Hari ini saya nak kongsi mengenai kelesuan haba vs strok haba. Kematian dan penyakit yang berkaitan dengan haba boleh dicegah, tetapi penting untuk mengenal pasti tanda amaran dan bertindak balas dengan pantas dan sewajarnya apabila ia timbul. Oleh itu anda perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan kelesuan dan strok haba dan siapakah golongan yang berisiko tinggi. Penting untuk anda tahu simptom kelesuan haba dan langkah pencegahannya. Saya juga ada kongsikan tips menangani strok haba.
Kelesuan Haba Vs Strok Haba
Malaysia terletak berhampiran garisan Khatulistiwa membuat iklim negara ini menerima suhu yang hampir seragam iaitu panas dan lembab. Malaysia juga tidak terkecuali mengalami pemanasan global atau fenomena ekuinoks dua kali setahun pada bulan Mac dan September.
Terdedah kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal boleh menyebabkan kelesuan haba dan strok haba.
Kelesuan haba berlaku apabila seseorang mengalami dehidrasi akibat kehilangan cecair dari persekitaran yang panas dan/atau aktiviti fizikal yang berlebihan. Kelesuan haba boleh menyebabkan strok haba dan berlaku apabila badan terlalu panas.
Strok haba / heat strokeadalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius berbanding suhu normal manusia kira-kira 37 darjah celcius.
Strok haba adalah kecemasan yang mengancam nyawa dan boleh menyebabkan seseorang itu rebah atau tidak sedarkan diri. Strok haba adalah lebih serius dan bermakna badan tidak lagi dapat mengawal suhunya dengan menyejukkan permukaan kulit dengan berpeluh. Suhu dalaman badan meningkat, dan kerosakan organ boleh berlaku.
“Strok haba adalah berbahaya kerana ia akan menyebabkan seluruh sistem badan berhenti daripada berfungsi, paru-paru digenangi air, pengedaran darah tidak stabil, kekejangan abdomen dan tidak sedarkan diri”
(Dr Abu Hassan, 2016)
Kebiasaanya, strok haba berlaku disebabkan kekurangan air dan garam galian dalam badan dalam jumlah yang banyak.
Suhu badan yang tinggi boleh mengundang komplikasi keapda sistem saraf otak yang boleh juga menyebabkan pesakit koma atau membawa kematian.
Golongan Berisiko Strok Haba
Secara individu kita adakalanya tidak sedar badan kekurangan air. Menjadikan sangat berisiko untuk mengalami strok haba, terutamanya ketika cuaca panas terik.
Sumber Gambar: AccuWeather
Antaranya golongan yang berisiko ialah:
- Pesakit kronik serta individu yang sakit sehingga memberi ancaman komplikasi lebih serius seperti kerosakan organ dalaman seperti buah pinggang, hati, pembuluh darah dan kematian.
- Kanak-kanak (<5 tahun), ibu hamil, ibu menyusu dan golongan tua (>65 tahun).
- Orang dewasa berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding golongan muda.
- Dalam kalangan orang dewasa, strok haba sering terjadi apabila terdedah kepada persekitaran terbuka dalam jangka masa lama seperti pekerja binaan, tentera, atlet trek dan sebagainya.
“Seramai 61 pelatih Pusat Latihan Polis ( PULAPOL) Bukit Sentosa Kuala Kubu Bharu, dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan.”
(Harian Metro, 2018)
Simptom Kelesuan Haba Vs Strok Haba
Infografik: Sumber Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara
“Generally with heat exhaustion, a patient is sweating a lot, whereas with heat stroke, they’ve stopped sweating and are actually dry. It’s a good rule of thumb but isn’t always true”
Kenali simptom anda sendiri dan sama ada pergi ke lokasi/rehat yang sejuk atau minta bantuan jika anda sukar bergerak. Segera ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut sekiranya mengalami simptom strok haba.
“Apa yang orang ramai tidak sedar ialah mereka kehilangan air dalam badan apabila melakukan banyak aktiviti. Apabila air hilang, ia menyebabkan jantung berdenyut lebih cepat dan menjadikan sistem badan kita hiperaktif.(Dr Abu Hassan, 2016)
Infografik: Sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
Dehidrasi yang teruk menyebabkan kegagalan buah pinggang, otak, jantung dan hati.
(Sinar Harian, 2019)
Langkah Pencegahan Strok Haba
Anggota beruniform seperti polis, tentera dan pengawal keselamatan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminum banyak air dan sebaik-baiknya mencari tempat berlindung daripada cuaca panas melampau bagi mengelakkan kelesuan haba.
(Dr Abu Hassan, 2016)
Langkah Pencegahan Bagi Mengelak Serangan Strok Haba:
- Elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas terutama di waktu puncak jam 11 pagi hingga 3 petang. Banyakkan minum air sebelum, semasa dan selepas bersenam walaupun anda tidak berasa dahaga.
- Minum air dalam kuantiti banyak atau minimum 2.5 liter sehari. Banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi air seperti sup dan buah-buahan.
- Pakai pakaian yang diperbuat daripada kapas kerana material itu membenarkan penyejatan peluh yang maksimum.
- Pakai topi daripada bahan kapas kerana lebih 40 peratus kehilangan haba berlaku di bahagian kepala.
- Elakkan berjalan atau melakukan aktiviti di atas permukaan yang panas seperti simen atau bitumen.
- Jangan berada di kawasan atau ruang tertutup mempunyai pengudaraan kurang baik dan bersuhu tinggi.
- Anda juga dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi. Minuman mengandungi kafein bersifat diuretik, yang akan membuatkan anda lebih banyak buang air kecil.
- Pantau warna urin atau air kencing anda. Jika warnanya gelap dan jumlahnya sedikit, ia menandakan badan anda kekurangan air. Jadi anda perlu minum sehingga air kencing bertukar menjadi kuning cair.
- Satu perkara penting, dalam cuaca panas begini, jangan sekali-kali meninggalkan seseorang di dalam kereta terutama yang diletakkan di kawasan parkir terbuka.
(Harian Metro, 2019)
Tips Menangani Strok Haba
Tips menangani strok haba:
- Beralih ke kawasan lebih sejuk, berangin dan jauh daripada sinaran matahari.
- Longgarkan pakaian untuk memberi ruang supaya kulit boleh ‘bernafas’ dalam usaha menurunkan suhu badan ke paras normal.
- Turunkan suhu badan dengan mengelap muka atau badan menggunakan tuala lembap, mandi, berendam dalam air sejuk atau meletakkan pek sejuk di celah ketiak. Anda juga boleh duduk di bawah atau hadapan kipas.
- Minum air sejuk perlahan-lahan. Anda juga boleh kemam ketulan ais untuk menambah cecair dalam badan.
- Jika gejala masih belum pulih dan makin teruk, dapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan berhampiran.
(Harian Metro, 2019)
Rawatan Strok Haba
- Hubungi 999 untuk ambulans dengan segera.
- Sejukkan orang itu menggunakan tuala basah atau kain basah dengan kipas diarahkan ke permukaan.
- Jika pek ais tersedia, balutkannya dengan tuala dan letakkan di sekitar pangkal paha leher dan ketiak.
- Jika menggigil berlaku kurangkan penyejukan aktif.
- Pantau orang itu secara berterusan.
- Jika tidak bertindak balas, letakkan dalam kedudukan pemulihan.
- Bersedia untuk memberikan CPR jika perlu.
(Australian Red Cross, 2022)
Doa Ketika Cuaca Panas
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، مَا أَشَدَّ حَرَّ هَذَا الْيَوْمِ ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ
Maksudnya :
(Tiada tuhan melainkan ALLAH, Alangkah panasnya cuaca pada hari ini, Ya ALLAH Ya Tuhanku Jauhkanlah aku daripada panasnya neraka jahannamMu)
(Sinar Harian, 2019).
Penutup
Sesiapa sahaja boleh terkena strok haba. Tetapi bayi dan orang tua adalah golongan yang sangat berisiko tinggi kerana badan mereka mungkin tidak dapat mengawal suhu dengan berkesan. Penghidratan secara proaktif akan membantu mengekalkan badan pada suhu yang selamat. Sebaik sahaja anda mula berasa dahaga, anda sebenarnya mengalami dehidrasi. Jadi, anda harus minum sehingga anda tidak berasa dahaga sama sekali.
Artikel: