fbpx

10 Resepi Rendang Ayam Power Sedap

0

Rendang merupakan salah satu masakan paling popular di Malaysia, Indonesia, Singapore dan Brunei. 

Kalau di Malaysia rendang ayam lebih sinonim dimakan bersama lemang mahupun nasi himpit sewaktu hari raya Aidilfitri atau juga boleh dimakan begitu sahaja.

Oleh sebab ianya popular di banyak tempat, munculah pelbagai versi masakan rendang seperti rendang tok atau rendang ayam minang yang popular di Indonesia.

Juga ada mengikut resepi sesetengah negeri yang mana ia mempunyai cara memasak yang berbeza sebagai contoh di negeri sembilan membuat versi rendang masak cili padi.

Yang pasti semuanya mempunyai keistimewaan dan kesedapannya yang tersendiri.

Saya kongsikan di sini 10 resepi rendang ayam yang boleh anda pilih atau cuba sesuai mengikut deria rasa anda.

1. Rendang Ayam Cili Padi Negeri Sembilan

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam
  • 1 - 1 1/2 kotak santan kotak
  • 2 - 4 batang serai - ketuk
  • 2 sudu besar cili kering kisar - opsyenal untuk cantikkan warna supaya kemerahan
  • 1 keping asam keping
  • 4 keping daun limau purut - opsyenal. Saya letak sebab guna serai 2 sahaja
  • 1 sudu besar kerisik
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit serbuk kunyit - jika perlu
  • Minyak untuk menumis

Bahan-bahan (dikisar):

  • 10 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci halia
  • 7-10 tangkai cili padi kampung -  boleh tambah
  • 4 hirisan nipis lengkuas

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan kuali dan masukkan minyak. Tumis bahan kisar, serai dan cili kisar hingga air agak kering sedikit. 
  2. Masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut.
  3. Masukkan santan dan air secukupnya. Bila mendidih masukkan asam keping, gula dan garam. Bila hampir terbit minyak, masukkan kerisik. 
  4. Kemudian masukkan daun limau purut dan daun kunyit.
  5. Masak sehingga rendang hampir kering dan terbit minyak. Bolehlah ditutup api. Sedia untuk dinikmati.

2. Rendang Ayam Kampung (Rembau)

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ayam kampung atau ayam telur
  • 6 biji kelapa (*kalau guna santan segar, 1kg santan segar sudah memadai) 
  • 1 paket kecil rempah rendang/rempah kari daging 
  • 2 sudu besar serbuk kunyit @ 2 sudu besar kunyit hidup yang di kisar halus 
  • garam secukup rasa

Bahan-bahan (dihiris):

  • 12 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • sedikit halia
  • 5 batang serai
  • Sedikit lengkuas (*opsyenal)

Bahan-bahan (dikisar):

  • 3 sudu besar cili api
  • 4 sudu besar cili kering

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali kemudian tumis bahan yang dihiris sehingga naik bau dan pecah minyak.
  2. Masukan bahan yang dikisar seperti rempah,cili api dan cili kering kedalam kuali. Kacau hingga sebati.
  3. Masukkan ayam kemudian rempah rendang/ kari dan serbuk kunyit. Kacau hingga rata.
  4. Tambah sedikit air kemudian kacau sehingga rata lebih kurang setengah jam Masukan santan dan garam kacau rata hingga santan mengeluarkan minyak
  5. Kecilkan api kemudian kacau lagi hingga minyak santan berbuih bagi menandakan yang minyak santan telah betul2 kering dan garing dah siap dan sedia untuk di hidangkan

3. Rendang Ayam Pedas Perak

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan: 

  • 2 ekor ayam (dipotong 14)
  • 1 kg santan segar
  • 1 biji kelapa parut 
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 keping asam keping
  • 1 1/2 sudu besar garam kasar atau secukup rasa
  • 1 sudu besar gula pasir atau secukup rasa

Bahan-bahan (untuk dikisar):

  • 15 - 20 tangkai cili kering
  • 2 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup

Bahan-bahan (untuk dihiris):

  • 8 batang serai 
  • 2 inci halia 
  • 20 ulas bawang merah 
  • 10 ulas bawang putih
  • 2 helai daun kunyit

Cara Penyediaan:

  1. Masukkan ayam yang dicuci bersih ke dalam kuali. Masukkan semua bahan hiris dan bahan kisar ke dalam kuali. Kacau rata
  2. Nyalakan api dan masak seketika agak agak air ayam kering sedikit. Tuangkan santan dan serbuk kunyit kemudian masak dengan api sederhana sehingga kuah hampir kering.
  3. Kacau sekali sekala supaya ianya tidak hangus dan melekat di bahagian bawah kuali. (*Jangan kacau bahagian ayam, cuma di kacau di bahagian bawah kuali sahaja supaya ayam tidak hancur.)
  4. Sementara itu, goreng kelapa parut sehingga keperangan dan tumbuk atau kisar kasar kasar sahaja. 
  5. Setelah kuah hampir kering dan terbit minyak, masukkan kelapa goreng, garam, gula dan asam keping. 
  6. Setelah kuahnya kering, tabur hirisan daun kunyit dan bolehlah ditutup api. (* Lagi lama atas dapur, rendang akan menjadi lebih kering, tidak kelihatan basah dan lebih sedap. ) 

4. Rendang Ayam Minang

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam (dipotong ikut suka)
  • 4 batang serai (dititik)
  • 2 cawan santan pekat
  • 3 sudu makan kerisik
  • 3 helai daun kunyit (dimayang halus)
  • Beberapa helai daun limau purut (dibuang urat tengahnya)
  • 2-3 keping asam gelugur
  • 2 sudu makan gula merah
  • Garam dan gula secukup rasa
  • ½ kiub pati ayam
  • Minyak masak secukupnya untuk menumis

Bahan-bahan (untuk dikisar):

  • 3 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 5cm halia
  • 5 biji cili merah (dibuang biji tengahnya)
  • 6 biji cili padi hijau dan merah
  • 2cm lengkuas
  • 5cm kunyit hidup

Bahan-bahan (untuk menumis):

  • 5 cm kulit kayu manis 
  • 5 biji buah pelaga
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 3 kuntum bunga lawang

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak di dalam kuali.  Masukkan bahan tumis kemudian tumis hingga naik bau
  2. Masukkan bahan kisar dan serai yang dititik. Masak sehingga kekuningan.
  3. Masukkan pes rampah dan kacau rata sehingga pecah minyak.
  4. Tambahkan santan, ayam dan kerisik. Tambahkan dua cawan air dan kacau perlahan. Masak sehingga kuah pekat.
  5. Masukkan kiub ayam, gula merah, gula putih, garam dan asam gelugur. Kemudian masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Kacau rata.
  6. Biarkan ayam mereneh di atas dapur dengan menggunakan api sederhana. Selepas ayam masak dan kuah menjadi sedikit pekat.
  7. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

5. Rendang Ayam Yogurt

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam
  • Santan daripada 1 biji kelapa
  • 6 helai daun  limau purut
  • 1 biji lemon diambil parutan kulitnya 1 sudu besar dan perahan airnya daripada 1/2 biji
  • 3 sudu besar kerisik
  • 5 sudu besar yogurt perisa asli
  • 4 sudu besar rempah kari

Bahan-bahan (dikisar):

  • 3 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih 
  • 6 biji buah keras
  • 10 biji cili api (lebihkan kalau nak pedas)
  • 6 biji cili merah
  • 1/2 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • 1 biji tomato masak ranum 
  • 3 batang serai
  • kunyit hidup atau kunyit serbuk secukupnya

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan kuali dan masukkan minyak secukupnya. 
  2. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. 
  3. Masukkan rempah kari dan yogurt.  Tumis hingga sebati. Masukkan kerisik.
  4. Apabila bahan tumisan masak, baru masukkan ayam. Tunggu sehingga air ayam kering baru masukkan santan.
  5. Apabila kuah agak pekat, masukkan parutan kulit lemon, air lemon dan daun limau purut. Sedia untuk disajikan.

6. Rendang Ayam Tok

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • Seekor ayam (dipotong 12)
  • 2 cawan santan sawit KHALIS + 1 cawan air = 3 cawan santan (*kalau guna santan kelapa, gunakan tiga cawan pati santan)
  • 6 sudu besar kerisik
  • 5 keping asam gelugor
  • 4 keping daun kunyit (dihiris halus)
  • 5 – 6 helai daun limau purut
  • 1 batang serai (dititik)
  • 3 sudu besar gula perang
  • 1 sudu besar gula putih
  • Garam secukup rasa
  • Minyak secukupnya untuk menumis
  • Minyak secukupnya untuk menggoreng ayam

Bahan-bahan (dikisar):

  • 8 sudu besar cili kering kisar
  • 4 biji bawang besar (dipotong kecil terlebih dahulu)
  • 4 ulas bawang putih
  • 6 batang serai (dipotong serong)
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci kunyit hidup
  • Air secukupnya

Bahan-bahan (rempah):

  • 1 sudu kecil serbuk ketumbar
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 1 sudu keci serbuk lada hitam
  • 1 sudu kecil serbuk cili
  • 1 sudu besar serbuk garam masala
  • 1 sudu kecil serbuk rempah masak hitam (*jenama Az-Zain)
  • Air secukupnya

Persediaan sebelum memasak:

  1. Ayam dipotong 12 dan dibuang semua kulit. Kemudian lumurkan ayam dengan 3 sudu besar tepung gandum dan 2 sudu cuka. Biarkan 2 minit. Kemudian basuh bersih dan toskan (*petua untuk mengelakkan bau hanyir pada ayam).
  2. Perap ayam bersama 3 sudu besar rempah daging dan 1 sudu besar serbuk kunyit selama lebih kurang 20 minit.
  3. Panaskan minyak dan goreng ayam ½ masak. Angkat dan toskan.
  4. Masukkan kesemua bahan untuk dikisar ke dalam blender basah dan kisar sehingga semua bahan lumat. 
  5. Satukan kesemua bahan untuk rempah dan bancuh dengan sedikit air sehingga menjadi pes.

Cara penyediaannya:

  1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis serai sehingga layu sedikit.
  2. Kemudian masukkan bahan yang dikisar, kacau rata. Diikuti dengan bahan untuk rempah (pes rempah). Kacau dan masak sehingga terbit minyak. Gunakan api sederhana.
  3. Selepas itu tuang santan dan kacau. Masak sehingga mendidih.
  4. Kemudian masukkan ayam, diikuti dengan asam keping, daun limau purut, kerisik, gula perang, gula putih, dan garam. Kacau rata sehinga semuanya rasa sebati.
  5. Bila ayam telah masak dan kuah agak pekat, masukkan hirisan daun kunyit ke dalam rendang. Kacau sehingga sebati dan biarkan mereneh 1 minit di atas dapur sebelum tutup api.
  6. Ayam Rendang Tok Ayam telah siap untuk dihidangkan.

7. Rendang Ayam Kelantan

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam (dipotong sederhana)
  • 4 helai daun limau purut
  • 4 batang serai (diketuk)
  • 2 cawan pati santan
  • 1 keping asam gelugor
  • 2 helai daun kunyit (dimayang halus)
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan (dikisar):

  • 12 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • ½ kunyit hidup
  • 10 tangkai cili merah

Cara penyediaannya:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan serai yang dititik dan bahan kisar
  2. Kacau hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan ayam dan gaul rata, masak hingga ayam kecut sedikit.
  4. Masukkan pati santan, asam gelugor dan daun limau purut, kacau dan biar mendidih, kemudian kecilkan api dan masak hingga pekat.
  5. Persakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau rata.
  6. Bila rendang kering (tapi masih lembap dan bekuah sedikit), masukkan hirisan halus daun kunyit. Gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api.

8. Rendang Ayam Ala Nyonya

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam saiz sederhana, potong ikut suka
  • 5 helai daun limau purut
  • 2 helai daun kunyit, hiris halus
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 liter pati santan
  • 3 camca besar kerisik
  • Garam secukup rasa
  • 1 camca besar penuh gula melaka
  • 1 senduk nasi cili kisar
  • 2 camca besar rempah kari daging (Baba's)

Bahan-bahan (dikisar):

  • 15 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 3/4 inci kunyit hidup
  • 3 biji buah keras
  • 5 batang serai, hiris halus
  • Secubit belacan

Cara Penyediaannya:

  1. Ayam dibuang kulit, cuci bersih dan toskan. Bancuh rempah kari bersama bahan kisar halus. 
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumis cili kisar hingga garing, masukkan bahan kisar halus + rempah kari tadi dan kacau hingga rempah garing dan terbit minyak.
  3. Masukkan ayam dan gaul rata. Biar ayam kecut sedikit. Tuang santan, kacau dan bila mendidih, masukkan daun limau purut dan asam gelugor. Masak hingga pekat, tambah kerisik dan perasakan dengan garam secukupnya.
  4. Tambah gula melaka dan kacau perlahan. Masak dengan api kecil hingga rendang pekat, terpulang samada anda nak kering atau berkuah sedikit. 
  5. Akhir sekali masukkan hirisan daun kunyit, gaul rata, rasa dan jika ok, boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat

9. Rendang Ayam Berempah Adab

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1/2  ekor ayam (potong besar)
  • 2 sudu kerisik
  • 1 daun kunyit
  • 2 daun limau purut
  • 2 asam keping
  • 1 kepung gula nisse (*boleh ganti 3 sudu gula melaka)
  • 1 bungkus rempah rendang ADABI (ikut suka, xbubuh pun dah ok)
  • 1/2 cawan minyak
  • 1 cawan pati santan
  • 3 cawan air @ santan cair

Bahan-bahan (dikisar):

  • 25 cili kering (digunting & rebus hingga lembut)
  • 2 bawang besar
  • 5 bawang putih
  • 3 hiris lengkuas
  • 1 ketul kecil kunyit segar
  • 2 serai

Bahan-bahan (ditumis):

  • 1 kulit kayu manis (ikut suka)
  • 2bunga lawang
  • 5 buah pelaga

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak kemudian masukkan bahan yang dikisar dan bahan yang ditumis kedalam kuali. Masak hingga naik minyak.
  2. Masukkan rempah rendang adabi. Kacau hingga rata.
  3. Masukkan ayam kemudian masak hingga keluar air ayam.
  4. Letakkan santam cair. Kacau rata sehingga ayam agak-agak separuh masak.
  5. Masukkan garam, gula melaka dan asam keping. Kacahingga serata.
  6. Tambah santan pekat kemudian kerisik. Masak hingga naik minyak.
  7. Akhir sekali, masukkan daun limau purut, biarkan seketika kemudian  taburkan daun kunyit yang dihiri halus dan siap untuk dihidangkan.

10. Rendang Ayam Pencen

Resepi Ayam Rendang

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ayam (potong sederhana besar)
  • 2 cawan pati santan
  • 4 helai daun limau purut
  • 2 helai daun kunyit (dimayang halus)
  • 3 sudu makan kerisik
  • 1 liter air
  • 3 senduk cili kisar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit minyak untuk menumis

Bahan-bahan (untuk dikisar):

  • 15 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 1cm lengkuas
  • 1cm kunyit hidup
  • 4 batang serai (dihiris halus)

Bahan-bahan (untuk ditumis):

  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kayu manis
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan tumis kemudian tumis hingga naik bau
  2. Tambah bahan kisar halus dan cili kisar. Tumis sehingga cili garing dan pecah minyak. Gunakan api yang kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan ayam, gaul rata dan masukkan air. Masak lama sehingga ayam menjadi empuk.
  4. Tuang santan dan kerisik kelapa. Biar mendidih secara perlahan sambil dikacau sekali sekala. Masukkan garam dan gula secukupnya.
  5. Apabila kuah menjadi pekat, masukkan daun limau purut dan daun kunyit yang dimayang halus. Kacau dan rasa. Pastikan garam dan gula seimbang.
  6. Angkat rendang dan siap untuk disajikan.

Info chef: Ayam pencen perlu direbus sehingga empuk terlebih dahulu sebelum dimasukkan santan dan bahan-bahan rencah yang lain.

Leave A Reply

Your email address will not be published.