fbpx

10 Resipi Kuih Tradisional Yang Best

Hari ini saya ingin kongsikan 10 resipi kuih tradisional yang digemari ramai. Mana yang paling sedap? Susah nak kata sebab sedap semua ! Jom kita lihat resepi-resepi nya .

1. Kuih Seri Muka

seri muka

Guna Loyang 10” x 10” (guna loyang bulat 10”)

Bahan Lapisan Bawah:

3 ½ cawan beras pulut rendam 1-2 jam
3 cawan santan – dari 1 biji kelapa
1 sudu kecil garam

Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang.

Kukus di dalam periuk pengukus yang telah mendidih airnya sehingga masak. Angkat dan ditekan tekankan dengan tangan sehingga sedikit mampat. 

Bila santan cukup, pulut tak akan melekat, jadi boleh guna loyang yang sama. 

Bahan Lapisan Atas:

4 cawan santan pekat – dari 2 biji kelapa dikisar dengan air daun pandan
2 cawan gula pasir
4 biji telur – saiz B
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil garam
6 helai daun pandan - kisar dengan 2 cawan air
Sedikit pewarna hijau

Kisar daun pandan dengan 2 cawan air dan tapis airnya. Masukkan air daun pandan ke dalam kelapa parut dan blend untuk mendapatkan 4 cawan santan yang diperlukan. Titiskan sedikit pewarna hijau. 

Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan 2 cawan santan terlebih dulu, pukul lagi sekejap. 

Masukkan tepung dan kacau rata sebelum masukkan baki santan. Jangan terlebih pukul untuk menghasilkan permukaan kuih yang rata.

Masukkan loyang lapisan bawah ke dalam pengukus dan kukus sehingga panas, baru ditapis adunan ke atasnya dengan perlahan lahan di sekeliling loyang. 

Kukus selama 45 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak. Mula mula kukus dengan api kuat dalam 10 minit. Bila nampak permukaan menggelembung, buka penutup dulu untuk keluarkan wap sehingga dah turun, baru tutup semula.

Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak. 

Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak. 

2. Kuih Nona Manis

nona manis

Bahan A

1 biji telur
1/2 cawan gula halus
1 cawan santan  ~ campur santan kotak dg sedikit air jadikan 1 cawan
1 cawan tepung gandum

Pukul telur hingga kembang atau boleh juga dikisar dengan blender. Dalam bekas lain, satukan gula, tepung gandum dan santan, kacau rata.

Akhir sekali, tuangkan adunan telur ke dalamnya dan pukul atau kacau rata. Saya kisar dengan blender. Bila dah siap ketepikan

Bahan B

1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air daun pandan ~ ambil 5 helai daun pandan dan kisar dengan 1/2 cwn air dan tapis
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau apple

Satukan gula, tepung jagung, garam dan sedikit pewarna hijau. Kemudian masukkan santan yang dicampur dengan air daun pandan. Kacau sampai rata dan tidak berbintil-bintil.

Kemudian masak dengan api sederhana hingga ia meletup-letup, berkilat dan sedikit pekat. Angkat dari dapur dan biarkan sehingga suam suam kuku.

Tuangkan adunan A ke dalam adunan B. Kacau rata sehingga ia menjadi adunan yang pekat dan licin. Saya kisar dengan blender bagi menjadikan adunan yang sebati. 

Ketepikan dahulu sementara kita sediakan adunan putih

Bahan C

1 cawan santan pekat ~ guna 1 kotak santan dicampur sedikit air dijadikan untuk 1 cawan
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
1/2 sudu kecil garam halus

Satukan semua bahan C dan kacau rata. Kemudian masak atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga ia pekat.

Tunggu suam sedikit dan masukkan dalam piping bag atau bag plastik (bahagian hujung bag plastik).

Cara Membuat Kuih Nona Manis:

Panaskan periuk pengukus sehingga airnya mendidih. Balut tutup kukusan dengan kain supaya air pada tutup kukusan tidak menitis pada kuih.
Sediakan acuan lompang yang kecil, oleskan acuan lompang dengan minyak jagung.

Tuangkan adunan hijau dalam acuan lompang hingga 3/4 cawan acuan lompang. Kemudian paipkan adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga adunan naik memenuhi acuan cawan lompang.

Susun dalam kukusan. Kukus selama 7 hingga 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan dari acuan. 

Sumber : Azie Kitchen

3. Pulut Panggang

pulut panggang

Pulut:
2 cawan pulut -rendam semalaman
1 cawan santan pekat + sikit garam
15 keping daun pisang -layur

i. Kukus pulut yang dah direndam semalaman.
ii. Bila dah masak,semasa masih panas gaulkan dengan santan yang sudah dicampur sedikit garam..
iii.Layur daun pisang & lap

Serondeng Kelapa
1 biji kelapa parut putih(+- 4 cawan)
2 sudu minyak
1 sudu teh garam
1 sudu besar gula melaka parut
2 sudu besar air asam jawa cair

Bahan Blend:
10 cili kering-rendam air panas
1 biji bawang besar
5 hiris kunyit
5 hiris lengkuas
1 sudu jintan manis(kasar)
2 btg serai-hiris
1/2 cawan ikan bilis-bersihkan

1. Panaskan minyak & tumis bahan blend.
2. Masak hingga garing & naik minyak
    Masukkan juga garam gula & air asam jawa
3. Masukkan kelapa parut putih...
 4. Sentiasa kacau hingga agak kering & berderai..Jika suka basah cukup dikacau hingga kelapa masak sahaja...@ ditambah sedikit santan supaya lembab dan berlemak.

1. Cedok 1 sudu besar pulut dan longgokkan atas sekeping daun pisang.
Jika dauin piasang fresh..layurkan dulu..
Jika daun pisang layu x perlu layur
2. Tekan-tekan hingga leper.Guna sarung tangan plastik atau plastik biasa supaya mudah kerja meleperkan pulut
3. Sudukan inti ditengah-tengah pulut secara memanjang
4. Lipat kiri kanan daun pisang supaya inti tertutup.
5. Adjust juga hijungnya.& bungkus dengan cara menggulung daun pisang tersebut
6. Sematkan dengan lidi cungkil gigi...
7. Susun atas pan vantage @ boleh juga susun dalam kuali tanpa minyak & pangganglah hingga nampak garing.


Sumber : namakucella

4. Tepung Pelita

tepung-pelita-1

Lapisan Hijau:

1 cawan tepung beras
1 sudu besar air kapur makan
4 cawan air daun pandan
Sedikit pewarna hijau

Cara cara: 

Kisar 4-5 helai daun pandan untuk dijadikan air daun pandan secukupnya. Satukan kesemua bahan untuk lapisan hijau. Masak di atas di dapur sambil dikacau dengan whisk sehingga sedikit pekat. 

Panaskan periuk pengukus sehingga airnya mendidih. 

Masukkan daun pisang ke dalam bekas plastik. Isikan 1-2 sudu besar gula di atas daun pisang. Kemudian dituangkan lapisan hijau.  

Kukus selama 15 minit. Setelah masak, tuangkan pula adunan lapisan atas di atasnya. Nota: jika suka, boleh juga ditabur gula di atas lapisan hijau sebelum dituang lapisan santan.

Lapisan Santan :
2 ½ cawan santan segar
½ cawan tepung beras
½ sudu kecil garam

Cara cara;

Satukan semua bahan di atas dan masak atas dapur sambil dikacau sehingga kelihatan sedikit pekat. Tuang ke atas lapisan hijau tadi dan kukus dalam 10 minit. 

Setelah hampir masak, angkat penutup pengukus dan biarkan beberapa minit tanpa penutup bagi mengeringkan air di permukaan kuih tepung pelita. Bolehlah angkat dan disejukkan.

5. Bingka Bakar

bingka bakar

Bahan-Bahan :

2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1 cawan air pandan
3 cawan santan (2 santan kotak & 1 cawan air)
3 biji telur
2 sudu besar butter
1/2 sudu kecil garam
Sedikit pewarna hijau/pandan paste
Sedikit bijan

Cara-cara :


Masukkan semua bahan ke dalam blender kecuali bijan. Blend hingga sebati.

Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan masukkan ke dalam oven. Bila loyang sudah panas, tuang adunan tadi ke dalamnya.

Taburkan bijan (jika suka). Bakar 45 minit pada suhu 180C hingga masak menggunakan api atas dan bawah.

Bakar menggunakan api atas saja selama 10 minit terakhir sekiranya inginkan permukaan kuih yang lebih garing. Saya bakar dalam 1 jam 20 minit untuk mendapatkan permukaan yang garing.


Sejukkan betul betul dulu sebelum dipotong untuk menghasilkan potongan yang cantik.

6. Onde-Onde

onde onde

Bahan-Bahan: 

1 cawan tepung pulut 
2 sudu besar tepung beras
½ cawan air daun pandan - tambah 1-2 sudu air lagi
Gula melaka - potong kecil
½ biji kelapa muda parut - ambil bahagian putih sahaja
Sedikit garam - untuk gaul dengan kelapa parut
Sedikit air kapur 

Cara cara: 

Bancuh tepung pulut dan tepung beras dengan air daun pandan dan air kapur sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tak melekat di tangan.

Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula Melaka yang dipotong kecil atau dihancurkan supaya ianya betul betul cair semasa direbus.

Tutup adunan kemas kemas dan gentel adunan dengan kedua tapak tangan supaya berbentuk bulat cantik.  

Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Kalau suka, boleh masukkan daun pandan yang dicarik dalam air rebusan supaya wangi.

Masukkan bebola tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di permukaan air menandakan ianya telah masak dan sedia diceduk keluar.

Tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam. Golek golekkan kuih di atas kelapa tadi sehingga ianya betul betul bersalut. Sedia untuk dihidangkan.

Nota: Kepala parut ditekan tekan sedikit dengan sudu supaya rata. Jadi ianya lebih cantik.

Sumber : Azie Kitchen

7. Cara Berlauk

kuih-cara-berlauk (1)

Bahan bahan:

250 gm daging kisar/cincang (¼ kg)
1½ sudu rempah daging Babas
1 biji bawang besar - cincang
Garam/aji secukup rasa
Daun bawang
Cili merah - hiris halus
1 sudu besar minyak/minyak sapi/margerin
3 cawan tepung gandum
3 cawan santan cair/susu cair/susu rendah lemak
3 cawan air
5 biji telur
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning telur

Cara cara:

Daging dibersihkan dan dibuang semua urat. Cincang sampai halus. Atau boleh guna daging batang pinang dan potong kecik. 

Panaskan 1 sudu minyak dan tumis bawang yang telah dicincang. Kemudian bila bawang dah kekuningan, masukkan rempah kari dan goreng sampai wangi. Masukkan daging dan masaklah sampai kering. Sejukkan.

Pukul telur hingga kembang, masukkan susu dan air dan kacau sampai rata. Masukkan tepung dan kacau hingga sebati. kalau tak halus, masukkan ke dalam blender sedikit demi sedikit dan kisar supaya halus.  

Bubuh sedikit saja pewarna kuning dan sedikit garam. Jangan banyak sangat garam sebab lauk daging  tadi dah ada perisa. 

Panaskan oven pada suhu 160C. Lauk daging dibahagi kepada 3 bahagian sebab bancuhan ini jadi 3 kuih bakar. Kalau guna acuan kecil, rasanya boleh dapat 6 kuih bakar.

Letakkan acuan kuih bakar di atas dapur, bubuh ½ sudu minyak sapi/marjerin dan panaskan. Bila minyak sudah panas, perlahankan api dan tuangkan bancuhan tepung tadi hingga paras ¾ penuh ke dalam acuan. 

Biar kira kira 1 minit, pastu sudukan 1 sudu kecil lauk daging ke dalam bancuhan tepung dalam acuan perlahan lahan. Mulakan di bahagian tengah dan kemudian dalam setiap lekuk acuan. Akhir sekali, taburkan daun bawang dan cili merah.

Bila nampak garing pada bahagian tepi kuih, masukkan ke dalam oven suhu 180 C menggunakan api atas sahaja (jika ada) selama 15-20 minit. Saya guna api atas bawah.

Guna pisau dan keluarkan kuih ketika masih panas.

Sumber : Azie Kitchen

8. Kasui

kasui

Loyang saiz 10” x 10”

Bahan bahan:

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2 keping gula Melaka - saya guna 2 1/4 kpg saiz sederhana
1 cawan gula pasir - saya tambah 1 sudu besar
7 cawan air
1 sudu kecil kapur – bancuh dengan sedikit air

Bahan lain:

Kelapa parut muda
Sedikit garam

Cara cara:

Masak air dengan gula Melaka dan gula pasir sehingga gula hancur. Sejukkan sehingga agak agak air gula suam.

Masukkan tepung gandum dan tepung ubi yang telah disatukan ke dalamnya. Kacau sebati. Masa ini, boleh rasakan sedikit adunan dan jika belum cukup manis, boleh tambah sedikit gula pasir.

Akhir sekali, masukkan air kapur dan kacau rata. Tapis adunan ke dalam jug bermuncung.

Panaskan periuk pengukus dan masukkan loyang. Setelah loyang panas, tuang adunan ke dalam loyang dan kukus sehingga masak selama 45 minit atau sehingga masak dengan menggunakan api yang besar. Kukus dalam 1 jam. 

Sekali sekala, lapkan penutup pengukus atau balut penutup dengan tuala. Bila telah masak, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup seketika untuk mengeringkan air di permukaan kuih, jika ada.

Setelah betul betul sejuk, baru dipotong. Hidangkan bersama kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.

Sumber : Azie Kitchen

9. Cek Mek Molek

Kueh-Cek-Mek-Molek

Bahan bahan : 

Ubi keledek oren
Tepung gandum
Sedikit gula

Cara cara:

Rebus ubi sampai empuk. Lenyekkan.

Ubi yang telah dilenyek diuli dan digaul bersama tepung gandum. Agak agak lah kelembutan adunannya. Kalau terlebih gandum, adunan menjadi keras.  

Bentukkan kuih cek mek molek. Masukkan sesudu gula dan dibentuk membujur. 

Goreng dalam minyak panas yang banyak dengan api perlahan agar gula hancur menjadi air gula semasa digoreng. 

Angkat bila kekuningan. Awas gula panas, jadi berhati hati jika makan kuih cek mek molek semasa panas panas.

10. Kuih Lapis

kueh lapis

Bahan A:

2 cawan santan cair
3 helai daun pandan
1 1/4 cawan gula

Bahan B:

2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu kecil garam

Bahan C

1 cawan santan pekat

Cara cara:

Satukan semua bahan A dan dimasak atas dapur sehingga gula hancur. Tutup api dan sejukkan. 

Satukan bahan B dan masukkan santan pekat dan kemudian tuangkan bahan A yang dimasak tadi. Kacau sebati. Tapis ke dalam bekas besar. 

Bahagi adunan kepada dua bahagian, lebih kurang 660 gram. Masukkan pewarna yang disukai. 

Panaskan pengukus dan lenser loyang dengan minyak. Masukkan loyang ke dalam pengukus sehingga panas. 

Tuangkan 1 senduk adunan ke dalam loyang. Tutup dan biarkan selama 5-7 minit. Buka penutup dan pastikan lapisan tadi telah masak sebelum dituang lapisan seterusnya. 

Buat sehingga habis secara berselang seli warna. Lapisan akhir sekali, dikukus selama 30 minit atau sehingga masak. Caranya boleh dicucuk dengan lidi atau cake tester sehingga tidak melekat.

Keluarkan dari pengukus dan biarkan sehingga benar benar sejuk. Sebelum dipotong, lenser pisau dengan minyak terlebih dahulu atau gunakan pisang plastik. 

Boleh dibalut kuih yang telah dipotong dengan plastik supaya tidak melekat antara satu sama lain. 

Haa nampak sedap semua kuih tradisional ni kan. Resepi nya juga kelihatan ringkas dan senang untuk dibuat. Anda yang rasa nak mencuba resepi baru bolehlah mencuba resepi ini. Nak jual pun boleh takde masalah asalkan cari rezeki halal kan. Selamat mencuba !

Leave A Reply

Your email address will not be published.