pilihan makanan yang sedap seperti pasembor, ABC, coconut shake, western food, mee goreng, Tom Yam dan macam-macam lagi.. Sambil-sambil makan, anda juga boleh berkunjung ke pasar karat @ rokwok petang yang terletak bersebelahan dengan tempat ni.
13. HUTTON LANE ROTI BAKAR
Roti bakar Hutton Lane ni terletak di Jalan Hatin, Georgetown. Menu special di sini tentulah roti bakar telur goyang. Warisan turun-temurun yang dibakar menggunakan arang. Mana ada orang bakar roti dengan arang lagi zaman lani!
Selain makan roti bakar dengan telur separuh masak, anda juga boleh makan dengan kuah kari. Dekat sini juga ada nasi dalca special. Boleh nikmati untuk sarapan bersama yang tersayang. Selebriti dan ahli politik ramai juga yang pi makan kat sini dan harga makanan sangat berpatutan dan murah.
14. ASTAKA TAMAN TUN SARDON
Tempat makan yang wajib anda cuba terutama sekali untuk sarapan pagi ialah Astaka Taman Tun Sardon yang terletak di Hilir Pemancar, Gelugor, Pulau Penang.
Waktu operasi medan selera di sini bermula pada pukul 7 pagi – 9 malam dari hari Isnin – Ahad. Waktu pagi dekat sini memang meriah dan menu sarapan yang anda patut cuba ialah seperti Peknga Kari Ikan. Peknga ni macam lempeng juga. Dalamnya ada kelapa parut @ nyoq dibancuh ngan tepung gandum. Selalunya orang akan cicah peknga ini bersama kari ikan atau ayam.
Kalau makan panas-panas dengan kopi O memang syiok. Rasa macam balik kampung. Selain dari peknga anda jangan lupa pekena apom. Kalau orang Kedah dia panggil apom ini sebagai apom lenggang. Cumanya beza di Pulau Pinang ni apom ni di makan dengan kuah dhal atau chutney kelapa. Apom lenggang ni bahagian tepinya nipis dan rangup manakala bahagian tengah sedikit tebal dan lembut.
Kalau anda penggemar sup anda boleh mencuba sup di Gerai Sri Buana. Orang akan beratur panjang untuk dapatkan sup dari gerai ni. Di sini ada Kueteow Sup, Mee Sup dan Bihun Sup. Di Astaka Taman Tun Sardon ni juga terkenal dengan kuih Serabai dan Nasi Lemuni yang jarang-jarang orang jumpa. Makanan di sini memang banyak dan sedap-sedap belaka sampai tak tau nak makan apa. Yang penting harga berpatutan.
15. DEEN NASI KANDAR, JELUTONG
Untuk pengetahuan anda semua, ada dua kedai nasi kandar 'Deen' di belah Penang ni. Satu kedai nama dia 'Deen' di Jelutong. Dan satu lagi 'Deen Maju' di belah-belah pekan Georgetown sana. Kedua-duanya tidak sama, berlainan tokey. Rasa pun tak sama. Masing-masing unik dan ada rasa tersendiri.
Nak rasa pengalaman beratur beli nasi kandar?
Tak perlu pergi jauh sehingga ke Nasi Kandaq Beratur. Dekat Nasi Kandar Deen Jelutong ni pun anda sudah kena beratuq.
16. LAKSA PANTAI MIAMI
Singgah dulu pekena laksa di Pantai Miami di Batu Ferringhi dalam perjalanan ke Teluk Bahang. Di mana lokasi dia? Lagi sekali. Di Pantai Miami.
Kalau anda yang datang dari arah Georgetown menuju ke Batu Ferringhi, anda akan jumpa Masjid Terapung Tanjung Bungah di sebelah kanan, kemudian kena layan 'kona' baring dua-tiga kerat dulu. Nanti anda akan jumpa warung laksa di bawah rimbunan pokok menghadap ke pantai di sebelah kanan. Kalau yang rajin baca dia ada tertulis 'Pantai Miami'.
Selain laksa, antara menu lain yang terdapat di warung jalanan ni adalah jagung rebus, rojak buah dan makanan-makanan ringan. Harganya sedikit mahal berbanding tempat lain.
17. LAKSA JANGGUS
Lokasi tempat makan seterusnya adalah Laksa Janggus yang terletak di Kampung Perlis, Balik Pulau. Mesti ramai yang sudah tahu pasal laksa ini. Laksa ini cukup top satu ketika dulu. Viral!
Sepinggan laksa berharga RM 3.50. Selain laksa, antara menu lain yang popular di sini adalah goreng pisang bijan.
18. LAKSA TEMPURUNG
Waktu operasi Laksa Tempurung Teluk Kumbar ni bermula dari tengahari sampai pukul 7.00 malam. Kalau datang lepas Maghrib memang tak ada jawabnya.
Apa yang menariknya tentang Laksa Tempurung Teluk Kumbar ni? Menu istimewa di sini sudah semestinya adalah laksa tempurung! Maksudnya setiap mangkuk laksa dihidangkan dalam tempurung, bukan mangkuk plastik biasa. Jadi ada la rasa tempurung tu sikit-sikit.
19. RESTORAN KAPITAN
Apabila anda datang ke Penang, kami jamin anda pasti diperkenalkan dengan Restoran Kapitan. Harga untuk satu juadah agak mahal namun agak berbaloi kerana juadahnya enak dan banyak.
Menu istimewa yang mereka tawarkan adalah:
- Briyani Claypot
- Tandoori Claypot
- Ayam Tandoori
- Ayam Milani + Set Naan
- Almond Milk
- Lacopera Nasi Briyani
- Nasi Briyani Kambing
20. COFFEE AFFAIR
Kafe kopi ini terletak di Lebuh Bishop menawarkan pelbagai menu kopi dan makanan barat. Jika anda penggemar kopi, kafe ini wajib anda kunjungi.
Anda pasti teruja mengambil selfie di sini kerana suasana restoran yang menarik dengan dekorasi yang comel. Antara lokasi makan yang santai untuk anda, kawan-kawan dan ahli keluarga berkumpul.
Antara menu di sini yang patut anda cuba adalah Mocha dan Kopi Madu Liar. Di jamin sememangnya berbaloi dengan setiap sen yang anda bayar. Selain kopi yang kaw, menu lain seperti pasta, risoto dan pelbagai masakan laut tidak kurang hebatnya.
21. JAWI HOUSE CAFE & GALLERY
Restoran nasi kandar sememangnya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di Penang.Untuk kelainan, saya cadangkan anda mencuba masakan masyarakat Jawi Peranakan yang asli di restoran Jawi House Cafe & Gallery, Armenian Street. Salah sebuah tempat makan menarik dan unik di Penang ni.
Selain menu asli Jawi Peranakan yang enak dengan portion yang banyak, dekorasi di dalam kedai makan ini dipenuhi hasil seni klasik memberi suasana terbaik untuk menikmati juadah tradisi.
Mereka menyediakan hidangan melayu klasik yang terbaik. Hidangan melayu klasik mereka tidak boleh ditandingi dengan mana-mana restoran di Penang ni!
22. NASI 7 BENUA DI KOO BOO CAFE
Nasi 7 Benua Koo Boo Cafe ini memang terkenal di kalangan pelancong!
Nasi 7 Benua merupakan gabungan tujuh jenis nasi dalam satu pinggan dan disajikan dengan pelbagai jenis lauk pauk mengikut pilihan anda.
Lokasinya adalah berdekatan dengan Flat Seri Delima iaitu berhadapan dengan Padang Bola Sepak Sungai Ara.
23. RESTORAN NASI PADANG MINANG
Jika anda ingin makan masakan padang, boleh lah singgah ke Restoran Nasi Padang Minang. Restoran ini menyajikan pelbagai jenis lauk pauk.
Nasi Padang merujuk kepada gaya masakan yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Restoran ini bukan sahaja mendapat tempat di hati pelancong, malah turut menjadi kegemaran penduduk tempatan!
Restoran ini terletak di Jalan Transfer.
24. NASI KANDAR POKOK KETAPANG
Antara lauk yang menjadi kesukaan pelanggan di Nasi Kandar Pokok Ketapang, adalah telur ikan dan telur sotong (gambar di atas adalah gambar telur sotong). Wah sedapnya!
Nasi Kandar Pokok Ketapang itu juga sebernarnya mempunyai sebuah restoran yang terletak kira-kira 100 meter dari pokok ketapang yang menjadi tapak perniagaan mereka pada waktu malam.
Restoran yang dimaksudkan ialah Nasi Kandar Jamal Mohamad yang diusahakan sejak 1988 dan beroperasi pada pagi dan ditutup pada 12.00 tengah malam.
Menurut pengurusnya, pada sebelah malam mereka menumpu pada perniagaan di bawah pokok ketapang kerana pelanggan lebih suka makan dalam keadaan bersantai serta terbuka.
25. NASI KANDAR BERATUR
Sesuai dengan namanya, anda perlulah beratur untuk mendapatkan Nasi Kanda Beratur. Menurut penduduk tempatan, walaupun perlu beratur, namun ianya berbaloi!
Restoran ini beroperasi pada pukul 10 malam hingga 9 pagi. Ianya terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling.
Nasi Kandar Beratur ini berjaya membuatkan orang beratur sejak mula beroperasi pada tahun 1943!
26. NURUL IKAN BAKAR SPECIAL
Nurul Ikan Bakar dibuka setiap hari dari jam 5.00 petang hingga 1.00pagi. Menurut review di Facebook, restoran ini kadang-kadang terlalu crowded. Mungkin sebab itu ianya tidak ditutup walaupun sehari.
Ikan nya pula fresh. Sesuai dengan lokasi Pulau Pinang yang dikelilingi laut, menjadikannya sebuah pulau.
Restoran ini terletak di Batu Uban.
27. RESTORAN IDRUS IKAN BAKAR
Di Penang ini bukan Nasi Kandar sahaja yang perlu menjadi tumpuan.
Makanan laut yang segar juga boleh dijadikan spot untuk jalan-jalan cari makan. Bersesuaian dengan lokasi Pulau Pinang yang dikelilingi laut.
Di Restoran Idrus Ikan Bakar, selain ikan bakar, masakan lain yang terkenal adalah udang butter, udang butter, ketam masak lada dan sup sayur.
Restoran ini berhampiran dengan jambatan Pulau Pinang.
28. WARUNG PAK SU MEE UDANG
Di Kedai Warung Pak Su yang terletak di Bagan Nyiur Jiru, pelbagai higangan menarik disajikan. Namun, untuk post ini, Nasi Ketam menjadi pilihan. Lihat gambar di atas, wah! Terasa nak makan sekarang!
Bila makan ketam, tak dapat nak control macho sangat. Tapi kalau nak control juga, boleh bungkus bawa balik untuk tumbuk dengan lesung! Tumbuk kulit ketam ya, bukan orang.
Pamandangan kampung dengan bukit dan sawah padi sekitar Warung Pak Su ini sesuai untuk anda yang ingin lari dari bandar.
29. RESTORAN FAIS
Restoran Fais ini terletak di Permatang Pauh. Sebut Permatang Pauh, rakyat Malaysia mesti teringat Nurul Izzah!
Pelbagai hidangan disediakan terutamanya Western Food. Favorite orang ramai disini ialah Chicken Chop dengan size yang besar, dan harga yang murah.
Kedai ini beroperasi pada setiap hari dari pukul 8 malam sehingga 12 tengah malam. Lokasinya pula berdekatan dengan Masjid Permatang Janggus. Boleh lah singgah solat Maghrib dulu.
30. RESTORAN PEN MUTIARA - KARI KEPALA IKAN
Restoran Pen Mutiara ini mempunyai 2 cawangan. 1 terletak di Pelabuhan LKIM Batu Maung, Bayan Lepas dan 1 lagi di Butterworth. Restoran ini terkenal dengan Kari Kepala Ikan sebagai menu utama nya.
Pengurus Operasi Restoran dan Hotel Pen Mutiara, Azuddin Abd Rashid berkata, keistimewaan kari kepala ikan itu sememangnya mempunyai rahsia masakan unik kerana ia dimasak terus dari dapur menggunakan periuk tanah liat.
Kelebihan ketara adalah restoran ini mampu mendapatkan hasil laut segar memandangkan ia dimiliki persatuan nelayan
30. WELLESLEY COFFEE JOINT
Untuk pencinta coffee, Wellesley Coffee Joint ini sesuai untuk anda cuba. Harga makanan dan minuman ini agak standard, bersesuaian dengan imej nya sebagai cafe hipster!
Sesuai juga dijadikan tempat event seperti sambutan hari jadi.
Hidangannya pula sangat menarik dengan pelbagai makanan western food. Ada juga beberapa makanan lokal jika western food tidak kena dengan selera anda.
31. RESTORAN IDA MEE UDANG SUNGAI DUA ORIGINAL
Restoran Ida Mee Udang Sungai terkenal dengan hidangan Mee Udang Special. Selain itu ada juga Mee Ketam special, Nasi Goreng Udang atau Ketam dan lain-lain masakan panas.
3 jenis udang terdapat di kedai ini iaitu udang kertas/laut, udang galah dan udang kolam/bela.
Restoran ini dibuka setiap hari kecuali hari Selasa. Waktu operati adalah dari jam 12.30 tengah hari hingga 12.30 malam.
32. RESTORAN NELAYAN KUALA JURU
Restoran Nelayan Kuala Juru ini terletak berhampiran sungai. Jika ingin bersantai di tepi sungai, dan ber 'feeling' bersama sahabat dan keluarga, tempat ini sesuai untuk anda.
Di belakang restoran ini terdapat tempat di mana nelayan menurunkan hasil tangkapan. Penduduk tempatan dan pemilik restoran dapat menikmati hasil ikan yang segar dengan harga berpatutan di kawasan tersebut.
Boleh lah singgah di restoran ini untuk merasai nikmat ikan segar!
33. NASI CAMPUR PERMAI TEPIAN
Kepada mereka yang ingin merasa makanan lauk-pauk versi Penang, bolehlah singgah ke Nasi Campur Permai Tepian.
Melihat lauk-pauk yang disediakan, anda mungkin keliru sebab tak tahu nak pilih lauk mana satu! Oh ya, ulam-ulaman juga disajikan.
Restoran ini buka setiap hari dari jam 7 pagi hingga 3.30 petang, dan tutup hari Jumaat. Lokasinya terletak di Jalan Permata Nibong, Permatang Pauh.
34. ROTI CANAI GEMAS ROAD SABAR MENANTI
Restoran Roti Canai Gemas Road ini terkenal dengan roti canai special. Roti canai ini dihidangkan bersama ayam yang sangat lembut, kuah kari banjir, telur mata, bawang dan cheese. (Kami cadangkan supaya anda tidak letakkan cheese).
Terdapat perlbagai kuah yang boleh dipilih, iaitu kari ikan, kari ayam, kari daging, kari gambing, dan kuah dal. Kuah ini boleh dicampur-campur juga.
Sudah namanya Sabar Menanti, anda kena sabar menanti ya.
35. RESTORAN NASI KANDAR PELITA
Restoran Nasi Kandar Pelita sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Untuk penggemar Nasi Kandar atau mereka yang ingin melakukan 'Penang Nasi Kandar Tour,' boleh lah mencuba Nasi Kandar di restoran ini.
Terdapat beberapa cawangan Nasi Kandar Pelita di Penang ini sendiri, selain cawangannya di seluruh Malaysia. Cawangan Pelita yang pertama dibuka adalah di Taman Chai Leng, Prai, Penang.
Restoran ini juga berstatus halal dan milik Bumiputera.
36. NASI KANDAR POKOK CERI
Nasi Kandar Pokok Ceri ini mula dibuka pada tahun 1998 di Jalan Datuk Keramat, berdekatan Masjid Jamek Shaik Yusoff.
Tidak ramai yang tahu nasi kandar di tempat ini dijual lebih murah daripada sesetengah kedai nasi kandar yang dicadangkan dalam list ini. Sepinggan nasi, ayam goreng, sayur dan telur rebus berharga RM 6.50. Wah, murah kan?
Rempah yang digunakan untuk kari dibuat sendiri.
37. NASI KANDAR IMIGRESEN, LORONG PASAR
Nasi Kandar Imigresen ini merupakan sebuah gerai di tepi jalan. Boleh makan and 'feeling' ala-ala street food gitu.
Menurut artikel di Saji Online, hidangan di sini terbukti murah dan sangat berbaloi. Hidangan untuk empat orang termasuk lauk Ayam Kari, Daging Masak Hitam, Telur Rebus, Sayur-sayuran, Kari Ikan dan Ayam Goreng hanyalah RM23.00 sahaja.
Dibuka jam 10.30 pagi hingga 9.30 malam. Ditutup setiap hari Jumaat.
38. NASI KANDAR KAMPUNG MELAYU
Menurut pengusaha restoran ini, Restoran Nasi Kampung Melayu menggunakan resepi turun-temurun yang berasal dari Sri Lanka.
Penyediaan makanan ni disini adalah seawal jam 2 pagi. Wah!
Untuk mengekalkan kelazatan nasi kandar di restoran ini, mereka menggunakan daging lembu tempatan, rempah kari giling dan bawang dalam kuantiti yang banyak untuk keenakan rasa kuah karinya.
Restoran ini dibuka dari 6 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari, untuk lokasi di bawah Flat Kampung Melayu.
Jika anda ingin rasa Nasi Kandar ini untuk dinner, boleh singgah ke cawangannya di Komplek Penjaja (MPPP) Desa Mawar. Dibuka dari 4.30 petang hingga 10.30 malam
39. IKAN BAKAR ADNAN BIN HASSAN, TELOK TEMPOYAK, PENANG
Sekiranya anda mahu makan selain Nasi Kandar di Penang, apa kata pekena ikan bakar pula?
Restoran Ikan Bakar Adnan Bin Hassan ini terletak di tepi laut. Boleh lah 'feel' makan ikan bakar bersama keluarga atau sahabat di Penang ini.
Pelbagai ikan yang boleh dipilih ada boleh dimakan direstoran ini seperti siakap, kerapu, bawal, ikan merah, janahak, selain udang dan ketam.
Destinasi ini popular di kalangan pelancong kerana seafood nya segar dan sedap, dan harganya berpatutan.
40. RESTORAN KASSIM MUSTAFA - NASI KANDAR
Keistimewaan nasi kandar Kassim Mustafa terletak pada rempah ratus yang digunakan dan masakannya tidak dicampur bahan perasa seperti MSG dan dalam masakannya ia tidak pernah menggunakan cili kisar yang dibeli di kedai.
Rahsia ini dikongsi oleh pemilik restoran iaitu Saleem Manshoor.
"Sejak dahulu lagi di Kassim Mustafa, rempah ratus yang digunakan untuk memasak segala jenis makanan digiling sendiri oleh dua tukang masak dan batu giling yang digunakan juga kini berusia lebih 20 tahun," katanya kepada Bernama.
Rasa macam nak try sekarang kan?
41. RESTORAN FISHERMAN'S GRILL
Restoran ini menghidangkan menu berasaskan makanan laut yang segar. Makanan laut seperti ikan, udang dan lain-lain yang fresh akan dibeli dan dimasak.
Bagi mereka yang ingin mencuba selera selain makanan laut, jangan bimbang. Fisherman's Grill juga menyediakan menu lain seperti Chicken Chop, Fish & Chip, Steak, Lamb Chop, Spaghetti dan lain-lain.
Suasana kedai juga sangat menarik. Sesuai untuk mereka yang suka selfie! Review di Facebook juga kebanyakannya positif belaka!
Tempat Makan Best di Penang
Sebenarnya kalau nak cerita tempat makan best di Penang ini memang tak habis! Setiap orang ada kegemaran masing-masing. Saya kumpulkan 21 tempat makan menarik ini berdasarkan ulasan dari pengunjung-pengunjung sebelum ini. Dan bonus saya ada tulis 20 Tempat Menarik di Pulau Pinang.
Andai kata anda ada tempat makan yang mahu ditambah, komen saja di bawah. Nanti saya akan tambah dalam bahagian artikel ini. Selamat menjamu selera =)
Hi, saya Farouk. Saya mempunyai sebuah restoran. Sekiranya saya ingin menggunakan laman blog cik untuk mempromosikan restoran saya, apakah terma dan syarat yang perlu saya patuhi?
Boleh. Saya akan email kepada Tuan untuk maklum balas.